Waktu subuh di Melaka lewat 8 minit mulai 2020 - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Selasa, 31 Disember 2019

Waktu subuh di Melaka lewat 8 minit mulai 2020


Waktu solat fardu subuh akan dilewatkan selama lapan minit bermula tahun 2020 di negeri ini berikutan pertukaran darjah paksi ketinggian matahari.

Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, perubahan itu telah diputuskan menerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-116 pada November lalu.

Katanya, perubahan waktu subuh di Melaka itu juga akan dilakukan serentak dengan Negeri Johor dan telah dilaksanakan Negeri Selangor sebagai negeri pertama melaksanakan perkara itu sejak sebulan lalu.

“Pada mesyuarat berkenaan telah membincangkan hukum mengenai para meter ketinggian matahari di bawah ufuk bagi penentuan awal waktu solat subuh dan telah bersetuju bahawa permulaan waktu solat subuh di Malaysia menggunakan pada bacaan ketinggian iaitu pada bacaan 18 darjah di bawah ufuk.

“Perubahan ini menyebabkan waktu solat subuh ditambah kepada lapan minit dan sebelum ini bacaan sebenar adalah pada 20 darjah.

“Perubahan berdasarkan hasil kajian pakar berhubung kecerahan lagit waktu subuh yang ditukar kepada 18 darjah dan setiap darjah melibatkan perubahan masa selama empat minit maka sebanyak dua darjah itu menjadikan perubahannya selama lapan minit.

“Muzakarah juga bersetuju perlaksanaan solat Subuh sebelum ini menggunakan ketinggian 20 darjah matahari tetap dikira sah kerana keputusan ini dikenali sebagai Ijtihadiyyah yang bergantung kepada perkara yang diutuskan oleh Uli Al-Amri iaitu sebagai pemerintah,” katanya ketika ditemui MelakaKini di Pusat Islam MAIM, di sini semalam.

Abdul Halim menasihatkan kepada umat Islam di negeri ini perlu peka dengan perlaksanaan terbabit.

“Arahan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari ini dan akan disebarkan kepada umat Islam di negeri ini,” katanya.

Tiada ulasan: