1. Saya amat tertarik apabila membawa tulisan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah berkaitan dengan urustadbir harta awam dalam ajaran Islam. Kata beliau:
“Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”
“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.
2. Sambung Ibn Taimiyah lagi:
“Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.”
3. Lagi kata Ibn Taimiyyah:
“Pernah dibawa kepada ‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus (bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]
4. Dari jawapan rakyat kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu bahawa antara punca utama rakyat bawahan tidak amanah, setia dan jujur kepada negara dan harta awam adalah disebabkan pemimpin yang tidak amanah. Jika pemimpin itu amanah, pasti rasa cinta dan setia kepada negara akan bersemarak dalam jiwa rakyat jelata. Justeru jangan hairan jika kita lihat rakyat di negara-negara maju rakyat mereka lebih sayangkan negara dibandingkan negara-negara umat Islam yang pengurusan kepimpinannya tidak jujur dan khianat.
5. Istilah menegak syariat Islam dalam negara-negara umat Islam itu sepatutnya ditumpukan kepada urustadbir harta awam seperti yang dituntut dalam nas-nas agama. Ini kerana, punca utama keruntuhan negara-negara umat Islam ialah salah urus tadbir harta awam ataupun harta rakyat. Jika seseorang itu berbicara tentang penegakan Islam tetapi 'menghalalkan' penyalahgunaan harta awam, maka itu merupakan penyelewengan kepada maksud syariat Islam yang sebenar.
FB Dr Maza
Tiada ulasan:
Catat Ulasan