Apabila kita lihat ulasan kalangan masyarakat awam, kita dapati ada beberapa salah faham tentang isu zakat kepada non-muslim. Berikut beberapa perkara yang perlu kita fahami bersama;
1. Pendapat zakat boleh diberikan kepada non-muslim dengan syarat-syaratnya merupakan pendapat dalam kalangan fuqaha (ahli fekah). Ia bukan rekaan baharu. Kitab-kitab Fekah sejak dahulu menyebut perkara ini. Paling mudah di zaman ini baca kitab Fiqh al-Zakah فقه الزكاة karangan Dr Yusof al-Qaradawi. Beliau juga menyokong pendapat tersebut.
2.Penentuan kadar zakat dan siapa yang berhak menerimanya ialah dari pihak Ulul Amri atau pemerintah yang mengurus zakat itu sendiri. Ia bukan ditentukan oleh pihak non-muslim. Pastinya Ulul Amri itu hendaklah bijak dalam urustadbir pembahagian. Maka sepatutnya tidak perlu ada kerisauan dalam hal ini.
3. Pemberian zakat dalam bab ini bertujuan untuk menjinakkan jiwa atau memberikan persepsi yang baik terhadap Islam. Ini hakikatnya satu dakwah yang berkesan. Zakat itu bukan sahaja dijelmakan dalam bentuk wang, juga dalam bentuk makanan, bantuan ubatan dan seumpamanya. Umpamanya, apabila pihak pengurusan zakat membantu mangsa-mangsa banjir atau kebakaran, mungkin dalam kalangan mereka terdapat non-muslim. Amatlah tidak wajar untuk mangsa-mangsa lain yang muslim menerima makanan atau bantuan sedangkan mangsa-mangsa non-Muslim pula tidak diberikan makanan atau bantuan yang sama. Ia memberi persepsi yang buruk terhadap Islam. Ini juga tidak mencerminkan sifat Islam yang merahmati semua pihak.
4. Di Malaysia, non-muslim itu bukan hanya tertumpu kepada kaum tertentu sahaja seperti kaum Cina dan India. Di sana terdapat kaum-kaum lain yang belum muslim seperti Bangsa Siam di Perlis. Dayak, Iban, Orang Asal dan seumpamanya. Maka jangan kita anggap semua mereka sama seperti kaum yang sudah kaya sehingga tidak perlu keprihatinan kita yang ada kelebihan.
5. Tujuan zakat kepada non-muslim ialah untuk melembutkan jiwa kepada ajaran Islam yang baik dan harmoni. Ia agenda dakwah kepada memahami ajaran Islam yang tidak memusuhi mereka. Itu salah satu fungsi zakat. Bukan semua duit zakat untuk diberikan pada fakir miskin. Fakir dan miskin hanya dua daripada lapan golongan yang layak. Wang zakat juga 'amilin zakat, untuk muallaf (golongan yang baru muslim atau masih kafir yang mahu jinakkan jiwa mereka), untuk hamba yang mahu ditebus bayarannya, untuk yang parah berhutang, untuk jalan ALLAH dan untuk yang terputus perjalanan. Hal itu perlu difahami dengan baik. Ramai yang kurang pengetahuan menganggap zakat hanya untuk fakir miskin sahaja.
FB Dr Maza
Tiada ulasan:
Catat Ulasan