PERLAKSANAAN HUKUMAN JENAYAH DI KHALAYAK DAN KESANNYA - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Ahad, 16 Julai 2017

PERLAKSANAAN HUKUMAN JENAYAH DI KHALAYAK DAN KESANNYA

PERLAKSANAAN HUKUMAN JENAYAH DI KHALAYAK DAN KESANNYA
Kongsi Artikel...

Sepanjang hampir 10 tahun keberadaan saya di Arab Saudi, negara yang masih menjalankan hukum jenayah Islam, hanya 3 kali sempat saya menyaksikan hukuman qisas…2 kes di Madinah dan 1 kes di Riyadh...

2 kes di Madinah dilaksanakan hukumannya selama 2 hari berturut-turut, iaitu semasa tahun akhir saya di sana 2007/2008...Kes pertama melibatkan 4 orang yang seingat saya kerana rogol dan bunuh berkumpulan, dan 1 orang pada kes kedua kerana kes bunuh...
Kes ketiga di Riyadh melibatkan seorang warga Sudan yang membunuh seorang wanita dan merogolnya setelah mati, lalu merompak duit dan barang-barang kemas bernilai ratusan ribu riyal, kemudiannya cuba meletupkan rumah dengan membuka saluran gas...
Kesemua mereka dihukum mati, kecuali kes ketiga ditambah dengan jasadnya digantung seketika selepas dipancung kerana melibatkan kes yang berat...

Bukan mudah dan selalu untuk menyaksikan hukuman tersebut selama saya berada di bumi Haramayn...Ramai dari kalangan sahabat dan para pelajar yang tidak pernah berkesempatan atau berpeluang menyaksikannya, kerana kesnya jarang berlaku...

Saya hidup di sana tanpa sebarang kerisauan jenayah berat sepeti rompakan dan pembunuhan...Rumah, kedai seringkali ditinggalkan tidak berkunci, bahkan kereta juga kosong tidak dimatikan enjinnya ketika singgah di kedai-kedai yang menggambarkan keamanan yang wujud...Namun biasalah jenayah-jenayah kecil dan sederhana wujud di mana-mana hasil kurang kesedaran dan tarbiah...Apatah lagi dengan pelbagai jarum fitnah zaman sekarang yang masuk ke rumah dan hati kita melalui satelit dan hujung jari kita...Sikap “nakal” masyarakat juga kadangkala menggugat keamanan masyarakat...

Justeru sebaik sahaja mendengar berita akan berlaku hukuman tersebut di tanah lapang berhampiran masjid Nabawiy berdekatan pejabat Tabung Haji di Madinah (ketika itu), buat pertama kalinya setelah tahun ke-5 berada di sana, saya bertekad untuk ponteng kelas yang merupakan pantang buat saya ketika belajar di sana...
Saya ingat lagi ketika itu kami sedang di kelas Takhrij Syeikh Rusyaydan yang merupakan anak murid yang melazimi syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad (muhaddith Madinah)...Walaupun beliau "bekeng", saya tetap memberanikan diri memohon keizinan beliau untuk “skip” kelas hari tersebut demi merebut peluang yang jarang kunjung tiba..!

Saya ke sana bersama sahabat baik Dagestan saya Magomed Gazimagomedov...Setibanya kami di sana kelihatan ramai yang telah hadir berkerumun dengan halangan kepungan polis terhadap kawasan tanah lapang yang saya kira seluas setengah padang bola...Jarak polis yang mengepung juga agak rapat sesama mereka, sekitar 2 meter siap dengan Kalashnikov AK-47...Pihak polis bertindak sebagai pagar yang menghalang orang ramai dari masuk terlalu hampir ke kawasan dan melarang dari sebarang rakaman menggunakan kamera atau telefon bimbit...Maka ramailah juga yang naik ke bumbung-bumbung rumah, tembok, bahkan ada yang memanjat pokok-pokok..!

Alhamdulillah saya tidak lewat sampai di sana, kerana tidak lama kemudian sampailah 4 bas bersaiz sederhana yang setiap satunya membawa seorang penjenayah...Suasana sememangnya sepi dan mendebarkan...
4 beg mayat dihamparkan dengan jarak setiap satunya sekitar 5/6 meter menurut anggaran saya...Lalu 4 ambulan digerakkan setiap satunya berhampiran setiap beg mayat menanti untuk menyambut jasad yang bakal kehilangan nyawa tidak lama lagi...

Kemudian semua penjenayah diturunkan dari bas dalam keadaan mata yang telah dibalut...Ada antara mereka kelihatan berjalan terhuyung-hayang yang saya rasakan kerana ketakutan yang amat sangat...
Mereka dibawa ke beg mayat yang telah disediakan buat mereka dan didudukkan di atasnya dengan posisi seakan duduk antara dua sujud dengan tangan diikat di belakang...Jubah bahagian kolar leher juga dipotong sedikit dan dilipat ke dalam agar bahagian tengkuk belakang lebih terdedah...

Setelah itu, seorang wakil polis membacakan kesalahan yang dilakukan dan beberapa maklumat utama berkaitan dan rumusan hukuman...

Sementara itu kelihatan hakim sedang merayu dan berunding buat kali terakhir dengan pihak waris mangsa agar dimaafkan para penjenayah tersebut dengan bayaran diyat...Barangkali hakim masih cuba menjelaskan kepada mereka kemaafan itu lebih utama dan disukai Allah dari hukuman...Agak lama juga ia berlangsung...

Seorang algojo (pemancung) profesional pula sedang menyemak beberapa bilah pedang khas agar proses hukuman lancar, dan ada beberapa algojo “back-up” juga kelihatan “stand-by” di sana...Setelah memilih pedang terbaik (bentuknya serupa pedang arab tradisional yang sedikit melengkung dan sederhana panjang saiznya), seorang algojo berdiri di sebelah penjenayah pertama menanti arahan hakim jika rundingan akhir tidak berjaya...

Suasana ketika itu begitu sepi menanti hasil rundingan...Bayangkan debaran perasaan para penanti hukuman ketika itu...Antara bayangan maut di hadapan mata dan barangkali masih menaruh harapan agar masih diberi peluang meneruskan kehidupan...

Tatkala saya melihat algojo membisikkan sesuatu ketika menundukkan penjenayah pertama dan mengangkat pedangnya, saya sedar rundingan akhir tersebut telah gagal dan pihak waris tegas menggunakan haknya untuk meneruskan hukuman walaupun telah diperingati dengan firman Allah:
فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ
“Maka sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya)” [al-Shura: 42].
فَمَنۡ عُفِىَ لَهُ ۥ مِنۡ أَخِيهِ شَىۡءٌ۬ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيۡهِ بِإِحۡسَـٰنٍ۬‌ۗ
“Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya” [al-Baqarah: 178].

Akhirnya, satu kepala jatuh ke bumi bagai buah masak yang gugur dari tangkainya...One after another...
Setiap penjenayah dibisikkan sesuatu sebelum dipancung...Barangkali disuruh mengucap kalimah tauhid buat kali terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir menuju ke arah kehidupan yang kekal abadi...
Ada yang terpancut deras darahnya, ada pula yang tidak...
Setelah kepala jatuh ke bumi, jasad juga tersembam jatuh tanpa kelihatan menggeletar terseksa, seolah-olah nyawa pergi dengan begitu mudah penuh ihsan setelah Medula Oblongata sebagai pengawal fungsi otonomik sudah terputus tidak lagi berfungsi...

Dari kalangan hadirin, ada yang tergamam...Ada yang menyebut "Allahu Akbar"...Ada yang menutup mata...
Kelihatan juga seorang lelaki berkulit hitam yang tegap jatuh pengsan setelah melihat kepala bercerai dari badan...

Menyaksikan hukuman sedemikian di khalayak menyedarkan kami tentang banyak perkara untuk direnungi...
Adakah kita mahu berada di tempat dan situasi sama seperti penjenayah tersebut yang kita baharu saksikan sebentar tadi?
Adakah kita mampu menanggung ketakutan menanti ziarah malaikat maut dan keperitan nyawa direntap?
Adakah berbaloi kepala kita dipisahkan dari jasad hanya kerana kelakuan kita yang seharusnya boleh dielakkan dengan akal yang sejahtera?

Demikianlah Allah menuntut kita menerusi firmanNya:
وَلۡيَشۡہَدۡ عَذَابَہُمَا طَآٮِٕفَةٌ۬ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
“Hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” [al-Noor: 2].

Supaya kita dapat mengambil pengajaran darinya sebagaimana firmanNya:
وَلَكُمۡ فِى ٱلۡقِصَاصِ حَيَوٰةٌ۬ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ
“Dan di dalam hukuman Qisas itu ada kehidupan (pengajaran) bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa” [al-Baqarah: 179]...

Kamilin Jamilin - Seni Hadith
13 Julai 2017

1 ulasan:

sensasi2020 berkata...

Kalau saya tak boleh lihat, boleh pengsan. Biasanya hukuman begini boleh ditafsirkan sebagai kejam oleh orang bukan Islam dan menjqdibpengajaran kepada org Islam agar tidak melakukan jenayah.