Upah Penyembelih dan Petugas Korban - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Rabu, 7 Ogos 2019

Upah Penyembelih dan Petugas Korban

Upah Penyembelih dan Petugas Korban


عَنْ عَلِيٍّ قَالَ أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Daripada Ali RA ia berkata; "Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Tetapi aku dilarang oleh baginda mengambil upah untuk tukang potong dari haiwan korban itu. Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri." (Sahih Muslim No: 2320) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Daging serta apa-apa sahaja daripada binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin juga jiran tetangga.

2.  Memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah dilarang kerana ia termasuk dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja mereka.

3.  Imam an-Nawawi ketika mengulas hadis itu menyatakan dalam Syarah Sahih Muslim: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu bahagian dari bahagian korban kepada mereka. Ia tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).

4.  Telah sepakat al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafii bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Sama ada ia korban nazar atau sunat. Hal ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih. (8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)

5.  Hadis ini bukan melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Upah itu boleh diberikan dalam bentuk lain seperti wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban. Kerja dan tenaga seseorang itu patut dibayar upah.

6.  Saidina Ali menyebut: Untuk upahnya (penyembelih dan pelapah), kami ambil dari wang kami sendiri.

7.  Walaupun begitu, jika diberi kepada penyembelih atau petugas dari apa yang dikorban disebabkan kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ini tidak mengapa. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

Justeru itu, diingatkan kepada para petugas korban, JANGAN sekali-kali mengambil sendiri bahagian dari sembelihan korban sebagai habuan seperti kaki, kepala, ekor, perut dan lain-lain melainkan yang dihadiahkan oleh orang yang berkorban atau yang diterima seperti agihan kepada penerima lain yang layak.

Oleh itu marilah kita bersikap RAHMAH sebagai petugas, penyembelih juga pelapah dalam melaksanakan ibadah korban.

Tiada ulasan: