1. Perang Tabuk benar-benar menguji keimanan para sahabat. Ia adalah peperangan yang berlaku dalam musim yang sangat panas, perjalanan yang sangat jauh serta menghadapi bilangan musuh yang sangat besar.
2. Melihatkan kesukaran situasi perang ini, golongan munafiq mula memberikan pelbagai alasan untuk lari dari medan jihad. Berbeza dengan kaum Mukmin, mereka merayu kepada Rasulullah untuk menyertai peperangan yang sangat susah ini sekalipun mereka tidak memiliki harta.
3. Perkara ini diceritakan oleh Abu Musa al-Asy’ari ketikamana beliau bersama dengan beberapa orang dari kaumnya merayu, meminta Rasulullah agar menyediakan tunggangan untuk mereka menyertai peperangan getir tersebut. Rasulullah terpaksa menolaknya kerana tidak memiliki tunggangan yang boleh membawa mereka. Perkara ini direkodkan dalam al-Quran. Firman Allah:
قُلْتَ لا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوا وَأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا مَا يُنفِقُونَ
“Engkau berkata (wahai Muhammad): Aku tidak memiliki apa-apa (tunggangan) yang boleh membawa kamu (ke medan perang), lalu mereka (para sahabat) berpaling dan air mata mereka bergenang mengalir kerana sedih tidak mempunyai apa-apa yang boleh mereka sumbangkan.” (al-Taubah:92)
4. Menurut al-Imam al-Baghawi, mereka ini dinamakan ‘golongan yang menangis’ (al-bukka’un). Mereka menangis sedih kerana tidak dapat turut serta dalam medan jihad. Mereka sedih kerana tidak dapat menyumbangkan sesuatu untuk Islam. al-Baghawi menyenaraikan tujuh nama sahabat yang menangis ini di dalam tafsirnya.
5. Menurut al-Imam Ibn Kathir pula, mereka yang menangis ini adalah golongan yang sangat istimewa. Sekalipun mereka tidak dapat bersama di medan jihad, pahala jihad mengalir buat mereka. Sabda Rasulullah:
إن بالمدينة أقواماً ما قطعتم وادياً ولا سرتم سيراً إلا وهم معكم
“Sesungguhnya di Madinah ini ada satu kaum yang tidak menyertai kamu meredah lembah maupun bermusafir jauh, namun mereka bersama kamu (dalam riwayat yang lain mereka memilik pahal seperti kamu).
6. Lihatlah betapa tinggi semangat para sahabat dan kerinduan mereka untuk menyumbang kepada Islam. Mereka menangis sedih kerana tidak dapat berjuang bersama Rasulullah sehingga kisah tangisan mereka direkodkan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai renungan buat kita semua.
Semoga Allah membimbing kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan