Seseorang memanggil saya: "Ustaz! " Saya menoleh kepadanya. Saya tersenyum. Dia berkata : "Maaf, saya terlupa, Dato". Saya senyum dan kata kepadanya : "Tak apa, panggillah apa pun yang enta selesa, asalkan jangan kita menghina antara satu sama lain".
Dia bersembang dengan saya sekejap kemudian pergi. Saya melihat dia beredar, fikiran saya melayang mengenangkan siapalah saya ini melainkan seorang insan yang ditutupi ALLAH kelemahan dirinya sehingga manusia memanggil saya dengan pelbagai gelaran yang dianggap bertuah atau mulia pada zahirnya.
Dahulu ibubapa saya hanya memanggil saya 'angah'. Sejak kecil ramai yang memanggil saya 'pak ngah'. Kemudian di sekolah orang memanggil saya 'Asri'.
Apabila saya pulang dari Jordan, orang mula panggil saya 'ustaz'. Sejujurnya saya teruja semasa awal-awal orang memanggil saya 'ustaz'. Rasa seronok semacam jadi 'ustaz'. Itu semua atas kelemahan seorang anak muda.
Apabila mendapat PhD rasa gembira memakai gelaran Dr. Selepas itu ramai yang memanggil Dr. MAZA. Kemudian mendapat Prof. Madya. Sekali lagi satu kenaikan.
Selepas habis jadi Mufti Perlis untuk kali pertama, saya hidup sebagai pensyarah USM. Nama saya selalu di media sebagai Mantan atau Bekas Mufti Perlis. Tidak kurang juga yang memanggil saya 'Datuk', padahal saya belum mendapat gelaran itu.
Pada masa itu ada beberapa orang mengajak saya mendapatkan gelaran 'datuk', saya tersenyum sinis. Saya kata: "Insan marhaen seperti saya, untuk apa memiliki gelaran 'datuk'. Wang tak banyak, kedudukan pun tiada. Saya berpada sebagai Dr MAZA.
Ketika saya berada di Oxford sebagai fellow, DYMM Raja Perlis menganugerahkan kepada saya gelaran 'Dato Arif Perkasa'. Satu gelaran dalam senarai Dato'-Dato' Bergelar Perlis. Saya tidak pulang mengambilnya kerana berat untuk membayar tiket pulang dari UK ketika itu. Masa itu saya berjimat untuk buku dan makan. Namun, DYMM Raja Perlis tetap perkenan mengurniakannya walaupun pada sessi lain apabila saya pulang.
Masa awal mendapat 'Dato' saya rasa janggal. Saya anak orang kampung biasa, tiada banyak harta dan makan di jalanan sahaja. Apabila orang tanya: "enta dah Dato' kan?". Saya rasa tersipu.
Selepas saya menjadi 'Dato', tiada apapun yang mengubah saya. Saya yang sama. Hanya ada gelaran di awal nama sebagai tambahan kepada yang sedia ada. Kawan-kawan lama panggil saya 'ustaz'. Saya rasa mereka mahu mengekalkan perasaan zaman awal kami bersahabat.
Apabila saya kembali menjadi Mufti Perlis semula, dan dalam masa yang sama saya masih mempunyai jawatan di USM, maka gelaran dan panggilan bertambah iaitu Sahibus Samahah Dato Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin.
Kadang-kala apabila saya melihat nama saya ditulis atau dipanggil, saya rasa malu pada diri sendiri. Sesungguhnya ALLAH itu begitu besar limpahanNYA kepada saya, padahal hakikat saya amat kerdil serta banyak keaiban diri. Hanya DIA Yang Maha Mengetahui. Hanya semata kerana rahmatNYA, Dia menutupi kelemahan hambaNYA seorang pendosa ini.
Ada orang kecil hati apabila dia bersalam dan mencium tangan saya, saya menarik tangan. Dia rasa saya sombong dan tak patut. Padahal sudah berapa kali saya beritahu dalam kuliah, jangan cium tangan saya. Ini bukan kerana ia salah di sisi agama, tetapi saya amat malu dengan ALLAH. DIA mengetahui hakikat hamba yang penuh kelemahan ini. Mereka yang mencium mungkin jauh lebih baik di sisiNYA dari saya yang dicium. Melainkan jika mereka mencium kerana faktor saya lebih berusia dari mereka. Kalaulah atas alasan itu, maka tidaklah berat sangat bagi saya. Pun begitu saya belum pun lagi 50 tahun.
Kehidupan dunia hanya permainan manusia. Kitalah yang mengangkat dan memberikan gelaran kemuliaan dan kehinaan kepada si polan dan si polan. Hakikat kita yang sebenar berada di sisi ALLAH. DIA Yang Maha Tahu kedudukan sebenar setiap hambaNYA.
Firman ALLAH dalam Surah al-Najm ayat 32:
فَلَا تُزَكُّوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۖ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَنِ ٱتَّقَىٰۤ
(maksudnya) Janganlah kamu memuji (menganggap suci dari dosa) diri kamu. DIA lebih mengetahui siapa yang (sebenarnya) bertaqwa.
Ya ALLAH ampunilah daku!
Dr Maza
Tiada ulasan:
Catat Ulasan