Sesungguhnya pada diri setiap manusia, telah ditetapkan bagi mereka rezekinya sejak roh ditiupkan pertama kali ke dalam kandungan ibu. Sebagaimana telah disebutkan bahwa rezeki telah ditetapkan, hanya tinggal bagaimana cara kita meraih rezeki tersebut. Sama ada dengan jalan halal dan penuh keberkatan, ataupun dengan jalan haram yang mengundang kemurkaan Allah. Maka tidak salah jika ramai yang lebih suka mengatakan menjemput rezeki daripada mencari rezeki.
Bila pintu rezeki ditutup Allah, maka dunia terasa menghimpit. Islam telah mengajar umatnya bahawa meninggalkan ketaqwaan di dalam apa jua aspek kehidupan akan mengundang kemiskinan dan kemelaratan. Macam-macam kemiskinan boleh berlaku bila taqwa tidak dimiliki.
Semuanya termaktub di dalam alquran dan sunnah Rasulullah SAW. Tidak miskin harta, seseorang yang melakukan dosa terus menerus tanpa taubat boleh jadi miskin iman, miskin hidayah, miskin ilmu, miskin akhlak dan adab, miskin maruah dan jati diri. Dalam kata-kata yang lain, kalau taqwa menjadi faktor ‘pengundang’ rezeki, keberkatan dan rahmat Ilahi, maka kesan dosa, maksiat dan mungkar adalah sebaliknya.
Lalu, pernahkah selama ini terfikir dan terlintas di hati kita, bahawa dosa yang kita lakukan samada terhadap Allah dan sesama manusia selama ini menjadi faktor atau penyebab ‘sempit’ dan ‘terhalang’nya rezeki Allah dari rezeki kita? Tersebut di dalam sebuah kitab Musnad, “Sesungguhnya manusia terhalang dari rezeki lantaran dosa yang dilakukannya.”
Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ad Dailami, Rasululah SAW bersabda: “Perbuatan zina itu mewariskan (mendatangkan) kefakiran (kemelaratan) .”
Tanpa asas taqwa, seandainya seseorang itu dilihat melimpah ruah hartanya sekalipun, ia tak lebih merupakan ‘istidraj’ dari Allah. Itulah pemberian yang disertai laknat dan kutukkan. Mahukah kita dikurniakan rezeki sebegitu? Mahukan kita pemberian yang sedemikian? Kalau jawapan kita ‘ya’, maka kita tak lebih umpama Qarun, Tha’labah Yahudi Mabuk serta yang sama waktu dengan mereka.
Bagi golongan ini wang, harta dan kemewahan adalah segala-galanya. Dari mana punca dan sumbernya, tidak pernah diambil kira. Mereka langsung tidak memperdulikannya. Lihat kesudahan mereka. Tiada apa lagi yang boleh menahan mereka daripada terkubur hina bersama dengan harta haram dan syubhat yang mereka usahakan selama ini.
Firman Allah s.w.t.yang bermsksud :
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya.” (Surah At-Talaq ayat 2-3)
Antara punca-punca rezeki sukar diperoleh :
1) Jauhnya hubungan dengan Allah S.W.T.
2) Dosa.
3) Punca rezeki yang tidak berkat.
4) Bakhil. (Tidak bersedekah dan mengeluarkan zakat.)
5) Tidak mensyukuri nikmat yang diberi.
6) Ujian.
Kadangkala seseorang pernah bertanya pada diri sendiri, “Kenapa rezekiku sempit? Buat berbagai usaha tetapi masih gagal mencapai matlamatnya?Berniaga merosot, puas aku berdoa dan minta pertolongan Allah tetapi masih tidak dimakbulkan-Nya?”
Perlu di ingat bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa akan berlaku kepada para hamba-Nya dilambatkan permohonannya adalah untuk kebaikan hambanya sendiri. Kerana takwanya belum mantap, maka diuji lagi supaya semakin banyak ia berusaha, berdoa dan bertawakal maka akan melahirkan hubungan yang erat hatinya dengan Allah S.W.T. dan Dia ingin memberikan pahala yang besar kepadanya diatas kesabarannya. Oleh itu kita kena berbaik sangka dengan Allah S.W.T. berdoa dan terus berdoa jangan putus asa. Cepat atau lambat dikabulkan doa kita adalah urusan Allah S.W.T.
Sebagai kesimpulan, terdapat banyak perkara yang boleh menghalang dan membuatkan begitu mahalnya rezeki kepada kita. Dalam usaha mencari rezeki di atas dunia ini, jangan sampai menjauhkan kita daripada beribadah dan mangingati Allah. Oleh itu, kita perlu bertawakal kepada Allah dengan hakikat tawakal yang sebenarnya. Kita mesti berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Kalau dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah dan berbaik sangka dengan Allah. Yang penting, kita mesti tahu meletakkan kepentingan antara dunia dan akhirat. Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini. Berusaha dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah. Tetapi ingat, ia tidak akan dapat mengatasi takdir Allah S.W.T.
FB Ustaz Iqbal Zain
1 ulasan:
betul tu.
muhasabah diri dan kerap tanya kenapa kepada diri, insyaAllah jumpa jawapannya
www.maisarahsidi.com
Catat Ulasan