1 SYAWAL ALLAH MENJEMPUT IBUKU - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Khamis, 5 Mei 2022

1 SYAWAL ALLAH MENJEMPUT IBUKU

1 SYAWAL ALLAH MENJEMPUT IBUKU

Salam pada semua. Saya mengucapkan Selamat Hari Raya 2022 atau  Syawal Hijrah 1443 pada semua umat islam di seluruh dunia. Pada tahun ini adalah tahun yang menguji saya dimana ibuku telah terlantar sakit di katil dan tidak boleh bergerak dari leher ke kaki sejak 3 bulan yang lalu.


Dan pengalaman sebagai anak yang paling rapat dan sebagai anak lelaki tunggal dari 3 adik beradik. Membuat saya berasa sedih sangat. Dan kesedihan ini ditambah apabila saya sebagai anak yang tidak mempunyai pengalaman menjaga pesakit yang terlantar menyebabkan ibuku dihidrat dan terdapat luka di punggungnya. Hingga beliau terpaksa ke pusat kecemasan dan berkampung di hospital lebih dari 1 minggu.


Ahhh,,,,,lagi menambahkan kesedihan aku yang gagal menjaga ibuku dengan baik dan sempurna. Untuk pengetahuan ibuku adalah pesakit rahim kanser 4 dan telah menjalani 2 pembedahan serta membuat kimoterapi. Tapi kansernya telah merebak ke tulang belakang hingga ke saraf tengkuk dan akibatnya ibuku terlantar sakit.


Aku bersyukur amat sangat, dimana isteriku sentiasa menyokong apa jua keputusanku dalam hal ehwal tentang ibuku. Tanpa beliau saya mungkin akan terkapai-kapai seketika.


Pihak hospital asik menekankan bahawa ibuku tidak akan lama kerana kansernya semakin merebak dan terserah pada takdir. Marah betul saya pada masa itu dan mereka semua bernasib baik kerana memberitahu kakak ku yang menjaga ibuku di hospital. 

1 SYAWAL ALLAH MENJEMPUT IBUKU
Gambar pada tahun 2018 


Apa kan berlaku jika ibuku tiada- aku pernah membuat nukilan ini di blog ini pada tahun 2018. Dan akhirnya ia telah berlaku tapi masih belum terjawab apa akan berlaku padaku. Yang membuat rutin mingguan melawat ibuku selama berpuluh tahun tetiba terhenti.


Bila bercerita tentang ibuku, memang aku menjadi emosi yang teramat sangat. Bergaduh dengan kakak, jiran dan penjaga ibuku hingga mereka semua berkecil hati dengan aku. Pada pendapat aku lantaklah, kalau statement asik nak mengatakan mak aku ni tak panjang umur buat apa nak berbincang.


Memang salah aku kerana itu realitinya dan aku tidak mahu menerima realiti ini. Tindakan pertama aku ialah mengupah jururawat untuk menjaga ibuku dalam sebulan ini. Tujuannya ialah untuk puihkan semula tenaga ibuku yang dihidrat dengan membuat dripping. Selain makanan dimasukkan ke tube agar tidak terlepas jadual pemakanan. Selain itu aku menyuruh salur kencing jugaditube tube agar air kencing beliau tidak terkena pada luka ibuku yang agak teruk. 


Memang ada beberapa orang tidak setuju aku membuat keputusan ini kerana kosnya yang tinggi.


Sememangnya perbelanjaan untuk membayar jururawat menjaga ibuku selama sebulan memang agak tinggi. Tapi aku tak mahu peristiwa lama dimana kesilapan aku menjaga ibuku berulang kembali. 


Jika ibuku umur tidak panjang, biarlah ia meninggalkan aku dengan badan yang sihat dan cergas. Biar dia meninggalkan aku dalam keselesaan bukannya derita kerana tak cukup makan atau sakit yag melampau.


Aku bersyukur, Allah murahkan rezeki aku untuk menampung perbelanjaan penjagaan ibuku serta dibantu oleh kakakku. Aku amat bersyukur. Pada masa itu, segala nasihat daripada sesiapa aku tak layan. Yang aku mahu ibuku sihat semula.


Isteri aku amat faham perangai aku ini jika melibatkan ibuku. Dan seperti biasa she the most supporter aku. Dia kata biar perabih duit pun tak per asal mak sihat dan kita puas hati dan tidak menyesal apabila mak hembuskan napas.

Isteri Terbaik Adalah Isteriku

Usaha aku  tidak berakhir disitu. Aku mengupah fisioterapi dengan harapan ibuku dapat bergerak. Cukuplah sekadar dan duduk di katil dan makan tanpa bantuan. Namun ianya tidak berjaya.


Aku juga berjumpa dengan pakar tulang dan saraf tapi mereka tidak berani nak mengubat ibuku kerana beliau adalah pesakit kanser. 


Setelah genap sebulan jururawat menjaga ibuku iaitu pada 30hb April (Bulan Ramadhan). Aku dan isteri aku menjaga ibuku. Kami ambil cuti seminggu dan selepas itu ada penjaga lain yang akan menjaga ibuku.


Ibuku dalam keadaan sihat dengan muka yang tembam dan mula minta makan macam-macam kerana ia dah boleh mengunyah makanan. Aku layankan berikan makanan manis dan minuman manis sebab dah lama beliau tak makan melalui mulut.


Pada 1 Syawal atau 2 Mei 2022, Ibuku masih lagi sihat dan kami sempat berjenaka. Dan dalam pukul 1100am kakakku yang panik siap menelepon aku tanya kenapa makanan yang disalurkan melalui tube tidak mahu turun. Agak lawak jugak ler hingga mak aku kata kakak aku ni tak expert...hahahahhaa.


Pukul 0300pm aku kasi makan dan siap ajar kakak aku bagaimana memberi makanan kepada ibuku dan ia hanya tersenyum. Pada masa itu aku dengar nafasnya agak tercungap-cungap dan sempat tanya samada mak ok tak. Ibuku jawab ok.


Dalam pukul 0400pm saudara mara datang ke rumah dan kami tidak sempat jenguk ibu. Kami lihat ibu tidur dikatil. Kami biarkan sahaja.


Setelah semua tetamu balik, kami hendak mandikan ibu dan kejutkan beliau tetapi ia tak sedar. Kami beranggapan mungkin ibuku tidak sedar kerana kesan morfin yang diberikan pada pukul 0300pm tadi kot.


Setelah mandikan, kami kejut ibu semula tapi masih tiada reaksi. Aku dan kakak panik, kami telepon ambulan dan melalui pemeriksaan ibuku telah menghembuskan napasnya secara rasmi pada pukul 0530pm Syawal pertama.


Sebagai lelaki aku memang seorang yang ego tetapi pada masa itu aku menjadi kanak-kanak yang tak boleh menahan air mata. Jangan kau sebut nama ibuku, pasti aku menangis. Aku lepaskan tangisan ini dikereta seorang diri, ingatkan boleh bertahan masa nak cium ibuku kali terakhir selepas kapan namun gagal dan semasa di tapak perkuburan, aku sebagai anak lelaki kena ucapkan kali terakhir pun aku menangis. Ahhhh....lembik kau Hanif..


Aku bersyukur sekali lagi kerana pengurusan pengkebumian ibuku berjalan dengan lancar dan tiada halangan. Ibuku dikuburkan pada pukul 1100am di Tapak Perkuburan Jalan Panjang Melaka.


Jika ditanya pada hati kecil ini adakah aku bersyukur ibuku diambil awal. Ya, kerana aku tak tahan melihat penderitaan beliau yang terlantar sakit dan beliau masih boleh berfikir lagi hanya badan sahaja yang tak boleh gerak. Beberapa kali ibuku menangis kerana keadaannya dan tiap kali aku ingatkan jangan berkata sedemikian kerana ianya ketentuan Allah.


Aku sebenarnya dan putus akal bagaimana hendak mengubatkan ibuku. Dan pada ketika itu aku pasrah bahawa ibuku tidak boleh bergerak lagi walaupun hati ini masih menaruh harapan lagi. 


Namun kanser beliau memenangi perjuangan ini dengan ibuku telah tinggalkan aku selama-lamanya. Pada siapa aku nak bergurau dan bergaduh lagi. Jika aku nak makan rendang power mak, dari siapa aku nak minta? Aku belum cukup menabur bakti kepada ibuku.


Ibuku hanya merasa kesenangan semasa aku berumur 40 tahun apabila aku mendapat kerja yang agak baik dan aku belum habis menabur bakti...


Namun aku puas dan redha kerana ibuku pergi dalam keadaan selesa dan sihat tubuh badannnya. Luka dipunggung semakin pulih dan ia selalu tersenyum. Aku puas hati dan isteriku pun kata, yang aku patut senyum kerana niat aku mahu berikan keselesaan pada ibuku hingga akhir hayat tercapai.


Dan untuk sesiapa yang membaca artikel ini titipkan Al- Fatihah kepada ibuku Hanifah Binti Harun. 


Aku seorang blogger dan luahan perasaan ini aku luahkan melalui artikel ini. Terima kasih kerana membaca artikel ini. Ibu kita adalah syurga kita dan aku akui menjaga orang sakit ini boleh membuat kita stress tetapi sentiasa berzikir agar dijauhkan akibat stress kita tak sengaja memarahi ibu kita. Suka tak suka itu tanggungjawab kita apatah lagi sebagai anak lelaki. 


Tiada ulasan: