Kesalahan Membongkar Dosa Peribadi Dalam Kempen PRU - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Jumaat, 6 April 2018

Kesalahan Membongkar Dosa Peribadi Dalam Kempen PRU

Kesalahan Membongkar Dosa Peribadi Dalam Kempen PRU
Copy Facebook Dr Maza

Kesalahan Membongkar Dosa Peribadi Dalam Kempen Dalam usaha menjatuhkan kredibiliti pihak lawan, seringkali berlaku pendedahan keaiban peribadi calon yang tiada kaitan dengan kepentingan umum. Perbuatan mendedahkan aib peribadi merupakan dosa besar. Aib peribadi ialah maksiat seseorang dengan Allah tanpa membabitkan kezaliman ke atas pihak lain. Hanya melainkan jika kesalahan itu membahayakan para pengundi, maka itu boleh diperkatakan dengan kadar keperluan sahaja tanpa dikaitkan dengan perihal yang tiada kepentingan awam. Allah berfirman dalam Surah al-Nisa ayat 148:
لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا
(maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui”.

Nabi s.a.w memberikan amaran:
لا تُؤْذُوا الْمُؤْمِنِينَ، لا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنْ يَتَّبِعْ عَوْرَةَ أَخِيهِ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ، وَلَوْ فِي جَوْفِ بَيْتِهِ
“Jangan kamu menyakiti orang mukmin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka kerana sesiapa yang mencari keaiban saudaranya Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah dapat keaibannya, maka didedahkannya sekalipun (keaiban itu) dalam rumahnya”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud, dinilai sahih).

Namun, jika sesuatu kelemahan itu boleh memberikan kemudaratan ataupun memberikan kesan yang tidak baik kepada pihak lain, maka tidak mengapa dijelaskan dengan kadar yang diperlukan sahaja. Atas sebab itulah apabila ada pihak yang ingin meminang seseorang wanita, Nabi s.a.w mendedahkan kepada wanita kelemahan pihak yang meminang bagi menjaga kemaslahatan wanita yang dipinang. Dalam kisah Fatimah binti Qais yang dipinang oleh Abu Jahm dan Muawiyah bin Abi Sufyan, Nabi s.a.w memberitahu kepada Fatimah binti Qais:
أَمَّا أَبُو جَهْمٍ، فَلَا يَضَعُ عَصَاهُ عَنْ عَاتِقِهِ، وَأَمَّا مُعَاوِيَةُ فَصُعْلُوكٌ لَا مَالَ لَهُ، انْكِحِي أُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ
“Adapun Abu Jahm, dia tidak meletakkan tongkat dari bahunya (ditakwilkan bermaksud sering memukul isteri). Sementara Mu’awiyah seorang yang terlalu miskin, tiada harta padanya. Kahwinilah Usamah bin Zaid” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w mendedahkan kelemahan mereka demi menjaga kemaslahatan pihak yang terbabit iaitu Fatimah binti Qais. Jika untuk menjaga kemaslahatan satu individu, dibolehkan untuk kita mendedahkan kelemahan pihak lain yang terbabit, sudah pastinya menjaga kemaslahatan awam lebih sepatutnya dibolehkan. Namun hal itu hendaklah hanya terbatas kepada perkara yang berkaitan dengan kepentingan umum sahaja.

Tiada ulasan: