MEMILIH PEMIMPIN POLITIK BUKAN SEPERTI MEMILIH IMAM SOLAT - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Isnin, 7 Mei 2018

MEMILIH PEMIMPIN POLITIK BUKAN SEPERTI MEMILIH IMAM SOLAT


1. Memilih pemimpin negara atau negeri tidak sama dengan memilih imam solat. Walaupun kedua-dua kedudukan itu untuk diikuti oleh makmun ataupun rakyat di belakang mereka, tapi siyasah ataupun urustadbir negara tidak seperti solat. 


2. Imam solat diukur kelayakan di sudut bacaan dan pengetahuan mengenai solat. Hukum-hakam solat pula kebanyakannya sudah tetap dan tidak memerlukan kesungguhan untuk berfikir menangani kerumitan. Ia satu ilmu yang sangat terbatas.  Sementara pemimpin dalam urustadbir negara memerlukan kemampuan di sudut siyasah dan ketangkasan dalam menguruskan situasi rakyat. Memerlukan keupayaan berinteraksi dengan suasana semasa dalam dan luar negara.


3. Dalam Islam, bab politik hanya diberikan garis panduan umum sahaja, di mana kebanyakan urusan politik diserahkan kepada ijtihad manusia berdasarkan situasi yang mereka hadapi. Nas-nas agama tidak begitu mengikat manusia dalam politik sedangkan nas-nas itu begitu mengikat muslim dalam hukum-hakam solat.


4.Justeru itu kita lihat, sahabat Nabi s.a.w yang sangat bagus bacaan al-Quran ialah Ubai bin Ka'ab tidak dilantik dalam urustadbir politik. Kelebihan beliau di sudut bacaan al-Quran diakui dan dipuji oleh Nabi s.a.w sendiri.  Namun, beliau tidak dicadangkan menjadi khalifah ataupun pemerintah ataupun gabenor. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab beliau dilantik menjadi imam untuk mengepalai solat tarawikh. Umar sangat menghormati keilmuan dan pegangan agamanya. Dalam Tabaqat Ibn Saad, ada riwayat yang Ubai bin Ka'ab pernah bertanya Umar: 

مالك لا تستعملني؟»، قال: أكره أن يدنس دين


"Mengapa engkau tidak melantikku  (sebagai anggota pentadbiran). Jawab Umar: Aku tidak suka dicemari agamamu".


Ini kerana, pengurusan politik mempunyai seni dan bidangnya yang tersendiri, bukan semua orang mampu mengharunginya. 


5. Inilah juga yang Nabi s.a.w jawab kepada sahabat yang dikasihi baginda Abu Zar, apabila beliau meminta jawatan politik daripada Nabi s.a.w. Jawapan baginda kepadanya: "Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).


Abu Zar bukan lemah iman, tapi lemah dalam kemampuan politik. Justeru itu Nabi s.a.w menyatakan ia nanti satu kerugian di akhirat disebabkan kegagalan memikul tanggungjawab politik sekalipun baik di sudut amalan peribadi. 


6. Dalam bahasa tempatan kita, bukan semua yang bergelar ustaz tahu berpolitik. Bahkan dalam Sirah, Rasulullah s.a.w melantik muka-muka baru yang mungkin ‘tidak terkenal dengan warak’ tetapi tangkas dan memenuhi sasaran kepimpinan. Ini seperti melantik ‘Amr bin al-As menjadi gabenor ‘Oman walaupun beliau masih baru menganut Islam dibandingkan sahabat-sahabat yang lain.


7. Bahkan Nabi s.a.w mengiktiraf mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tertonjol semasa zaman jahiliah. Apabila mereka menganut Islam dan dapat memahami Islam dengan baik, maka mereka yang terpilih semasa zaman jahiliah akan terpilih juga semasa Islam. Seniority dalam menganut agama bukan penentu kepada kepimpinan. Ini disebut dalam hadis Nabi s.a.w: "Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


8. Oleh itu, pandangan sesetengah pihak supaya pilih calon pilihanraya orang yang kelihatan kuat atau ada pengetahuan agama TANPA menilai kemampuan individu itu dalam urustadbir politik  merupakan satu kesilapan yang menyanggahi petunjuk Nabi s.a.w dan para sahabah baginda.


9. Namun, jika ada tokoh yang kuat beragama dan tangkas dalam urustadbir politik maka pasti itulah yang terbaik. Inilah sebabnya Abu Bakar,  Umar, Uthman dan Ali dipilih. Bukan kerana sekadar kuat beribadah, tetapi kukuh pengetahuan agama dan tangkas dalam bidang politik. 


10. Namun, jika sekadar imam dan ustaz semata terus kita lantik tanpa menilaikan kemampuan urustadbir yang baik (good governance) maka itu merupakan satu kesilapan di sudut agama dan juga kebijaksanaan hidup. Maka kenyataan sesetengah pihak yang menyamakan pilihan imam solat dengan pilihan calon pilihanraya merupakan satu kesilapan.


Copy FB Dr Maza

Tiada ulasan: