Walaupun cadangan ini bukanlah suatu cadangan yang baru, bahkan telah ramai pun umat Islam yang telah mengamalkannya, namun saya mengambil inisiatif untuk mencadangkan kepada umat Islam yang belum memulakan dan mengajak untuk sama sama mengamalkannya. Insyaallah.
Dalam sebuah hadith, dari Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Tidak ada satu subuh-pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)” [HR al-Bukhari]
Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa sesiapa yang bersedekah khusus pada waktu subuh akan mendapat doa kebaikan daripada Malaikat. Manakala bagi mereka yang bakhil terhadap hartanya pula, maka akan mendapat doa kerosakan daripada Malaikat atas kebakhilannya.
Berdasarkan hadith inilah, ramai dari kalangan umat Islam yang telah mengamalkan amalan mulia ini sebagai rutin harian. Semoga Allah menerima sedekah yang telah mereka lakukan.
Justeru, ada beberapa cadangan untuk melaksanakan amalan yang mulia lagi mengundang keberkatan dan kerahmatan Allah ini.
(1) Bagi kaum lelaki, amalan ini boleh dilakukan setiap kali hadir ke surau atau masjid ketika ingin menunaikan solat Subuh berjemaah. Sebelum kaki melangkah masuk ke dewan solat, bolehlah masukkan sedekah ke dalam tabung yang tersedia.
Berdoalah memohon kepada Allah sebarang hajat untuk diri, ibu bapa dan ahli keluarga ketika memasukkan duit ke dalam tabung.
(2) Namun, ketika peluang yang agak terhad untuk menunaikan solat berjemaah di surau atau masjid akibat daripada pendemic yang membimbangkan ini, para lelaki boleh mewujudkan tabung khas di rumah untuk memastikan kesinambungan amalan sedekah Subuh dapat diteruskan walaupun di rumah.
Ketika berpeluang ke surau atau masjid, bolehlah duit sedekah yang telah diisi di dalam tabung di rumah dimasukkan ke dalam tabung surau atau masjid.
(3) Bagi wanita pula, oleh kerana tiada tuntutan untuknya menunaikan solat berjemaah di surau atau di masjid, maka sebaiknya mereka sendiri atau suaminya mewujudkan tabung khas di rumah untuk diisi dengan duit duit sedekah di waktu subuh. Ketika tabung sudah penuh, bolehlah diserahkan kepada pihak surau atau masjid.
(4) Mewujudkan tabung khas untuk sedekah di rumah juga adalah merupakan suatu galakkan yang sangat baik kepada ahli keluarga terutama kepada anak anak. Ia akan menjadi contoh ikutan yang baik bagi mereka untuk diamalkan demi meraih kasih sayang Allah.
(5) Sebenarnya, sedekah secara hakikatnya adalah untuk mendidik jiwa agar sentiasa mensyukuri nikmat nikmat yang Allah berikan. Ia juga adalah merupakan pembersihan jiwa daripada sifat sifat mazmumah seperti bakhil, haloba terhadap harta, riyak dan sebagainya.
Oleh kerana itu, amalkanlah amalan sedekah waktu Subuh ini biarpun sedikit namun yang penting adalah istiqomah melakukannya. Wallahu'alam.
Selamat Beramal
#AkhiAdifGorment
31 December 2020
C&P
Tiada ulasan:
Catat Ulasan