Suatu ketika Imam Ahmad bin Hanbal pergi bermusafir lalu apabila malam menjelma beliau singgah disebuah masjid dalam satu perkampungan bertujuan merehatkan badannya.
Namun penjaga masjid itu tidak mengenali Imam Ahmad. Penjaga masjid itu tidak membenarkan beliau berehat di masjid itu walaupun beberapa kali diminta dan dirayu oleh Imam Ahmad.
Imam Ahmad akur lalu beliau beredar dari masjid tersebut. Sampai di luar masjid Imam Ahmad bertembung dengan seorang penjual roti yg sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Si penjual roti menegur Imam Ahmad dan mereka berbual seketika. Setelah mengetahui kisah Imam Ahmad tidak dibenarkan berehat di masjid, penjual roti itu lantas mengajak dan mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam di rumahnya.
Sampai sahaja di rumah si penjual roti melayan Imam Ahmad selayaknya sebagai seorang tetamu. Dihidangnya makan dan minum dan berbual seketika tanpa dia mengetahui bahawa tetamunya itu seorang imam yg hebat iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Selepas itu si penjual roti menunjukkan tempat tidur utk Imam Ahmad berehat dan dia pun meminta diri kerana perlu menyiapkan rotinya yg akan dijual keesokan hari.
Imam Ahmad memerhatikan sahaja si penjual roti yg berhati mulia itu melaksanakan pekerjaannya dari awal hingga dia siap membakar rotinya. Suatu perkara yang menarik perhatian Imam Ahmad, sepanjang melakukan pekerjaan membuat roti itu si penjual roti tidak putus melafazkan istighfar di bibirnya. Sementara tangan si penjual roti ligat membuat kerja, bibirnya pula dibasahkan dengan istighfar tanpa henti dan tanpa jemu.
Lantas Imam Ahmad bertanya kepada si penjual roti:
"Aku melihat engkau melaksanakan pekerjaanmu sambil melafazkan istighfar tanpa henti. Apakah sudah lama engkau mengamalkan yang sedemikian? Apakah pula hasilnya yg engkau dapat?"
Jawab si penjual roti:
"Itulah amalanku (istighfar) telah sekian lama aku lakukan tanpa henti dan tanpa jemu."
"Dan faedah yg aku dapati daripada amalanku itu, tiada satu pun doa yg aku pohon kepada Allah melainkan akan diperkenankan oleh-NYA. Melainkan satu sahaja hajat dan doaku yg masih belum Allah berikan."
"Apakah hajatmu yg belum diperkenankan Allah itu?" tanya Imam Ahmad lagi.
Jawab si penjual roti:
"Aku sangat berhajat utk bertemu dengan imam yg hebat di zaman ini iaitu Imam Ahmad bin Hanbal."
Terkejut dan terkedu Imam Ahmad mendengar jawapan si penjual roti. Lantas beliau berkata:
"Rupanya ini semua perancangan Allah yg sgt hebat. Saya tidak dibenarkan berehat di masjid kerana untuk datang ke sini demi memenuhi doa dan permintaanmu."
"Apakah maksudmu wahai tetamu aku muliakan?" tanya si penjual roti dgn penuh kehairanan.
"Akulah Imam Ahmad bin Hanbal yg kau doa dan pohon pada Allah utk bertemu." jawab Imam Ahmad dengan linangan air mata.
Rasulullah s.a.w bersabda yg bermaksud:
"Barangsiapa memperbanyak istighfar (mohon ampun kepada Allah), nescaya Allah menjadikan baginya pada setiap kesedihannya jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada kelapangan dan Allah akan memberinya rezeki (yang halal) dari arah yang tiada disangka-sangka.”
(HR. Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan