JANGAN JEMU MENDOAKAN ANAK - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Selasa, 16 Julai 2019

JANGAN JEMU MENDOAKAN ANAK

JANGAN JEMU MENDOAKAN ANAK
1. Nabi Ibrahim menampilkan contoh terbaik dalam kesungguhan mendoakan anak. Sebelum dikurniakan anak lagi, Nabi Ibrahim berdoa agar dikurniakan anak yang soleh. Firman Allah:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

“(Nabi Ibrahim berdoa): Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku anak yang soleh.” (Surah al-Saffat: 100)

2. Mengapa Nabi Ibrahim bersungguh berdoa agar dikurniakan anak yang soleh? Kerana hanya anak yang soleh sahaja yang mampu memberikan bantuan pada kita setelah kita meninggal. Ini difahami dari hadith Rasulullah yang menegaskan:

إذا ماتَ ابن آدم انْقَطَعَ عنه عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثةٍ: صَدَقَةٍ جارِيَةٍ، أوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أوْ وَلَدٍ صالحٍ يَدْعُو لهُ

“Apabila meninggalnya anak Adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: (1) Sedekah jariah, (2) ilmu yang bermanfaat, serta (3) anak yang soleh yang mendoakan mereka.

3. Barangkali atas dasar itulah Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak yang soleh. Bagi ibubapa yang belum, sedang atau telah mempunyai zuriat, jangan sesekali berhenti berdoa agar dikurniakan anak yang soleh.

4. Setelah dikurniakan anak, Nabi Ibrahim berterusan berdoa agar dikurniakan anak yang sentiasa mendirikan solat. Ini difahami dari doa Baginda yang direkodkan di dalam al-Quran. Firman Allah:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang sentiasa mendirikan solar, begitu juga dengan anak-anakku, Wahai Tuhan kami, perkenanlah (doa ini).” (Surah Ibrahim: 40)

5. Perhatikan doa ini. Dihujung doa tersebut, terdapat satu ungkapan yang tidak pernah disebutkan di dalam doa Nabi Ibrahim yang lain (sebagai kata penguat) iaitu ungkapannya:

رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء

“Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa ini!”

Ungakapan yang terakhir ini seolah menggambarkan betapa bersungguhnya Nabi Ibrahim dan amat berharap agar dikurniakan anak yang konsisten mendirikan solat. Begitulah juga kita yang sepatutnya sentiasa berdoa agar dikurniakan anak yang sentiasa menjaga solatnya.

6. Nabi Ibrahim turut dilihat mendoakan anaknya yang berada dalam keadaan yang membimbangkan. Ini didapati daripada doa beliau ketika meninggalkan anaknya Nabi Ismail di Mekah. Firman Allah:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ الصَّلاَةَ

“Wahai Tuhan kami, aku telah menempatkan zuriatku di lembah yang tidak mempunyai tumbuhan di sisi RumahMu, Wahai Tuhanku, supaya mereka mendirikan solat.” (Surah Ibrahim: 37)

7. Nabi Ibrahim sedar bahawa anak dan isterinya berada dalam keadaan yang sukar sewaktu di Mekah, lalu dipanjatkan doa agar Allah memelihara mereka. Kebergantungan yang tinggi kepada Allah menjanjikan pulangan yang lebih lumayan.

Pada asalnya, Nabi Ibrahim berdoa agar Allah memelihara keluarganya sahaja. Namun anugerah yang diberikan oleh Allah lebih dari itu. Telaga Zamzam yang ditemui mereka sangat diberkati sehingga dinikmati oleh umat manusia pada hari ini.

8. Dalam apa keadaan sekalipun, jangan pernah jemu mendoakan anak. Doa adalah manifestasi kebergantungan seorang hamba kepada Tuhannya. Saat belum dikuniakan anak, ketika dikurniakan anak, malah ketika anak dalam kesusahan, usah jemu berdoa. Moga Allah memelihara hamba-hambaNya yang berharap kepadaNya.

Tiada ulasan: