Kebakhilan terhadap harta yang diperolehi adalah merupakan sifat tercela yang perlu dielak dan dijauhi. Kerana sifat bakhil ini akan menjadikan seseorang itu menjadi cinta terhadap dunianya sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai khalifah dia atas muka bumi Allah ini. Bahkan sifat bakhil juga mampu merosakan nilai nilai kemanusian di dalam diri seseorang.
Dalam setiap harta yang kita perolehi ada hak dan kepunyaan orang lain yang perlu kita tunai dan salurkan. Kerana itu Allah mewajibkan ke atas kita berzakat.
Tetapi jika dalam diri kita ada sifat bakhil, masakan mahu kita mengeluarkan harta untuk diberikan kepada mereka yang berhak?
Sudah pastilah kebakhilan kita akan menghalang kita daripada mengeluarkan harta dan yang menakutkan lagi adalah kita telah berlaku zalim kepada mereka yang berhak menerima harta kita.
Sifat bakhil adalah kesan dimana nikmat dan kurniaan oleh Allah yang kita terima tidak mahu kita syukuri. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud ;
"Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba)." [100:6-8]
Sifat bakhil adalah merupakan malapetaka bagi diri. Jauhilah! Mohon kepada Allah agar kita dijauhkan daripada sifat bakhil ini.
Kita mampu untuk mengikis sifat bakhil dalam diri kita ini. Ia memerlukan kepada latihan yang berterusan dan disiplin yang tinggi. Jangan kita ambil enteng masalah bakhil ini kerana ia akan mendorong kepada gejala hati yang lebih teruk lagi seperti sombong, angkuh dan bangga diri.
Solusi yang baik untuk menangani kebakhilan dalam diri adalah dengan mendisiplinkan diri bersedeqah setiap hari. Usahakanlah semampu mungkin untuk mengeluarkan sedeqah setiap hari.
Mungkin saya boleh cadangkan sekurang kurangnya RM1 setiap hari masuk ke dalam tabung surau atau masjid. Jika kalian punya duit lebih, amatlah baik untuk bersedeqah lebih banyak.
Bagi lelaki yang sentiasa berjemaah subuh ke surau atau masjid setiap pagi amat mudah untuk melakukan disiplin sedeqah sekurang kurangnya sehari RM1 ini. Jika tidak ke surau atau masjid di waktu pagi, boleh dilakukan pada waktu waktu yang lain pada hari yang sama.
Usahakanlah juga untuk bersedeqah walaupun mungkin berhadapan dengan kesukaran. Insyaallah Allah akan bantu untuk kita melakukan amalan mulia ini.
Bagi para wanita pula, boleh menyerahkan wang yang ingin disedeqahkan itu kepada suami atau anak lelaki untuk disedeqahkan ke tabung surau atau masjid sekiranya ada kepayahan untuk hadir ke rumah rumah Allah itu.
Atau juga boleh saya cadangkan wujudkan tabung derma di rumah masing masing. Setiap duit yang dimasukkn setiap hari ke dalam tabung derma tersebut akan disedeqahkan ke mana mana tabung surau atau masjid atau juga kepada mereka yang berhak.
Lakukanlah amalan sedeqah ini setiap hari dengan penuh disiplin kerana ia akan membantu kita mengikis sifat bakhil dalam diri. Lama kelamaan kita tidak bakhil pula untuk mengeluarkan harta yang kita perolehi kepada mereka yang berhak menerimanya.
Dan apabila amalan ini menjadi sebati dan kita merasai kemanisannya, insyaallah akan mula bercambah pula sifat pemurah dan kita tidak lokek terhadap harta yang kita perolehi untuk diberikan ke mana mana jalan yang mendatangkan keredhaan Allah SWT.
Mengakhiri bicara ringkas ini, saya menasihati diri saya dan semua sekiranya bermanfaat, agar lakukanlah sedeqah atau apa jua maksud mengeluarkan harta ke jalan Allah setiap hari. Dengan memulakan sedeqah sekurang kurangnya RM1 setiap hari adalah cadangan permulaan. Jika kalian boleh sedeqah setiap hari lebih RM1 lebih baik.
Moga moga, usaha bersedeqah setiap hari ini akan mengikis sifat bakhil dalam diri kita sekali gus menjadikan kita seorang yang pemurah. Wallahu'alam.
#AkhiAdifGorment
16 Ramadhan 1439H
1 Jun 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan