Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Selasa, 16 Julai 2019

JANGAN JEMU MENDOAKAN ANAK

10:07:00 PG 0
JANGAN JEMU MENDOAKAN ANAK
JANGAN JEMU MENDOAKAN ANAK
1. Nabi Ibrahim menampilkan contoh terbaik dalam kesungguhan mendoakan anak. Sebelum dikurniakan anak lagi, Nabi Ibrahim berdoa agar dikurniakan anak yang soleh. Firman Allah:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

“(Nabi Ibrahim berdoa): Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku anak yang soleh.” (Surah al-Saffat: 100)

2. Mengapa Nabi Ibrahim bersungguh berdoa agar dikurniakan anak yang soleh? Kerana hanya anak yang soleh sahaja yang mampu memberikan bantuan pada kita setelah kita meninggal. Ini difahami dari hadith Rasulullah yang menegaskan:

إذا ماتَ ابن آدم انْقَطَعَ عنه عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثةٍ: صَدَقَةٍ جارِيَةٍ، أوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أوْ وَلَدٍ صالحٍ يَدْعُو لهُ

“Apabila meninggalnya anak Adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: (1) Sedekah jariah, (2) ilmu yang bermanfaat, serta (3) anak yang soleh yang mendoakan mereka.

3. Barangkali atas dasar itulah Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak yang soleh. Bagi ibubapa yang belum, sedang atau telah mempunyai zuriat, jangan sesekali berhenti berdoa agar dikurniakan anak yang soleh.

4. Setelah dikurniakan anak, Nabi Ibrahim berterusan berdoa agar dikurniakan anak yang sentiasa mendirikan solat. Ini difahami dari doa Baginda yang direkodkan di dalam al-Quran. Firman Allah:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang sentiasa mendirikan solar, begitu juga dengan anak-anakku, Wahai Tuhan kami, perkenanlah (doa ini).” (Surah Ibrahim: 40)

5. Perhatikan doa ini. Dihujung doa tersebut, terdapat satu ungkapan yang tidak pernah disebutkan di dalam doa Nabi Ibrahim yang lain (sebagai kata penguat) iaitu ungkapannya:

رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء

“Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa ini!”

Ungakapan yang terakhir ini seolah menggambarkan betapa bersungguhnya Nabi Ibrahim dan amat berharap agar dikurniakan anak yang konsisten mendirikan solat. Begitulah juga kita yang sepatutnya sentiasa berdoa agar dikurniakan anak yang sentiasa menjaga solatnya.

6. Nabi Ibrahim turut dilihat mendoakan anaknya yang berada dalam keadaan yang membimbangkan. Ini didapati daripada doa beliau ketika meninggalkan anaknya Nabi Ismail di Mekah. Firman Allah:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ الصَّلاَةَ

“Wahai Tuhan kami, aku telah menempatkan zuriatku di lembah yang tidak mempunyai tumbuhan di sisi RumahMu, Wahai Tuhanku, supaya mereka mendirikan solat.” (Surah Ibrahim: 37)

7. Nabi Ibrahim sedar bahawa anak dan isterinya berada dalam keadaan yang sukar sewaktu di Mekah, lalu dipanjatkan doa agar Allah memelihara mereka. Kebergantungan yang tinggi kepada Allah menjanjikan pulangan yang lebih lumayan.

Pada asalnya, Nabi Ibrahim berdoa agar Allah memelihara keluarganya sahaja. Namun anugerah yang diberikan oleh Allah lebih dari itu. Telaga Zamzam yang ditemui mereka sangat diberkati sehingga dinikmati oleh umat manusia pada hari ini.

8. Dalam apa keadaan sekalipun, jangan pernah jemu mendoakan anak. Doa adalah manifestasi kebergantungan seorang hamba kepada Tuhannya. Saat belum dikuniakan anak, ketika dikurniakan anak, malah ketika anak dalam kesusahan, usah jemu berdoa. Moga Allah memelihara hamba-hambaNya yang berharap kepadaNya.

Rabu, 10 Julai 2019

WASIAT SEPERTIGA HARTA

4:42:00 PTG 0
WASIAT SEPERTIGA HARTA
WASIAT SEPERTIGA HARTA


عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ مَرِضْتُ عَامَ الْفَتْحِ مَرَضًا أَشْفَيْتُ مِنْهُ عَلَى الْمَوْتِ فَأَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي مَالًا كَثِيرًا وَلَيْسَ يَرِثُنِي إِلَّا ابْنَتِي أَفَأُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ قَالَ لَا قُلْتُ فَثُلُثَيْ مَالِي قَالَ لَا قُلْتُ فَالشَّطْرُ قَالَ لَا قُلْتُ فَالثُّلُثُ قَالَ الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّكَ إِنْ تَدَعْ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ وَإِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً إِلَّا أُجِرْتَ فِيهَا حَتَّى اللُّقْمَةَ تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ 

Daripada 'Amir bin Sa'd bin Abu Waqqash dari bapaknya dia berkata; Pada tahun Fathu Makkah (pembukaan Kota Mekah), aku ditimpa sakit dan aku merasa akan mengalami kematian. Kemudian Rasulullah SAW telah datang menziarahiku, lalu aku pun bertanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta yang banyak, sedangkan tidak ada orang yang akan mewarisiku kecuali anak perempuanku seorang diri. Bolehkah aku membuat wasiat terhadap semua hartaku?" Baginda menjawab: "Tidak." Aku bertanya lagi: "Jika duapertiga daripada hartaku?" Baginda menjawab: "Tidak." Aku bertanya lagi:, "Atau separuh darinya?" baginda menjawab: "Tidak." Aku bertanya lagi:, "Kalau begitu, sepertiga darinya?" Akhirnya baginda bersabda: "Sepertiga. Namun, sepertiga adalah jumlah yang banyak. Sesungguhnya, bila kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan fakir dan meminta-minta kepada manusia. Dan sesungguhnya setiap yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredhaan Allah, nescaya engkau  akan diberi ganjaran pahala, walaupun sesuap makanan yang engkau berikan kepada isterimu."  (Sunan Tirmidzi No: 2042) Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.  Mukmin yang kaya lebih baik daripada mukmin yang miskin

2.  Setiap mukmin hendaklah membelanjakan harta kepada jalan yang membawa kepada kebajikan, bersederhana dan tidak pula sampai mengabaikan hak dan kewajipan.

3.  Harus berwasiat sepertiga harta yang ditinggalkan untuk tujuan kebajikan seperti wakaf, sedekah dan sebagainya.

4.  Meninggalkan ahli waris agar menjadi kaya dengan harta pusaka adalah lebih baik daripada membiarkan mereka miskin serta meminta-meminta kepada orang lain.

5.  Seorang mukmin yang kuat dan kukuh ekonominya, mempunyai kekayaan dengan jalan yang terhormat seperti hasil pewarisan harta faraid dari ibu bapa bukan dengan jalan tipu daya adalah suatu kebaikan.

6.  Membelanjakan harta dengan ikhlas kepada anak isteri serta menyimpan harta untuk keperluan ahli waris adalah mendapat pahala kerana menjaga silaturahim. Berbuat kebajikan kepada kaum kerabat adalah lebih utama daripada pemberian kepada orang lain.

Antara amalan yang digalakkan kepada mereka yang sakit juga yang akan bermusafir ialah berwasiat. Bagi yang akan bermusafir mengerjakan ibadat haji bolehlah melakukan wasiat terhadap harta mereka.

#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor 

HAJI MABRUR HAPUSKAN DOSA SEPERTI BAYI

4:40:00 PTG 0
HAJI MABRUR HAPUSKAN DOSA SEPERTI BAYI
HAJI MABRUR HAPUSKAN DOSA SEPERTI BAYI


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّه

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa  melaksanakan ibadat haji semata-mata kerana Allah dan ia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan (keluar dari ketaatan) maka ia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih dari dosa)  (Sahih Bukhari No:1690) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang melaksanakan ibadah Haji dengan tidak melakukan perkara yang dilarang akan diampunkan dosanya bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

2.  Haji mabrur adalah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT (bukan kerana hendak melancong, berjual beli dan seumpamanya). Pelaksanaaan haji dengan kaifiyat (tata cara) yang betul sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW akan menghasilkan pahala yang besar (syurga) dan keampunan dosa. Justeru, seseorang yang mahu melaksanakan ibadah haji mestilah memahami hukum-hukam berkaitan haji dan menjauhi perkataan yang kotor dan perbuatan fasiq.

3.  Syaikh ‘Utsaimin menjelaskan “Apabila seseorang melaksanakan ibadat haji dan menjauhi apa-apa yang Allah haramkan, berupa rafats dan fusuq iaitu meninggalkan perbuatan fasik dengan melakukan ketaatan, dan tidak meninggalkan apa-apa yang Allah wajibkan, serta tidak melakukan apa yang Allah haramkan - maka ia kembali dari ibadat haji dalam keadaan bersih dari dosa. Sebagaimana seorang bayi yang keluar dari perut ibunya tanpa membawa dosa, maka orang memenuhi syarat ini - dia akan bersih dari dosa.” (Fatawa Ibnu Utsaimin: 20/21).

4.  Setiap Muslim yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah segera bertaubat (menyesali dan meninggalkan perbuatan maksiat) dan bertekad tidak akan mengulangi dosa-dosa tersebut. Bagi kesalahan dan dosa berkaitan dengan manusia seperti menzaliminya atau mengambil haknya, hendaklah segera meminta maaf dan mengembalikan hak-hak mereka sebelum pergi melaksanakan haji. Sesungguhnya haji merupakan jalan menuju ke syurga dan membebaskan diri daripada api neraka.

5.  Ibadat haji yang dilaksanakan akan menjadi penghapus dosa apabila dilaksanakan mengikut peraturan dan meninggalkan larangan. Imam al-Nawawi dalam Al-Majmu berkata: “Apabila seseorang ingin mengerjakan ibadat haji maka ia wajib mempelajari tatacaranya, kerana tidak sah ibadah dari orang yang tidak mengetahuinya.” 

Ayuh pastikan ibadat haji yang dilakukan mengikut peraturan dan mematuhi larangan agar ia menjadi pengampun dosa kita.

#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan