MIMPI BUKAN HUJAH KEBENARAN  - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Ahad, 29 April 2018

MIMPI BUKAN HUJAH KEBENARAN 

MIMPI BUKAN HUJAH KEBENARAN 

Telah berlaku peperangan antara sahabat Nabi s.a.w selepas kewafatan baginda. Ia disebabkan salah faham dalam beberapa isu politik khususnya sehingga membawa kepada pertempuran yang tidak dirancang dan dijangka. Mereka semua menyesali hal itu.

Mereka yang terlibat dalam pertembungan itu  terdiri dari beberapa sahabat yang sangat rapat dengan Nabi s.a.w iaitu menantu baginda yang tercinta Ali bin Abi Talib, sahabat yang dijamin syurga iaitu Talhah bin Ubaidillah, Al-Zubair bin al-awwam dan beberapa orang lain. Bahkan isteri tercinta Nabi s.a.w iaitu Aishah binti Abi Bakr sendiri turut terlibat.

Dalam peristiwa itu, Ali bin Abi Talib telah bertempur tanpa jangkaan dengan pasukan Aishah r.ha. dalam Perang Jamal. Demikian juga Ali bertempur dengan Muawiyah dan 'Amr bin al-'As dalam Perang Siffin.

Namun, tidak pernah siapa pun dalam kalangan mereka -sekali pun mereka sahabat Nabi yang rapat- menggunakan nama Nabi s.a.w- untuk menghukum kufur atau sesat ataupun musuh Islam kepada pihak yang berlawanan dengan mereka dalam isu-isu yang terbabit.

Tidaklah pula pernah mereka menggunakan alasan MIMPI berjumpa Nabi s.a.w bagi berhujah menentang pihak yang berbeza. Padahal orang seperti Aishah yang merupakan isteri Nabi s.a.w jika dia berkata dia bermimpi berjumpa Nabi dan baginda menyatakan siapakah antara mereka di pihak yang benar, pasti tiada siapa yang boleh mempertikaikannya. Hal itu tidak pernah mereka lakukan. Tidak Aishah, tidak Ali, tidak Talhah dan tidak Al-Zubair.

Ombak fitnah kekeliruan yang begitu besar berlaku ketika itu. Puluhan ribu sahabat yang masih hidup mengambil langkah berkecuali. Hanya beberapa puluh orang sahaja yang terlibat. Jika mimpi itu hujah, sudah pasti mereka semua lebih wajar mendapat kurniaan mimpi bagi menentukan pendirian dalam isu yang berlaku ketika itu. Mereka pimpinan umat. Mereka perlukan pendirian yang jelas. Pun mereka semua tidak pernah berhujah dengan mimpi berjumpa Nabi s.aw bagi menentukan kebenaran dalam perselisihan siyasah antara mereka.
Maka amat pelik jika terdapat pihak yang bukan sahabat yang hidup di zaman ini tiba-tiba berhujah dengan mimpi dalam menentukan salah dan benar pegangan anutan mereka. Alangkah mudah dan murahnya nama Tuhan digunakan.

Copy FB Dr Maza

Tiada ulasan: