Sabda Rasulullah saw "Al-Hajju Arafah", bermaksud hakikat dan roh haji adalah Arafah.
Ia adalah sesuatu yang amat signifikan kerana seluruh tujuan penciptaan manusia kembali kepada hikmah yang tersembunyi dalam Arafah yang merupakan tulang belakang utama ibadah Haji.
Arafah adalah sebaik-baik hari. Hari paling afdhal dan paling diberkati. Setiap kali Arafah datang mengingatkan kita mengenai hari Allah ‘Azza wa Jalla mengambil perjanjian daripada seluruh zuriat keturunan Adam ‘alaihis-salam.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian daripada keturunan Adam di Na’man, iaitu Arafah. Dia telah mengeluarkan dari sulbinya semua zuriatnya yang akan lahir ke dunia, lalu ditaburkan di hadapan-Nya seperti menabur bijian.
Kemudian Dia berfirman kepada mereka:
وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡۖ قَالُواْ بَلَىٰۛ شَهِدۡنَآۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ (١٧٢) أَوۡ تَقُولُوٓاْ إِنَّمَآ أَشۡرَكَ ءَابَآؤُنَا مِن قَبۡلُ وَڪُنَّا ذُرِّيَّةً۬ مِّنۢ بَعۡدِهِمۡۖ أَفَتُہۡلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلۡمُبۡطِلُونَ
Maksudnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. Atau supaya kamu tidak mengatakan: Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?” (Al-A’raf: 172-173)
Maka alangkah besar ertinya hari ini dan alangkah besarnya perjanjian yang telah dimeteraikan!
Arafah mengingatkan kepada kita bahawa tujuan kita ke dunia adalah untuk bermakrifah(kata dasar yang sama dengan arafah) kepada Allah. Arafah bermaksud pengenalan dan makrifah adalah mengenal.
Arafah mengingatkan kita bahawa asal kejadian kita adalah mengenal Allah dengan menyaksikanNya ketika roh-roh kita dihimpunkan di Wadi Na'man, Arafah.
Arafah menjadi penuh bermakna kerana disinilah Allah mengenalkan diriNya kepada kita dengan penyaksian mata rohani kita terhadapNya, mendengar kalamNya(Alastu biRobbikum) dan berdialog denganNya(Bala syahidna).
Maka matlamat kita didunia ini juga adalah mencelikkan semula matahati(basirah) sehingga dapat menyaksikan Allah, sehingga mencapai maqam ihsan bahawa kita beribadah seolah-olah menyaksikanNya.
Arafah mengingatkan kita kepada perkenalan semula antara Nabi Adam(as) dan Siti Hawa (as) dipadang Arafah setelah diturunkan dari syurga, yang dengan pertemuan semula ini lahirlah umat manusia, generasi demi generasi sehingga terbentuk pelbagai bangsa, suku kaum, puak dan masyarakat supaya mereka mengenal(li ta'arafu) asal usul mereka yang SATU.
Arafah mengingatkan kepada kita bahawa tugas kita didunia adalah untuk al-istijabah yakni menyahut seruan Allah, laungan labbaik adalah simbol kepada sahutan roh kita untuk menuju kepada Pemilik asalnya dengan penuh kepatuhan dan ketundukan jiwa.
Selain itu, Hari Arafah juga mempunyai pelbagai keistimewaan yang tidak terdapat pada hari-hari lain. Antaranya:
1. Hari disempurnakan ad-Din dan dilengkapkan ni’mat
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a. bahawasanya seorang lelaki Yahudi telah bertanya kepadanya: “Wahai Amirul-Mukminin, satu ayat yang terdapat di dalam kitab kamu, yang kamu sering membacanya, sekiranya ayat itu diturunkan kepada kami orang-orang Yahudi, nescaya kami akan jadikan hari turunnya sebagai hari raya!” Umar bertanya, “ayat mana?” Lelaki itu menjawab, “(الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا)” Umar berkata, “Sesungguhnya kami telah mengetahui hari dan tempat ayat itu diturunkan, iaitu pada hari Jumaat ketika baginda sedang wuquf di Arafah”
2. Dimasyhurkan sebagai hari raya
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Hari Arafah, Hari Nahar dan Hari-hari Tasyriq adalah hari raya kita orang-orang Islam. Ia adalah hari makan dan minum.” Riwayat ahli as-Sunan
3. Hari yang Allah bersumpah dengannya
Allah Yang Maha Besar lagi Maha Agung tidak akan bersumpah kecuali dengan sesuatu yang besar juga. Di dalam surah al-Buruj, ayat 3 Allah bersumpah (وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ). Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: اليوم الموعود (hari yang dijanjikan) adalah Hari Qiamat, واليوم المشهود (hari yang disaksikan) adalah Hari Arafah dan الشاهد (hari yang menyaksikan) adalah Hari Jumaat.” Riwayat at-Tirmizi.
Di dalam surah al-Fajr pula Allah berfirman: (وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ). Menurut Ibn ‘Abbas r.a., الشفع adalah Hari al-Adha, manakala الوتر adalah Hari Arafah.
4. Puasanya menghapuskan dosa dua tahun
Daripada Abi Qatadah r.a. Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa sunat pada Hari Arafah, baginda menjawab maksudnya: "Menghapuskan dosa tahun yang lepas dan tahun yang akan datang." Riwayat Muslim.
Yang disunatkan berpuasa ialah mereka yang tidak menunaikan haji. Mereka yang sedang menunaikan haji tidak disunatkan puasa kerana Nabi s.a.w. tidak berpuasa pada hari itu. Malah terdapat riwayat mengatakan baginda melarang orang yang sedang menunaikan haji berpuasa pada Hari Arafah.
5. Hari pengampunan dan pembebasan dari api neraka
Daripada Aisyah r.a., Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Hari yang paling banyak Allah s.w.t. membebaskan hamba-Nya daripada neraka ialah Hari Arafah. Dan sesungguhnya Dia Mendekati mereka yang sedang wukuf di Arafah, Dia berbangga dengan mereka di hadapan para malaikat kemudian berfirman kepada malaikat: “Apa yang mereka itu mahu?”. Dijawab "Mereka mahukan pengampynanMu". Riwayat Muslim
Daripada Ibn Umar r.a., Nabi s.a.w. bersabda makasudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala berbangga di hadapan malaikat-Nya pada petang Hari Arafah ketiak melihat orang wukuf di situ. Dia berfirman kepada malaikat: “Lihatlah kepada hamba-Ku! Mereka datang kepadaku dalam keadaan rambut yang kusut dan berdebu!” Riwayat Ahmad.
Marilah manfaatkan hari ini dengan membaharui janji dengan Allah untuk terus istiqamah di jalan-Nya, menyahut labbaik seruanNya dengan melaksanakan titah perintah-Nya, mengembangkan agama-Nya dan mempertahankan serta mendaulatkan syari’at-Nya.
SILA SHARE DAN SEBARKAN
(Dipetik daripada facebook Ustaz Iqbal Zain)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan