عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Daripada Hafsh bin ‘Ashim, dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW baginda bersabda, “Cukup seseorang dikatakan dusta, jika dia menceritakan segala apa yang dia dengar.” (HR. Muslim no. 5). Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Seseorang itu boleh menjadi pendusta apabila dia mendapat sesuatu maklumat, tanpa siasat, dia terus menyebarkan kepada orang lain malah mungkin ada tambah menambah, bagi menyedapkan cerita.
2. Setiap kita perlu berhati-hati sebelum kita menceritakan atau menyebar sesuatu maklumat yang diterima. Ambil sikap tawaqquf (diam hingga ada dalilnya) itu lebih baik dari berlumba-lumba menjadi orang pertama yang menyampaikan.
3. Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim ketika menjelaskan hadis ini menyatakan: Seseorang boleh dikatakan berdusta, apabila segera menceritakan khabar yang diperolehi, kerana berita yang didengar boleh jadi ditokok tambah.
4. Media sosial hari ini sering menyebarkan maklumat yang berbeza daripada yang asal. Contohnya petikan ucapan, video atau gambar yang mungkin diedit atau gambar lama lalu disebarkan hingga menimbulkan kontrovesi.
5. Apa yang didengar atau sesuatu yang ditulis dalam media sosial, boleh jadi benar, boleh jadi tidak. Kalaupun benar mungkin boleh jatuh kepada mengumpat kerana sengaja membuka aib orang lain serta membuka ruang kepada maki hamun dalam komen nitezen.
6. Tidak semua berita yang benar itu boleh disebarluaskan jika ia boleh menimbulkan salah faham, keresahan juga kekacauan kepada masyarakat dan negara. Contohnya isu kemelut politik semasa yang melanda Negara kita sehari dua ini. Kata Abdullah bin Masud RA dalam Muqaddimah Sahih Muslim:
مَا أَنْتَ بِمُحَدِّثٍ قَوْمًا حَدِيثًا لَا تَبْلُغُهُ عُقُولُهُمْ إِلَّا كَانَ لِبَعْضِهِمْ فِتْنَةً
“Tidak boleh engkau menceritakan (suatu berita) kepada sekelompok orang, berupa berita yang tidak boleh mereka fahami malah akan menjadi sumber kerusakan (keresahan, kekacauan atau huru hara) kepada mereka.”
7. Berhati-hatilah apabila menyebar atau share sesuatu maklumat. Jagalah keharmonian dan ketenteraman Negara yang telah lama kita bina. Latihlah diri agar tidak terus share info yang diterima. Moga kita tidak menjadi pendusta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan