Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Isnin, 14 Oktober 2019

JAUHI TIGA PINTU ELAKKAN API NERAKA

4:28:00 PTG 0
JAUHI TIGA PINTU ELAKKAN API NERAKA

JAUHI TIGA PINTU ELAKKAN API NERAKA
Ada tiga pintu yang akan menjerumuskan manusia ke dalam api neraka.

Pintu pertama adalah pintu syubhat. Pintu syubhat ini membuatkan kita berada dalam keraguan. Ragu dengan Allah SWT. Ragu dengan nabi SAW. Ragu dengan Islam dan lain-lain.

Pintu kedua ialah pintu syahwat. Pintu syahwat ini membuatkan manusia mengutamakan nafsu dan kehendak diri daripada kehendak Allah dan rasul. Tidak peduli halal dan haram janji nafsunya dapat dipuaskan. Tidak risau jika tidak dapat redha Allah SWT.

Pintu ketiga adalah pintu ghodhob(marah). Pintu ini membuatkan manusia hilang pertimbangan, membuatkan manusia berkelahi dan bermusuhan sesama sendiri.

Jauhilah tiga pintu yang menjerumuskan kita ke dalam neraka Allah SWT. Sesungguhnya panas neraka Allah itu tidaklah dapat kita bayangkan.

(Dipetik daripada facebook Zonkuliah)

Rabu, 9 Oktober 2019

MUKMIN YANG DIKAGUMI

8:53:00 PTG 0
MUKMIN YANG DIKAGUMI

MUKMIN YANG DIKAGUMI


عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Daripada Shuhaib RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (HR Muslim No: 5318) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa bersyukur dengan nikmat dan bersabar dengan setiap musibah yang berlaku keatas dirinya.

2.  Mukmin yang sempurna sentiasa bersyukur diatas  setiap  kebaikan atau nikmat yang diperolehi. Syukur itu diperlihatkan pada lima perkara:

a.  Tunduk dan merendah kepada Allah, zat yang disyukuri 
b.  Cinta kepada Allah 
c.  Mengakui bahawa nikmat itu adalah pemberian Allah
d.  Memuji Allah dengan lisan dan perbuatan atas limpahan nikmat tersebut 
e.  Tidak memanfaatkannya dalam perkara yang dibenci Allah. 

3.  Mukmin yang dikagumi itu ialah apabila mendapat keburukan atau musibah, dia bersabar dan reda.  Dengan kesabaran itu dapat menaikkan kedudukannya serta dianugerahkan pahala tanpa batasan daripada Allah SWT.

4.  Ibnu Qayyim menyatakan: sabar merupakan setengah dari keimanan dan setengahnya lagi adalah syukur.

5.  Seorang yang tidak beriman, hatinya sentiasa keluh kesah, jiwanya selalu meronta dan terseksa apabila ditimpa musibah. Hati sentiasa dipenuhi perasaan hasad dengki, kemarahan dan memberontak. Tidak redha walaupun telah banyak diberikan pelbagai nikmat kerana dia tidak bersabar di atas musibah tersebut.

6.  Pentingnya sifat syukur apabila seseorang mendapat kebaikan dan bersabar apabila ditimpa musibah kerana ianya menjadikan seseorang itu sebenar-benar Mukmin tetapi amatlah sedikit dalam kalangan hamba yang diberikan  dua sifat ini. Justeru, taufik dan hidayah Allah SWT amat diperlukan untuk meraih anugerah ini kerana sifat syukur dan sabar itu adalah sebaik-baik nikmat.

Khutbah Terakhir Rasullullah S.A.W

5:30:00 PTG 0
Khutbah Terakhir Rasullullah S.A.W

Khutbah Terakhir Rasullullah S.A.W
Khutbah Terakhir Rasullullah S.A.W.
Kutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci.

Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.

Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.

Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.

Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarkanlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan!, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.

Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata ku yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnah ku.

Hendaknya orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah ku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMU.