DR. ZAKIR NAIK CONTOH SUKARNYA BERDAKWAH DI AKHIR ZAMAN - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Rabu, 21 Ogos 2019

DR. ZAKIR NAIK CONTOH SUKARNYA BERDAKWAH DI AKHIR ZAMAN


Hari ini kita menyaksikan seorang tokoh pendakwah terkenal telah berjaya ditutup mulutnya dari pentas!' terbuka negara. Betapa sedihnya kita yang mengenali beliau dan betapa gembiranya mereka yang memusuhi beliau.

Hari ini kita sedar, betapa sukarnya tugas menyeru manusia ke jalan Allah & Rasul.
Betapa sukarnya melakukan dakwah tauhid berbanding dakwah akhlak.

Hari ini kita faham, dakwah yang berkonsep menyingkap kebatilan itu lebih sukar dari menyeru ke arah kebenaran.
Betapa sukarnya mencegah kemunkaran itu berbanding menyuruh kemakrufan.

Saya yakin dugaan ini barangkali ringan sahaja bagi DZN yang masih memiliki pentas lain dalam menyampaikan dakwah, dan beliau tidak akan sesekali berhenti selagi nyawa tidak terpisah.

Bacalah al-Quran…
Demikianlah dakwah tauhid para Nabi dan Rasul sejak ribuan tahun dahulu yang juga dituduh menghina sembahan kaum mereka, serta ditohmah memecah belahkan masyarakat mereka, lalu ditentang dan ditekan begitu dahsyat demi menutup mulut mereka.

Tiada dakwah sesukar dakwah tauhid yang mengajak manusia menyembah Allah Yang Esa tanpa mempersekutukan-Nya, kerana suka atau tidak, ia pasti akan menggugat kepercayaan pihak lain, dan menyentap sensitiviti penganut lain. 

Cukup dengan mengatakan Allah sahaja Tuhan yang layak disembah, pasti akan dikata menghina penganut kepercayaan yang menyembah banyak “ilah”. 
Cukup dengan menyebarkan risalah surah “قل هو الله أحد” yang menegaskan Allah itu tidak diperanak mahupun memperanak, pasti akan dikata menyerang agama lain kelak.
Ia lebih mencabar dari dakwah menyebarkan ilmu, mahupun dakwah mengajak manusia bersikap mulia.

Seruan dakwah yang pelbagai itu wajib bagi umat Islam yang mampu mengikut kapasiti masing-masing sehingga ‘cahaya’ Islam ini dapat disampaikan ke seluruh ceruk alam.
Namun fitrah dakwah itu sebagaimana yang Allah firmankan:

يُرِيدُونَ أَن يُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٲهِهِمۡ وَيَأۡبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُ ۥ وَلَوۡ ڪَرِهَ ٱلۡكَـٰفِرُونَ * هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُ ۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُ ۥ عَلَى ٱلدِّينِ ڪُلِّهِۦ وَلَوۡ ڪَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka akannya. Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun golongan musyrikin tidak menyukainya” [al-Tawbah: 32-33].

Hari ini juga kita menyaksikan kebenaran sabda Nabi SAW akan ramainya bilangan umat baginda di akhir zaman yang tidak mampu berbuat apa-apa melainkan hanya menjadi mangsa ratahan ‘pemangsa’ dari segenap penjuru umpama makanan yang terhidang. 
Sabda baginda: “Pada saat itu Allah mencabut perasaan gerun dari hati-hati musuh kamu dan tersemat di dalam hati-hati kamu penyakit wahan”. 
Lalu sahabat bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan wahan itu wahai Rasulullah?”. 
Baginda menjawab, “Wahan ialah sikap cintakan dunia dan takutkan mati” [riwayat Ahmad].

Benar, hari ini kita ramai, namun kita lemah, 
Masing-masing membawa panji yang memecah belah,
Akhirnya perpaduan umat kian goyah,
Masing-masing tidak rela kepentingannya dilapah,
Akhirnya agama ini semakin rakus diratah.

Di manakah ‘Umar? Di manakah al-‘Izz ‘Abd al-Salam?
Muncullah! Kerana cahaya agama ini semakin kelam,
Auranya semakin suram tenggelam,
Umat ini telah kehilangan ‘izzah Islam,
Seakan bulan yang terlindung disebalik awan malam.

Sekadar luahan,
Dr. Kamilin Jamilin

Tiada ulasan: