KEPENATAN YANG DISUKAI ALLAH - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Rabu, 24 April 2019

KEPENATAN YANG DISUKAI ALLAH


1. Kesungguhan ibubapa yang bekerja pagi dan petang bagi menyara kehidupan keluarga adalah satu kepenatan yang disukai oleh Allah dan RasulNya. Rasulullah pernah bersabda bahawa setiap suap yang diberikan suami kepada isteri akan diberi pahala. Sabda Nabi:


‎وَلَسْتَ تُنْفِقُ نَفَقَةً تَبْتَغِى بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلاَّ أُجِرْتَ بِهَا حَتَّى اللُّقْمَةُ تَجْعَلُهَا فِي فِيّ امْرَأَتِكَ


“Dan tidaklah kamu memberikan nafkah dalam mencari keredhaan Allah melainkan semuanya akan dibalas dengan pahala. Sehinggakan setiap suap yang disuapkan ke dalam mulut isterimu (juga akan diberi pahala). (HR Muslim).


2. Manakala isteri yang bersungguh mendapatkan makanan buat anak-anaknya akan turut diberikan ganjaran yang besar oleh Allah. al-Imam Muslim meriwayatkan satu insiden yang menyayat hati. Menurut Saidatina Aisyah, seorang Ibu telah datang ke rumahnya bersama dengan dgn dua orang anak perempuannya. Ibu tersebut meminta sumbangan daripada Aisyah. Namun, ketika itu tiada apa yang boleh disumbangkan melainkan sebiji tamar lalu diberikan kepada si Ibu tersebut. 


Apa yang berlaku dihadapan Aisyah sangat menyentuh hatinya. Si Ibu tersebut membelah tamar tersebut kepada dua bahagian lalu diberikan kepada kedua orang anak perempuan yang bersama dengannya sedangkan dia sendiri tidak  mendapat sebarang makanan. Peristiwa ini diberitakan kepada Nabi. Rasulullah lalu bersabda:  


‎فَقَالَ إنَّ اللَّهَ قَدْ أَوْجَبَ لَهَا بِهَا الْجَنَّةَ أَوْ أَعْتَقَهَا بِهَا مِنْ النَّارِ


“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas ibu tadi syurga (iaitu ibu tersebut pasti akan masuk ke syurga) atau (dengan amalan tersebut) Allah akan membebaskannya dari neraka. (HR Muslim).


3. Bahkan Rasulullah turut menegaskan bahawa duit yang ibu dan ayah sumbangkan untuk keluarga mereka adalah sebaik-baik nafkah di jalan Allah. Sabda Rasulullah:


‎أَفْضَلُ دِينَارٍ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ دِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى عِيَالِهِ


“Sebaik-baik dinar adalah dinar yang digunakan sebagai nafkah buat menyara keluarganya” (HR al-Bukhari).


4. Malah membelikan hadiah buat isteri juga dianggap sebagai amalan yang terpuji. Amru ibn Umayyah pernah membeli sepasang kain. Seorang sahabat bertanya, apa yang kamu lakukan kepada kain tersebut. Amru lalu menjawab:


‎تصدقت به عَلَى سخيلة بنت عبيدة ، وكانت امرأته ، وَقَالَ : سمعت رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يقول فِي الصدقة : " الصدقة عَلَى الأهل صدقة


"Aku telah hadiahkannya kepada isteriku Sukhailah bint Ubaydah dan dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya sedekah (hadiah) kamu kepada ahli keluargamu akan diganjari pahala sedekah.  (HR Abu Ya’la).


Justeru, berusahalah menyara keluarga dan berilah hadiah buat isteri. Sesungguhnya ia adalah perkara yang dipuji Allah dan Rasul.


Tiada ulasan: