MELEWATKAN SAHUR MENYEGERAKAN BERBUKA - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Khamis, 16 Mei 2019

MELEWATKAN SAHUR MENYEGERAKAN BERBUKA


MELEWATKAN SAHUR MENYEGERAKAN BERBUKA
عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ أَنْتَ يَا بِلَالُ تُؤَذِّنُ إِذَا كَانَ الصُّبْحُ سَاطِعًا فِي السَّمَاءِ فَلَيْسَ ذَلِكَ بِالصُّبْحِ إِنَّمَا الصُّبْحُ هَكَذَا مُعْتَرِضًا ثُمَّ دَعَا بِسَحُورِهِ فَتَسَحَّرَ وَكَانَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ

Daripada Abu Dzar RA bahawa Nabi SAW bersabda pada Bilal: "Wahai Bilal, kalau subuh telah beranjak ke langit maka itu bukanlah subuh, subuh itu nampak seperti ini, " lalu baginda menyuruh untuk sahur dan baginda pun sahur seraya bersabda: "Umatku akan selalu dalam kebaikan selama mengakhirkan sahur dan mempercepat berbuka." (Musnad Ahmad No: 20996) Dar Ihya Turath Arabi. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah contoh dalam kita melakukan ibadat termasuk amalan berbuka dan bersahur ketika berpuasa. Ia juga adalah amalan para Nabi.

2.  Antara amalan yang perlu dicontohi ketika berpuasa ialah segera berbuka apabila masuk waktu berbuka.

3.  Melewatkan bersahur juga merupakan amalan Rasulullah SAW dan para sahabat yang kita digalakkan mengikutinya.

4.  Waktu sahur dilewatkan seperti yang diceritakan oleh  Anas bin Malik RA daripada Zaid bin Tsabit: 

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

"Kami makan sahur bersama Nabi Muhammad SAW lalu kami solat (subuh) berjamaah", Anas berkata kepada Zaid: "berapa jarak waktu antara azan (subuh) dan sahur?" Zaid menjawab: "sekitar bacaan al-Quran 50 ayat" (Sahih Bukhari No: 550) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Berdasarkan hadis ini,  jarak waktu selesai sahur Nabi SAW dengan waktu subuh sangat dekat, hanya sekitar jangkaan waktu bacaan 50 ayat al-Quran yang dibaca dengan kadar sederhana, tidak cepat dan tidak lambat (sekitar 10 hingga 15 minit sebelum subuh).

Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad SAW adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/199)

Semoga kita dapat mengikuti sunah Nabi SAW dengan bersegera berbuka apabila masuk waktu dan melewatkan sahur.

RAMADAN MUBARAK MEMBINA UMAT




Tiada ulasan: