Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Isnin, 4 Mac 2019

RASULULLAH SAW ADALAH RAHMAH

4:03:00 PTG 0
RASULULLAH SAW ADALAH RAHMAH
RASULULLAH SAW ADALAH RAHMAH



عن أبي هريرة  عن النبي - صلى الله عليه وسلم - أنه قال : " إنما أنا رحمةٌ مُهداةٌ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Sesungguhnya aku hanyalah rahmah yang dianugerahkan (Riwayat al-Hakim.  Status hadis Sahih  dalam Sahih al-Jami’ no 2345)

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW diutus sebagai Rahmat untuk semua. Firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً لِّلۡعَـٰلَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiyaa’ 21:107)

2.  Ayat ini memberi isyarat bahawa Nabi Muhammad SAW diutus untuk membawa mesej rahmat meliputi semua makhluk, manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lainnya.

3.  Sayyid Quthub berkata: “Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada seluruh manusia agar baginda memimpin manusia ke jalan hidayah. Dan tiada yang menerima hidayah itu melainkan golongan manusia yang mempunyai kesediaan untuk menerimanya walaupun rahmat itu merangkumi orang yang beriman dan mereka yang tidak beriman.

Moga kita juga mencontohi sifat rahmah yang ada pada Rasulullah SAW.



RAHMAH DENGAN ORANG YANG JAHIL

3:03:00 PTG 0
RAHMAH DENGAN ORANG YANG JAHIL
RAHMAH DENGAN ORANG YANG JAHIL



عن أنس بن مالك بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ

Daripada Anas B. Malik RA. Beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah SAW ingin mengertaknya, tetapi Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah SAW memanggil dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan membuat kotor, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Quran.” Atau sebagaimana sabda Nabi SAW yang sesuai. Setelah itu, Nabi SAW memerintahkan seorang sahabat untuk mengambil satu baldi air dan menyiram keatas kencingnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 2/133, no. 429). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Masjid merupakan tempat suci yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya.

2.  Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Quran, dan majlis ilmu.

3.  Rasulullah SAW menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan dalam menangani orang yang jahil. Iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan mengotorkan masjid, tetapi Rasulullah SAW tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan.

4.  Sikap lemah-lembut dan kesantunan lebih memberi kesan dalam penyampaian dakwah kerana ianya boleh menarik dan mendekatkan sasaran kepada kebenaran. Sebaliknya kekasaran akan menyebabkan sasaran menjauhkan diri.

5.  Islam mengajar kaedah menolak kemudaratan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudarat yang lebih besar. Mungkin ia akan terkejut lalu lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula. 

6.  Kebijaksanaan Rasulullah, dengan  tidak diperlakukan orang jahil itu dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Rasulullah berjaya menasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah kepada Badwi tersebut. 

7.  Kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga. 

8.  Kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.

Contohilah Rasulullah SAW ketika menghadapi orang yang jahil.



Sabtu, 2 Mac 2019

MUSUH KETAT AGAMAKU KU ADA DUA

2:48:00 PTG 0
MUSUH KETAT AGAMAKU KU ADA DUA
MUSUH KETAT AGAMAKU KU ADA DUA

Tuhan.. Musuh ketatku ada dua.
Yang kedua-duanya tidak nampak oleh mata.
Syaitan dan nafsuku.
Musuh yang paling hampir dan amat merbahaya ialah nafsu.
Nafsu adalah sebahagian daripada diriku.
Ia lebih merbahaya daripada syaitan yang terkutuk.
Kerana dia adalah jalan atau lorong bagi syaitan.
Ertinya syaitan tidak akan dapat menyesatkan manusia kalau bukan kerjasama nafsu.
Nafsu boleh juga dikatakan tali barut syaitan.
Sedangkan syaitan dan nafsu networknya terlalu banyak.
Bukan senang hendak dikesan.
Jebak dan perangkapnya terlalu banyak yang direntang di sekeliling kehidupan insan.
Siapalah yang boleh terlepas daripada jebaknya? 
Siapalah yang boleh selamat daripada termasuk di dalam perangkapnya?
Aku tidak mungkin boleh mengawal dan menjaga diriku sendiri.
Daripada terjebak dan terperangkap di dalam jaringnya.
Kecuali kawalan dan pemeliharaan daripada-Mu Tuhan.
Engkaulah yang boleh menjaga dan menolong aku daripada termasuk ke dalam perangkapnya.
Oleh itu aku memohon dengan Rahmat-Mu Tuhan! 
Jagalah aku, peliharalah aku, lindungilah aku.
Agar aku terselamat daripada tipu daya nafsu dan syaitan.
Aku berlindung dengan-Mu Tuhan daripada kejahatan syaitan.
Dan aku juga berlindung dengan-Mu Tuhan daripada kejahatan nafsuku.
Engkau sajalah yang boleh menyelamatkan aku.
Selamatkanlah aku Tuhan.

Selepas Asar 
27 Muharam 1421H