BEBERAPA ISU TENTANG ANJING - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Jumaat, 15 November 2019

BEBERAPA ISU TENTANG ANJING


BEBERAPA ISU TENTANG ANJING

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitive mudah timbul. Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai pelbagai dimensi dan perspectif baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam era yang lepas. Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut;

Samakan Dengan Anjing
1. Walaupun manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.

2. Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah:
(maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
3. Jadi, jika masyarakat muslim sensitif dengan ungkapan anjing kepada sesuatu atau seseorang, maka itu bukan sesuatu yang pelik. Sewajarnya begitu.

Islam Benci Anjing?
4. Ada yang bertanya pula, apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?
Jika kita membaca al-Quran kita dapati Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa di gua. Firman Allah: 

(maksudnya) “dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).

 Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing tidak dianggap jijik dalam kisah tersebut. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’. 

5. Sementara dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

 Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.

Bolehkah muslim memiliki anjing?
6. Dalam al-Quran, Allah menyebut: 
(maksudnya) “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" bagi menjawabnya: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan ang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya" (Surah al-Maidah, ayat 4)
Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi ( meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.

 Ertinya, muslim boleh memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang menjaga ternakan, atau tanaman atau menjaga keselamatan seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.

Bolehkah Muslim Memegang Anjing?
7. Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Sebenarnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum menyentuh najis tanpa keperluan. Mereka bersepakat membolehkan menyentuh najis jika ada keperluan seperti untuk membersihkan diri, tempat, merawat dan seumpamanya. Dalam kalangan fuqaha ada yang memakruhkan menyentuh najis tanpa keperluan. Ada pula mengharamkan jika tanpa keperluan. 

8. Apakah anjing itu najis jika disentuh?
 Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak memindah najis. Ini sehingga disebut oleh para fuqaha جاف على جاف طاهر بلا خلاف bermaksud sesuatu yang kering menyentuh yang kering maka bersih (tidak memindahkan najis) tanpa perbezaan pendapat. (lihat: Abu Harith al-Ghazzi, Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 11/1177,  Beirut: al-Risalah). Maksudnya, jika bahagian yang bersih lagi kering menyentuh najis yang kering, maka najis itu tidak menajiskan bahagian bersih yang kering tersebut.

9. Adapun menyentuh anjing yang basah berlaku khilaf pendapat dalam kalangan fuqaha (sarjana fekah). Pendapat Mazhab Syafie dan salah satu riwayat dalam Mazhab Ahmad bin Hanbal ialah anjing keseluruhannya adalah najis, termasuk bulunya. Sementara pendapat Mazhab Malik, anjing itu kesemuanya bersih termasuk air liurnya. Adapun Mazhab Hanafi dan salah satu pendapat lain daripada al-Imam Ahmad bahawa bulu anjing itu bersih, sementara air liurnya najis. (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra, 1/264. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)

Maka dengan itu, majoriti fuqaha (ahli fekah) iaitu jumhur Mazhab Hanafi, Malik dan salah satu riwayat Mazhab Ahmad bin Hanbal berpendapat menyentuh badan atau bulu anjing sekalipun basah adalah tidak najis. Adapun air liur anjing mereka khilaf mengenainya. Pada pendapat kita air liur anjing najis berdasarkan hadis: “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Memelihara Anjing Dalam Rumah
10. Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda: 
“Sesiapa yang memelihara anjing maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat kecuali anjing (jaga) tanaman ataupun (jaga) ternakan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Qirat itu sebesar Bukit Uhud. Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.

11. Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.
12. Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak research yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing dengan melarang penganutnya memelihara di dalam rumah, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. 

13. Dalam hadis tadi,  Nabi s.a.w bersabda: “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” 

Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi scientifik maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.

Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.

FB Dr Maza

Artikel tentang kisah pelacur memberi minum pada anjing, saya rasa ramai yang mempertikainya. Ianya sahih.
Sila baca penerangan link ni:

Tiada ulasan: