Kita berniat untuk bangun malam bertahajud, berdoa dan bermunajat.
Kita terjaga di sekitar jam 2.30 pagi. Hati berbisik, "sekejap lagi ..."
Alahai, kita tertidur nyenyak tetapi masih disedarkan sejam kemudian.
"Sekejap lagi ..."
Akhirnya kita bingkas bangun ketika masjid (surau) berhampiran sudah selesai berjemaah.
Pernahkah ia berlaku kepada kita?
Kita sedapkan hati dengan berkira, "Tidak mengapa ... esok masih ada."
Lalu kita renung diri. Pernah kita berjanji untuk lebih hampir kepadaNya selepas bersara?
Tidak mahu tinggalkan solat berjemaah di masjid (lelaki) bila memikirkan Baginda SAW mahu "membakar" rumah mereka yang tidak hadir ke rumahNya.
Pernah kita berkira-kira mahu menutup aurat dengan sempurna selepas tiada kerjaya?
Kita masih bertangguh. Masa bergerak pantas.
Kita melihat diri lalu bertanya, "kenapa masih serupa?" Sungguh ... DIA telah nyatakan:
Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?
Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka). (Terjemahan surah al-Hadid, ayat 16)
Kita kenang diri dengan masa untuk bertangguh semakin tiada.
Ya Allah ... lembutkanlah hati-hati kami.
Sumber : UMKI Resources
(Dipetik daripada facebook Ustaz Iqbal Zain)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan