RAHMAH DENGAN ORANG YANG JAHIL - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Isnin, 4 Mac 2019

RAHMAH DENGAN ORANG YANG JAHIL

RAHMAH DENGAN ORANG YANG JAHIL



عن أنس بن مالك بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ

Daripada Anas B. Malik RA. Beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah SAW ingin mengertaknya, tetapi Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah SAW memanggil dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan membuat kotor, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Quran.” Atau sebagaimana sabda Nabi SAW yang sesuai. Setelah itu, Nabi SAW memerintahkan seorang sahabat untuk mengambil satu baldi air dan menyiram keatas kencingnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 2/133, no. 429). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Masjid merupakan tempat suci yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya.

2.  Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Quran, dan majlis ilmu.

3.  Rasulullah SAW menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan dalam menangani orang yang jahil. Iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan mengotorkan masjid, tetapi Rasulullah SAW tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan.

4.  Sikap lemah-lembut dan kesantunan lebih memberi kesan dalam penyampaian dakwah kerana ianya boleh menarik dan mendekatkan sasaran kepada kebenaran. Sebaliknya kekasaran akan menyebabkan sasaran menjauhkan diri.

5.  Islam mengajar kaedah menolak kemudaratan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudarat yang lebih besar. Mungkin ia akan terkejut lalu lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula. 

6.  Kebijaksanaan Rasulullah, dengan  tidak diperlakukan orang jahil itu dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Rasulullah berjaya menasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah kepada Badwi tersebut. 

7.  Kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga. 

8.  Kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.

Contohilah Rasulullah SAW ketika menghadapi orang yang jahil.



Tiada ulasan: