Islam Is Great : hibah

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Memaparkan catatan dengan label hibah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hibah. Papar semua catatan

Sabtu, 10 Februari 2024

KEISTIMEWAAN HIBAH

1:08:00 PG 0
KEISTIMEWAAN HIBAH

 

KEISTIMEWAAN HIBAH


Dapatkan konsultasi hibah di sini:

https://Wasap.my/60137174261/urusharta

Pelaksanaan hibah kini sesuai untuk diamalkan seiring dengan peredaran masa.

Seorang ayah berkata kepada anaknya: “Ayah berikan kepada kamu tanah ini, kamu ambillah. Kamu bina rumah di atasnya.” Jawab anak, “Saya terima ayah, saya sayang ayah”.


Begitulah contohnya apabila seorang ayah yang sayangkan anak memberikan harta yang telah diusahakan selama ini untuk dimiliki oleh anaknya.


Kaedah ini adalah hibah yang mana sebahagian daripada masyarakat tidak mengetahui kedudukan dan kebaikannya sebagai alternatif kepada pengagihan harta pusaka.


Pelaksanaan hibah kini sesuai untuk diamalkan seiring dengan peredaran masa serta perubahan corak hidup dan tabiat masyarakat.


Masalah pengabaian pembahagian harta pusaka juga tidak akan timbul memandangkan pemberian telah dibuat semasa hayat pemberi hibah.


1) Hibah adalah Pembahagian Harta Yang Dianjurkan Islam

Hibah merupakan satu bentuk pengurusan harta yang dianjurkan Islam. Ia sebagai pelengkap kepada sistem pengagihan harta dalam Islam.


Namun, sistem faraid sebenarnya adalah satu bentuk pengagihan harta kepada waris apabila seseorang meninggal dunia secara mengejut atau meninggal dunia dalam usia yang muda sebelum sempat memikirkan tentang persediaan pengagihan harta.


Justeru itu, hibah merupakan satu bentuk perancangan awal pewarisan harta untuk tujuan kebajikan dan boleh memupuk kasih sayang serta mencegah permusuhan.


Minda masyarakat yang selama ini hanya menggunakan mekanisme pembahagian harta pusaka secara konvensional perlu diubah kepada konsep yang menggunakan pendekatan ‘pemberian semasa hidup’ seperti hibah. Pelaksanaan hibah adalah sunat dan digalakkan di dalam Islam.


Ini adalah berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran 3:92 yang bermaksud:


“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.”



2) Hibah Adalah Pemberian Semasa Hidup Yang Boleh Ditujukan Kepada Sesiapa Sahaja Yang Dikehendaki

Dalam Islam, tidak wujud halangan untuk membolehkan hibah dibuat kepada waris sendiri walaupun pemberian sebegini ditegah melalui pemberian dengan jalan wasiat.

Pemberian hibah boleh dibuat daripada seorang bapa kepada anak-anaknya atau daripada suami kepada isterinya.


Malahan, pelaksanaan hibah boleh digunakan kepada pasangan yang mempunyai anak angkat kerana anak angkat tidak dikategorikan sebagai waris.


Manakala, bagi orang yang baru memeluk Islam, mereka mungkin masih mahu mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga mereka walaupun keluarga tersebut bukannya beragama Islam.


Maka adalah dibolehkan untuk memberikan harta kepada keluarga terutamanya ibu bapa yang telah banyak berjasa sebagai menghargai pengorbanan melahirkan dan membesarkan mereka walaupun berlainan agama.


Pemberian secara hibah ini boleh memperlihatkan keindahan Islam sebagai agama yang amat menitikberatkan soal penghormatan kepada ibu bapa dan keluarga serta menggalakkan kasih sayang sesama manusia.



3) Hibah Tiada Had Kadar Bahagian atau Jumlah Pemberian

Hibah mempunyai kelainan berbanding wasiat dan faraid kerana tiada had jumlah yang perlu dipatuhi.

Berbeza dengan harta yang diwasiatkan yang tidak boleh melebihi sepertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih dan faraid pula mengikut kadar-kadar tertentu yang telah dinyatakan dalam al-Quran.


Namun, dalam hal hibah kepada anak-anak, ibu bapa disunatkan untuk berlaku adil dengan menyamaratakan pemberian. Ia sebagaimana hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:


“Sesungguhnya bapa datang berjumpa Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Sesungguhnya saya telah menghadiahkan anak lelaki saya ini seorang hamba.” Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya (kepada bapa saya), “Adakah setiap anak kamu telah diberikan (pemberian) seperti ini?” Bapa saya menjawab, “Tidak.” Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Kembalikanlah ia.” (Riwayat Bukhari)



4) Hibah Sebagai Alternatif Penyelesaian Masalah Pengagihan Secara Faraid

Kefahaman masyarakat terutamanya waris kini ke atas pengurusan pentadbiran harta pusaka memungkinkan mereka lambat atau boleh melengah-lengahkan membuat permohonan pembahagian harta pusaka seseorang si mati.

Rentetan daripada ini, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah yang sukar diatasi.


Justeru itu, sebagai usaha bagi mengatasi masalah yang timbul, kaedah pelaksanaan hibah bukan sahaja dapat menjamin penurunan hak milik harta kepada waris mengikut kehendak pemberi hibah, malah akan mengurangkan jumlah kes harta pusaka yang tertunggak di seluruh negara.


Ini adalah kerana pengagihan harta melalui kaedah hibah tidak perlu melalui proses pentadbiran yang rumit sepertimana yang perlu dilalui dalam pembahagian secara faraid yang kadangkala boleh menimbulkan ketidakadilan.


Ini sekali gus dapat mengelakkan perebutan harta dan pertelingkahan ahli waris selepas kematian pemilik.



5) Pembahagian Harta Secara Lebih Bermanfaat

Pemberian harta secara hibah adalah suatu cara yang berkesan untuk pembahagian yang lebih berfaedah dan bermanfaat.

Pembahagian harta pusaka dengan cara meletakkan nama semua waris pada setiap bidang tanah yang diwarisi sehingga tidak mendatangkan apa-apa manfaat dari sudut ekonomi serta menyukarkan transaksi seterusnya, boleh merugikan waris.


Sebenarnya, pembahagian harta pusaka selain faraid dibenarkan mengikut persepakatan atau muafakat, iaitu pembahagian dibuat tanpa mengikut hukum faraid dengan syarat wujud persetujuan semua ahli waris selepas berlakunya kematian.


Ia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15(5) dan Jadual Pertama Akta (Pembahagian) Harta Pusaka Kecil 1955.


Amalan muafakat tidak menyalahi hukum Islam kerana Islam sendiri menganjurkan supaya mempraktikkan amalan berunding iaitu melalui kaedah sulh.


Walau bagaimanapun, cara pembahagian melalui kaedah persepakatan ini jarang dipatuhi kerana ketiadaan persetujuan daripada waris-waris.


Masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar masih gemar kepada bentuk perintah pembahagian mengikut bahagian faraid yang meletakkan nama-nama setiap individu ke atas semua hak milik si mati.


Ini bermakna sekiranya si mati meninggalkan 5 hak milik dan 10 orang waris, maka setiap hak milik akan mengandungi nama kesemua daripada waris-waris tersebut.


Kewujudan bentuk pembahagian sebegini boleh menyebabkan nilai komersial sesebuah tanah menjadi terjejas dan tidak bermanfaat.


Ini adalah kerana melalui hak milik yang dikongsi ramai individu dengan bahagian yang sangat kecil, urus niaga tanah akan menjadi lebih rumit kerana setiap urus niaga yang hendak dilaksanakan memerlukan persetujuan daripada kesemua pemilik.


Justeru pemberian harta melalui hibah boleh dipertimbangkan bagi mengatasi masalah ini

APA ITU HIBAH DAN KENAPA IA PENTING

1:02:00 PG 0
APA ITU HIBAH  DAN KENAPA IA PENTING

 Setelah berlakunya kematian, kita sering kali mendengar mengenai perebutan harta pusaka dalam kalangan para waris si mati. Sebenarnya, kisah menyedihkan seperti ini dapat dielakkan sekiranya hibah harta disediakan sewaktu masih hidup.

Hibah memudahkan pengurusan harta pusaka anda
© Imagehit Asia / 123RF


Dapatkan konsultasi hibah di sini:

https://Wasap.my/60137174261/urusharta


Terdapat beberapa jenis instrumen pengurusan harta sebelum atau setelah kematian. Salah satu intrumen yang paling popular ialah hibah. Walaupun ramai di antara anda mungkin pernah dengan tentang hibah ni,  sedalam manakah pengetahuan anda berkenaanya? Jom, kita lihat dengan lebih terperinci. 

Apa itu hibah 

Hibah merupakan suatu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan (‘Iwad). Ia berbeza dengan wasiat yang merupakan pemberian harta selepas berlaku kematian pewasiat. Hibah merupakan amalan sunat dan digalakkan dalam Islam, sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“… dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.” (Surah al-Baqarah ayat 177)

  • Apakah maksud hibah

Hibah bermaksud ‘hadiah’. Ini adalah pemberian harta alih atau harta tak alih yang berlaku semasa hayat si pemberi hibah.

  • Apa itu hibah dalam perancangan hartanah

Hibah dalam perancangan hartanah bermaksud anda menjadi penerima aset yang diwariskan kepada anda. Sebagai contoh, jika pemilik sah aset, seperti sebidang tanah atau rumah mewariskan hartanahnya kepada anda, anda kemudian menjadi pemilik harta atau harta pusaka tersebut.

  • Apa itu hibah dalam perbankan Islam

Hibah adalah prinsip Syariah yang digunakan dalam kerangka perbankan dan kewangan Islam di Malaysia. Kebiasaanya, hibah diberikan pihak bank kepada pemilik akaun wadiah yang melaksanakan kontrak atau akad simpanan bersama institusi kewangan yang patuh Syariah.

Kenapa hibah itu penting

Hibah adalah penting kerana ia membolehkan pemilik aset atau pemilik hartanah mengagihkan kekayaannya kepada sesiapa sahaja – ahli keluarga dan bukan ahli keluarga, tanpa mengira agama mereka. Ini berbeza dengan faraid di mana hak dan bahagian waris-waris si mati adalah berdasarkan ketentuan dalam Undang-undang Syariah.

4 rukun dah syarat dalam kontrak hibah

Hibah memudahkan pengurusan harta pusaka anda 2
© Katarzyna Białasiewicz /123RF

Terdapat empat rukun atau syarat yang perlu dipenuhi:

  • Pemberi hibah (Al-Wahib) 

Pemberi hibah adalah seorang ahliyyah yang sempurna akal, baligh dan rusyd. Mereka juga mestilah memiliki harta yang dihibahkan itu dan berkuasa penuh ke atasnya.

  • Penerima hibah (Al-Mawhub Lahu)

Penerima hibah mestilah mempunyai keupayaan untuk memiliki harta sama ada mukalaf atau bukan mukalaf. Sekiranya penerima hibah adalah bukan mukalaf seperti belum akil baligh atau kurang upaya, maka hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah.

  • Harta yang dihibahkan (Al-Mawhub)

Harta yang hendak dihibahkan itu mestilah harta yang halal, bernilai di sisi syarak, di bawah pemilikan pemberi hibah, mampu diserahkan kepada penerima hibah dan wujud ketika harta berkenaan dihibahkan.

  • Lafaz ijab dan kabul (Sighah)

Lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah.

Jenis-jenis hibah di Malaysia 

Hibah memudahkan pengurusan harta pusaka anda 3
© belchonock / 123RF

Terdapat dua kategori hibah iaitu:

i. Hibah mutlak 

Ia juga dikenali sebagai Al-Hibah Al-Munjizah. Ia adalah pemberian secara percuma yang berlaku semasa hidup tanpa disertakan sebarang syarat. Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan dalam hibah mutlak seperti:

  • Kos yang lebih tinggi
  • Si pemberi hilang hak pemilikan serta-merta
  • Harta itu akan menjadi harta pusaka si penerima sekiranya dia meninggal dunia terlebih dahulu

ii. Jenis Hibah bersyarat (Umra dan Ruqba)

Hibah bersyarat merupakan kontrak hibah yang mana penghibah meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama akad hibah bagi melaksanakan pemberiannya. Ada pelbagai jenis hibah bersyarat, namun yang utama adalah:

  • Umra 

Satu bentuk pemberian hak milik terhadap sesuatu harta kepada seseorang dengan menetapkan atau menghadkan tempoh pemilikannya berdasarkan kematiannya atau kematian orang yang diberi itu.

  • Ruqba

Pemberian hak milik daripada seseorang kepada yang lain, yang mana jika salah seorang daripada penghibah dan penerima itu mati, harta yang ingin dihibahkan (mawhub) akan menjadi hak milik orang yang masih hidup.

Manfaat dan kelebihan hibah

Industri takaful di Malaysia mengamalkan konsep hibah Ruqba. Ini kerana ia mempunyai beberapa kelebihan seperti berikut:

  • Pindah milik dilakukan setelah si pemberi meninggal dunia
  • Hak milik kepunyaan si pemberi
  • Kos penyediaan dokumen lebih murah
  • Harta bercagar, dengan syarat ada MRTA/MRTT juga boleh dihibahkan

Bagaimana hibah memudahkan pengurusan harta pusaka

Hibah memudahkan pengurusan harta pusaka anda 4
© szefei / 123RF

Sebelum memutuskan untuk memilih instrumen perancangan harta, mari kita lihat dulu perbezaan antara hibah, wasiat dan faraid.

  • Faraid 

Mengikut pembahagian harta secara faraid, hanya waris-waris si mati sahaja yang layak mendapat harta pusaka. Pembahagian harta mengikut faraid pula adalah berdasarkan ketentuan dan ketetapan mengikut hukum syarak.

Jika pemilik harta tidak membuat wasiat atau hanya menunggu hartanya difaraidkan selepas kematian maka pemanfaatan harta secara terus belum tentu dapat dilakukan atas beberapa faktor seperti karenah pentadbiran (birokrasi) dalam pembahagian harta pusaka, pertelingkahan di kalangan waris, kesahan wasiat dan sebagainya yang akhirnya menyebabkan sesuatu harta itu terbiar.



PERBEZAAN HIBAH DAN WASIAT

12:56:00 PG 0
PERBEZAAN HIBAH DAN WASIAT

 

PERBEZAAN HIBAH DAN WASIAT

Dapatkan konsultasi hibah di sini:

https://Wasap.my/60137174261/urusharta


Kedua-dua instrumen ini digalakkan dalam Islam, di mana sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak maka ia boleh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta.



HIBAH


 Ciri-ciri hibah adalah seperti berikut:

Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
Akad hibah dibuat secara sukarela tanpa paksaan.
Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang.

 Akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah dipenuhi rukun dan syarat-syaratnya iaitu :

Pemberi hibah (al-wahib)
Penerima hibah (al-mauhub lahu)
Barang yang dihibahkan (al-mauhub)
Sighah (ijab qabul).

 Dalam melaksanakan sighah (ijab dan qabul), perkara yang penting untuk dilihat adalah sama ada elemen terimaan atau al-qabd berlaku atau tidak. Al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf (urusan) terhadap barang atau harta tersebut.


 Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka hibah itu tidak terbatal.


 Mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal. Dalam mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.



WASIAT

 Dalam mazhab Syafie, wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Fuqaha’ mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat untuk dimilik oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas kematian pewasiat.


 Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas jelas bahawa wasiat yang dibuat oleh seseorang hanya berkuat kuasa selepas berlakunya kematian pewasiat. Dengan ini juga, wasiat adalah berbeza dengan hibah. Justeru itu, wasiat dianggap selesai apabila adanya ijab (penawaran) daripada pewasiat, sedangkan qabul (penerimaan) tidak diperlukan semasa pewasiat masih hidup dan ia hanya diperlukan selepas pewasiat meninggal dunia.


 Mengikut pendapat mazhab sunni yang empat, wasiat tidak diwajibkan ke atas setiap orang yang mempunyai harta dan tidak juga difardukan untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabat yang tidak menjadi waris, akan tetapi hukumnya adalah bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu.



 Hukum wasiat adalah seperti berikut:


Wajib – jika terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan seperti zakat, haji dan hutang-hutang lain dan dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan.
Sunat – jika berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah.
Harus – jika berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang mana mereka bukan dari golongan yang berilmu dan beramal soleh.
Makruh – jika pewasiat seorang yang kurang berada dan mempunyai waris-waris yang ramai serta memerlukan harta.
Haram – jika berwasiat kepada perkara yang haram.



Adakah Hibah dan Wasiat Boleh Ditarik Balik?


HIBAH

 Menurut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi apabila disertakan dengan peyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain.


 Manakala menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya…” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


WASIAT

 Sementara wasiat boleh ditarik balik selagi pewasiat masih hidup. Namun, wasiat boleh terbatal dengan keadaan-keadaan tersebut.


 Wasiat boleh terbatal dengan keadaan seperti berikut:

Sekiranya pewasiat hilang keahlian seperti bankrap
Sekiranya pewasiat murtad atau pewasiat menggantungkan wasiat dengan syarat yang tak berlaku
Sekiranya penerima menolak wasiat
Penerima mati sebelum pewasiat
Penerima membunuh pewasiat
Berlaku kerosakan harta wasiat



Berapakah kadar harta yang boleh dihibahkan atau diwasiatkan?


HIBAH

 Islam tidak menetapkan kadar tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan.


 Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah.


 Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain.


WASIAT

 Kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pewasiat menurut ketentuan syarak adalah setakat 1/3 sahaja daripada harta bersih peninggalannya pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengebumian dan penunaian hutang-hutangnya. Oleh itu, wasiat yang melebihi kadar 1/3 harta pewasiat adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih itu.


 Jika waris-waris bersetuju, maka wasiat lebih daripada 1/3 adalah sah, dan jika mereka tidak bersetuju maka wasiat hanya sah setakat 1/3 sahaja dalan lebihan daripada itu menjadi harta pusaka. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sa’ad Bin Abu Waqqas berkata:

“Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


 Jika pewasiat tidak mempunyai waris, maka menurut pendapat mazhab Hanafi wasiat yang melebihi 1/3 harta adalah sah. Tetapi menurut pendapat jumhur, wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak harus secara mutlak kerana ia melibatkan hak orang Islam.


 Mengenai masalah kadar sebenar harta yang ada pada pewasiat sama ada diketahui atau sebaliknya atau termasuk harta pertambahan yang diperolehi yang tidak diketahui oleh pewasiat, terdapat perselisihan di kalangan fuqaha’.


 Menurut jumhur fuqaha’ termasuk mazhab Syafie dan Hanafi, pewasiat tidak disyaratkan mengetahui kadar sebenar harta yang ada pada masa ia melakukan wasiat kerana harta sebenar yang diambil kira adalah harta yang ada pada waktu kematiannya.


 Kesan positif daripada sekatan berwasiat hanya sekadar 1/3 sahaja daripada harta peninggalan pewasiat adalah untuk memelihara kebajikan waris-waris pewasiat yang berhak ke atas harta peninggalan tersebut. Ini ialah kerana berkemungkinan sama ada secara sedar atau tidak pewasiat akan menafikan harta peninggalannya kepada waris-waris yang berhak dengan melepaskan kesemua hartanya atau mengurangkan bahagian mereka hingga menjejaskan kadar bahagian mereka.


 Wasiat yang tidak dijelaskan kadar sebenar yang sepatutnya diterima oleh penerima wasiat dan gagal mendapatkan penjelasan yang sebenar daripada kenyataan pewasiat maka menurut mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali terpulanglah kepada waris-waris pewasiat untuk menentukan kadar yang sebenar.


 Walaupun telah ditetapkan kadar maksima harta yang boleh diwasiatkan adalah 1/3 tetapi para sahabat dan para fuqaha’ bersetuju bahawa kadar sebaik-baiknya untuk berwasiat adalah tidak melebihi kadar maksimum tersebut.


 Ini adalah bersandarkan kepada beberapa hadis berkaitan wasiat yang menekankan bahawa berwasiat dengan kadar 1/3 adalah banyak dan menurut hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Waqqas dan Sa’ad bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa kadar 1/3 itu adalah banyak.


 Para sahabat sendiri umpamanya Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali tidak berwasiat dengan kadar 1/3 di mana masing-masing berwasiat hanya sekadar 1/5 daripada harta mereka dan begitu juga dengan Saidina Umar yang berwasiat dengan kadar 1/4 bahagian daripada hartanya.


Adakah wasiat boleh diberikan kepada waris?


 Pada asasnya wasiat hanya diberikan kepada bukan waris kerana tujuannya adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala. Ia juga diharap dapat memenuhi segala kekurangan yang ada ketika hayat.


 Apa yang dimaksudkan dengan waris dalam konteks wasiat ialah orang-orang yang berhak mendapat pusaka dan dalam situasi kes ini anak-anak dan isteri-isteri merupakan waris yang berhak menerima pusaka jika pewasiat meninggal dunia kelak.


 Oleh kerana itu wasiat pada asasnya diberikan kepada bukan waris kerana mereka ini tidak termasuk dalam kalangan orang yang berhak untuk mendapat pusaka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah telah berikan bahagian kepada setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”


 Bagaimanapun, wasiat kepada ahli waris masih boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan dari ahli waris yang lain. Perlu diingat, ahli waris yang dimaksudkan mestilah ahli waris semasa kematian pewasiat dan bukan ahli waris semasa hayat pewasiat. Jika kesemua ahli waris bersetuju dengan wasiat yang dibuat maka perlaksanaan wasiat tersebut boleh dilaksanakan.


APA YANG ISTERI PERLU TAHU BERKAITAN HARTA PUSAKA SUAMI?

12:49:00 PG 0
APA YANG ISTERI PERLU TAHU BERKAITAN HARTA PUSAKA SUAMI?

 


APA YANG ISTERI PERLU TAHU BERKAITAN HARTA PUSAKA SUAMI?



Dapatkan konsultasi hibah di sini:


*APA YANG ISTERI PERLU TAHU BERKAITAN HARTA PUSAKA SUAMI?*
1. Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat atau tanpa menghibahkan hartanya semasa hidup, maka semua harta-harta yang halal yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.

2. Jika suami meninggal dunia meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa, maka mereka juga adalah waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka arwah suami selain daripada isteri.

3. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan, bapa dan adik-beradik, maka waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah suami adalah isteri, anak perempuan dan bapa sahaja. Adik-beradik arwah suami tidak berhak.

4. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan dan adik beradik, maka semua itu adalah merupakan waris-waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah suami.

5. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan berumur lapan tahun dan anak lelaki berumur dua hari, maka adik-beradik arwah suami tidak berhak ke atas harta pusaka arwah suami walaupun anak lelaki tersebut baru berumur dua hari.

6. Jika suami meninggal dunia dan dua hari sebelum itu telah menceraikan isterinya dengan perceraian secara talaq 1, maka isteri tersebut masih lagi berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.

7. Jika suami meninggal dunia sebaik sahaja selepas akad nikah dengan isterinya, isterinya tetap berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.

8. Jika suami sebelum meninggal dunia menyatakan mengharamkan harta-hartanya diwarisi oleh isteri dan kemudiannya meninggal dunia, isteri tersebut tetap berhak mewarisi harta pusaka arwah suaminya.

9. Jika suami meninggal dunia meninggalkan harta yang berkongsi bahagian dengan isteri, bahagian yang dimiliki oleh arwah suami merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris termasuk isteri mengikut hukum faraid.
10. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri sebagai penama kepada simpanan KWSP, Tabung Haji, Takaful atau seumpamanya, maka isteri hendaklah bertindak sebagai pentadbir untuk membahagikan wang-wang tersebut kepada dirinya dan waris-waris lain yang berhak mengikut hukum faraid.

11. Jika suami meninggal dunia namun harta yang ditinggalkan merupakan harta yang dipinjam, harta yang diamanahkan, harta yang telah diwakafkan, harta yang telah dihibahkan atau harta yang telah dijual, harta-harta tersebut bukan merupakan harta pusaka yang layak diwarisi oleh isteri.

12. Harta pusaka arwah suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan isteri boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian melalui Mahkamah Syariah.

Buat Perancangan Harta melancarkan urusan pusaka....elak waris makan harta secara batil....elak waris  bertelagah..

APA YANG ISTERI PERLU TAHU BERKAITAN HARTA PUSAKA SUAMI?