HUKUM-HAKAM BERBUKA PUASA SEMASA MUSAFIR - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Jumaat, 1 Jun 2018

HUKUM-HAKAM BERBUKA PUASA SEMASA MUSAFIR



HUKUM-HAKAM BERBUKA PUASA SEMASA MUSAFIR
Assalamualaikum Dr yang dihormati, saya terlibat dengan tugasan kerja yang boleh dikatakan kebanyakan hari saya ‘out station’ yang membabitkan perjalanan yang jauh. Kadang-kadang keluar negara. Oleh kerana saya musafir, saya solat jamak dan qasar. Saya baca al-Quran (terjemahan) menyatakan orang musafir pun boleh buka puasa. Saya rasa kadang-kadang amat letih dalam tugas, memang rasa nak buka puasa. Cuma ada orang beritahu saya bahawa orang yang kebanyakan hari musafir seperti pilot kapalterbang atau driver bas tidak boleh buka puasa. Ada pula kata tak boleh buka melainkan jika betul ‘dah teruk’. Bolehkah Dr huraikan masalah ini?
Sham, Seremban.

Jawapan Dr MAZA: Wa’alaikumussalam wbt, saudara Shams. Islam adalah agama Allah yang memberikan kemudahan kepada penganutnya. Ia bukan syariat yang membebankan, bahkan ia satu syariat yang penuh rahmah untuk membolehkan penganutnya taatkan Allah dalam kadar yang mereka mampu. Solat jamak dan qasar, begitu juga iftar (berbuka puasa) semasa musafir adalah antara ‘rukhsah’ (kelonggaran) yang Allah berikan untuk hamba-hambaNya. Berhubung dengan hukum berbuka puasa semasa bermusafir maka saya jawab seperti berikut;

1. Keizinan iftar (berbuka puasa) apabila seseorang itu bermusafir adalah dari nas al-Quran dan al-Sunnah, bukan pendapat mana-mana pihak. Maka, tiada siapa yang boleh membatalkan keizinan yang tertinggi ini. Firman Allah:
مَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر
 (maksudnya): “..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini memberikan keizanan untuk mereka yang bermusafir berbuka puasa. Maka ia merangkumi setiap yang bermusafir, samada dia sering bermusafir, atau jarang bermusafir, tidak menjadi persoalan. Keizinan diberikan kepada sesiapa yang bergelar musafir. Ertinya, apabila dia boleh mengqasarkan solat kerana musafir, dia juga mendapat kelonggaran berbuka puasa pada bulan Ramadan.

2. Samada dia merasa beban dalam musafirnya ataupun tidak, dia tetap mendapat kelonggaran berbuka. Ini kerana ‘illah (paksi) hukum dalam hal ini adalah safar (permusafiran). Sekalipun mungkin di zaman kini bagi yang menaiki kapalterbang mewah tidak merasai apa-apa beban, namun dia tetap dikira sebagai seorang musafir, maka dia mendapat kelonggaran ini.  Apa yang penting, dia wajib menggantikannya pada hari-hari lain.

3. Pada asalnya, kelonggaran bererti dia mempunyai pilihan. Jika dia mahu dia boleh mengambil kelonggaran tersebut dan digantikan puasa pada hari yang lain. Jika dia enggan dia boleh terus berpuasa. Daripada Anas bin Malik r.a, katanya:
سَافَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ، فَلَمْ يَعِبِ الصَّائِمُ عَلَى الْمُفْطِرِ، وَلَا الْمُفْطِرُ عَلَى الصَّائِمِ

 “Kami bermusafir bersama Rasulullah s.a.w dalam bulan Ramadan. Orang  yang berpuasa tidak memperkecilkan yang berbuka, dan yang berbuka pula tidak memperkecilkan yang berpuasa” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, bagi seseorang yang bermusafir semasa Ramadan dia boleh membuat pilihan yang paling baik untuk dirinya. Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah s.a.w:
يَا رَسُولَ اللهِ، أَجِدُ بِي قُوَّةً عَلَى الصِّيَامِ فِي السَّفَرِ، فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هِيَ رُخْصَةٌ مِنَ اللهِ، فَمَنْ أَخَذَ بِهَا، فَحَسَنٌ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَصُومَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ
“Wahai Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir, adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi s.a.w: “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada salah baginya”. (Riwayat Muslim)

4. Para ulama berbeza pendapat tentang manakah lebih afdal ketika bermusafir; puasa atau berbuka. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa jika puasa tidak menjadi bebanan, maka berpuasa lebih baik. Ini kerana dalam hadis Jabir r.a:
إنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ إِلَى مَكَّةَ عَامَ الفَتْحِ، فَصَامَ حَتَّى بَلَغَ كُرَاعَ الغَمِيمِ، وَصَامَ النَّاسُ مَعَهُ، فَقِيلَ لَهُ: إِنَّ النَّاسَ قَدْ شَقَّ عَلَيْهِمُ الصِّيَامُ، وَإِنَّ النَّاسَ يَنْظُرُونَ فِيمَا فَعَلْتَ، فَدَعَا بِقَدَحٍ مِنْ مَاءٍ بَعْدَ العَصْرِ، فَشَرِبَ، وَالنَّاسُ يَنْظُرُونَ إِلَيْهِ، فَأَفْطَرَ بَعْضُهُمْ، وَصَامَ بَعْضُهُمْ، فَبَلَغَهُ أَنَّ نَاسًا صَامُوا، فَقَالَ: أُولَئِكَ العُصَاة

“Bahawa Rasulullah s.a.w keluar ke Mekah pada tahun pembukaan Mekah pada bulan Ramadan. Baginda berpuasa sehingga sampai Kura’ al-Ghamim. Orang ramai turut berpuasa. Lalu diberitahu kepada baginda: “Sesungguhnya puasa telah membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang engkau akan lakukan”. Lalu selepas Asar, baginda meminta sebekas air dan meminumnya. Orang ramai masih menungguh. Ada yang berbuka, ada juga yang masih berpuasa. Apabila sampai berita kepada baginda bahawa ada orang yang masih berpuasa, baginda bersabda: “mereka itu derhaka” (Riwayat Muslim, al-Nasai, al-Tirmizi dll, lafaz ini lafaz al-Tirmizi).

Dalam hadis ini menunjukkan, jika tidak kerana bebanan ke atas para sahabah, tentu baginda terus berpuasa. Dalam riwayat di atas baginda memarahi mereka yang enggan berbuka setelah baginda berbuka. Baginda menyebut dalam riwayat Muslim: “Mereka itu menderhaka! Mereka itu menderhaka!”.

5. Adapun jika puasa menjadi beban sehingga boleh membawa mudarat, maka seseorang wajib membuka puasanya. Nabi s.a.w melarang para sahabah berpuasa sehingga memudaratkan diri. Ini seperti hadis di atas yang mana Nabi s.a.w menyatakan bahawa mereka yang enggan berbuka puasa sekalipun telah menjadi bebanan kesusahan kepada diri itu sebagai menderhakai arahan atau teladan baginda s.a.w. Dalam riwayat al-Bukhari:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَرَأَى زِحَامًا وَرَجُلًا قَدْ ظُلِّلَ عَلَيْهِ، فَقَالَ: «مَا هَذَا؟»، فَقَالُوا: صَائِمٌ، فَقَالَ: «لَيْسَ مِنَ البِرِّ الصَّوْمُ فِي السَّفَرِ
"Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa?. Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir!".

Maka hendaklah sesiapa yang merasakan dirinya terbeban sehingga memudaratkan kesihatan atau keadaannya, maka dia wajib membuka puasa.

6. Jika Nabi s.a.w menyuruh membuka puasa apabila bimbang mudarat atau bebanan yang terlalu berat untuk dirinya secara individu, sudah pasti dia lebih patut membuka puasa jika memudarat pihak-pihak lain. Ini seperti pemandu kenderaan awam yang jika mereka berpuasa boleh menghilangkan tumpuan mereka dalam perjalanan seterusnya boleh mengundang kemalangan, maka mereka hendaklah berbuka puasa. Jika ia tidak mengganggu tugas dan mengancam keselamatan awam, maka mereka tidak diwajibkan berbuka, namun mempunyai pilihan.

7. Dikiaskan dalam hal ini, mereka yang sakit yang mungkin akan menjadi mudarat jika terus berpuasa, maka mereka wajib berbuka. Jangan ada yang membahayakan diri dengan meninggalkan rawatan dan ubat semata-mata kerana ingin berpuasa pada bulan Ramadan. Allah yang mewajibkan puasa Ramadan itu, Allah itu juga telah mewajibkan berbuka bagi hamba-hambaNya yang dalam mudarat. Maka taatilah Allah dalam kedua arahan tersebut. Apa yang penting, wajib menggantinya apabila mampu, atau membayar fidyah bagi yang terus tidak berkemampuan.

FB Dr. Maza

Tiada ulasan: