Memburu Lailatul Qadar Sepuluh Malam Terakhir Ramadan - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Selasa, 19 Mei 2020

Memburu Lailatul Qadar Sepuluh Malam Terakhir Ramadan

Memburu Lailatul Qadar Sepuluh Malam Terakhir Ramadan


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَيَقُولُ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Daripada Aisyah Radliallahu 'anha berkata: Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan dan bersabda: "Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam yang akhir dari Ramadan". (Sahih Bukhari No: 1916) Dar Ibn Kathir.  Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menyuruh beriktikaf pada 10 malam terakhir dari Ramadan untuk memburu lailatul Qadr.

2.  Bersungguh beramal pada 10 malam terakhir Ramadan untuk memperoleh lailatul Qadar yang ganjaran amalan pada malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan atau lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)

"malam kemuliaan  (lailatul Qadr) itu lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr: 3).

3.  Sepatutnya kita tidak hanya memilih malam-malam tertentu untuk memburu lailatul Qadar kerana tidak ada satu tarikh yang tepat dan ia dirahsiakan untuk menjadi pendorong kepada kita mencarinya pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

4.  Bangunkan ahli keluarga kita untuk bersama merebut peluang bertemu lailatul Qadar.

5.  Perbanyakkan iktikaf, pelihara solat fardhu berjemaah di masjid, tingkatkan tilawah al-Quran, perbanyakkan doa dan permohonan ampun kepada Allah.

6.  Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan: Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jugalah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).

7.  Marilah kita berazam bersungguh-sungguh untuk bertemu Lailatul Qadar. Bayangkan seolah-olah inilah Ramadan terakhir kita dan mungkin ini peluang terakhir untuk bertemu Lailatul Qadar pada tahun akan datang.

Tiada ulasan: