Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Ahad, 5 Mei 2019

RANADHAN BULAN IBADAH

10:58:00 PTG 0
RANADHAN BULAN IBADAH


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ


Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bila bulan Ramadan tiba, maka dibukalah pintu-pintu syurga, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu." (HR Muslim No: 1793) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


Apabila Ramadan menjelang, Rasulullah SAW mengingatkan para sahabat agar bersedia dengan kedatangan bulan Ibadah:


1.  Ramadan adalah bulan yang diwajibkan keatas umat Islam berpuasa.


2.  Ramadan adalah bulan Syiam (berpuasa di siang hari) dan Qiam (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah al-Quran, zikir, doa). 


3.  Ramadan adalah bulan ibadah dimana dibuka pintu-pintu syurga.  Mereka yang terus melaksanakan pelbagai perbuatan yang mengandungi ibadah atau kebaikan,  akan  disediakan  padanya dengan rahmah Allah syurga.


4.  Pintu neraka ditutup di bulan Ramadan. Ertinya, dengan kehadiran bulan Ramadan, kita dianjurkan  untuk memperbanyak amal kebaikan maka dengan sendirinya perbuatan yang tidak baik (maksiat) dihindarkan. Dengan demikian, maka tidak ada lagi kesempatan untuk bermaksiat, dengan itu tertutuplah pintu-pintu neraka.


5.  Bulan Ramadan dipermudahkan kepada umat Islam melaksanakan ibadah kerana syaitan telah dirantai atau dibatasi pergerakkannya untuk mengganggu.


Ayuh kita menyediakan diri dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Ramadan yang dijangka akan bermula pada hari esok. Ahlan Ya Ramadan. 


Rabu, 1 Mei 2019

GANJARAN BERGANDA UNTUK GURU

12:54:00 PTG 0
GANJARAN BERGANDA UNTUK GURU


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا


Dari Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun." (HR Muslim No: 4831) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Sesiapa sahaja yang berperanan mengajak, menasihat serta membimbing kepada kebaikan, mereka adalah seorang guru.


2.  Seorang Muslim yang mengajak, membimbing, menasihat, mengajar seseorang agar melakukan perkara kebaikan, dia akan mendapat ganjaran pahala seperti mana yang didapati oleh orang yang belajar dan beramal.


3.  Semakin ramai bilangan pelajar yang dibimbing dan diajar melakukan perkara yang baik dan bermanfaat, semakin banyak pahala yang diperolehi secara berterusan.


4.  Orang yang mengajar, membimbing dan menunjukkan yang buruk dan jahat, dia akan memperolehi ganjaran dosa sebanyak orang yang mengikuti dan beramal dengannya.


Ayuh kita menjadi guru yang mengajar kebaikan dan perkara bermanfaat pada orang lain seperti, pelajar,  ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat.


Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi


Marilah kita merebut peluang membuat simpanan deposit amal yang berterusan untuk akhirat kita dengan mendidik, mengasuh dan mengajar orang lain kepada kebaikan.


#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan

#MalaysiaMenujuNegaraRahmah

#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor



PELIHARA SOLAT FARDHU DIMASJID

12:52:00 PTG 0
PELIHARA SOLAT FARDHU DIMASJID


عَنْ أَبِي الْأَحْوَصِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَلْقَى اللَّهَ غَدًا مُسْلِمًا فَلْيُحَافِظْ عَلَى هَؤُلَاءِ الصَّلَوَاتِ حَيْثُ يُنَادَى بِهِنَّ فَإِنَّ اللَّهَ شَرَعَ لِنَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُنَنَ الْهُدَى وَإِنَّهُنَّ مِنْ سُنَنِ الْهُدَى وَلَوْ أَنَّكُمْ صَلَّيْتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ كَمَا يُصَلِّي هَذَا الْمُتَخَلِّفُ فِي بَيْتِهِ لَتَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ وَلَوْ تَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ لَضَلَلْتُمْ وَمَا مِنْ رَجُلٍ يَتَطَهَّرُ فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَعْمِدُ إِلَى مَسْجِدٍ مِنْ هَذِهِ الْمَسَاجِدِ إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِكُلِّ خَطْوَةٍ يَخْطُوهَا حَسَنَةً وَيَرْفَعُهُ بِهَا دَرَجَةً وَيَحُطُّ عَنْهُ بِهَا سَيِّئَةً وَلَقَدْ رَأَيْتُنَا وَمَا يَتَخَلَّفُ عَنْهَا إِلَّا مُنَافِقٌ مَعْلُومُ النِّفَاقِ وَلَقَدْ كَانَ الرَّجُلُ يُؤْتَى بِهِ يُهَادَى بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ حَتَّى يُقَامَ فِي الصَّفِّ


Dari Abu Al Ahwash dari Abdullah, katanya; "Barangsiapa yang ingin mudah menjumpai Allah  pada hari kiamat nanti dalam keadaan beriman maka hendaklah ia menjaga solat-solat fardu dengan menunaikan di tempat azan dilaungkan, sesungguhnya Allah telah mensyariatkan kepada nabi kalian sunnah-sunnah petunjuk, dan sesungguhnya semua solat, diantara sunnah-sunnah petunjuk itu, kalau kalian solat di rumah kalian sebagaimana seseorang yang tidak hadir di masjid, atau rumahnya, bererti telah kalian tinggalkan sunnah nabi kalian, sekiranya kalian tinggalkan sunnah nabi kalian, sungguh kalian akan sesat, tidaklah seseorang berwuduk dengan memperelokkan wuduknya, kemudian ia menuju salah satu masjid yang ada, melainkan Allah menulis kebaikan baginya dari setiap langkah kakinya, dan dengannya Allah mengangkat darjatnya, dan menghapus kesalahan kerananya, menurut pendapat kami, tidaklah seseorang ketinggalan dari solat berjemaah, melainkan dia seorang munafik yang jelas kemunafikannya, sungguh dahulu seseorang dari kami akan dipapah diantara dua orang hingga didirikan di saf solat yang ada." (HR Muslim No: 1046) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Orang yang diberi kemudahan bertemu Allah  pada hari kiamat dalam keadaan beriman ialah mereka yang menjaga solat fardu dengan menunaikan ditempat-tempat azan dilaungkan (masjid).


2.  Antara sunah Rasulullah ialah menunaikan solat fardu di masjid. Mereka yang meninggalkannya bererti meninggalkan sunah Rasul.

Sekiranya ditinggalkan sunnah ini, boleh menjadi penyebab seseorang itu disesatkan.


3.  Seseorang berwuduk dengan sempurna di rumah, kemudian ia menuju salah satu masjid yang ada, nescaya Allah akan menulis kebaikan baginya dari setiap langkahan kakinya.  Antara kebaikan tersebut ialah Allah mengangkat darjatnya, dan menghapus kesalahan dosanya.


4.  Seseorang yang meninggalkan solat berjemaah (tanpa uzur), dia memiliki sifat munafik yang jelas kemunafikannya. 


5.  Kata Abdullah Al-Fauzan: Seseorang yang meninggalkan solat jamaah menunjukkan akan beratnya dia melaksanakan solat. Hal ini adalah tanda bahawa hatinya terdapat sifat kemunafikan. Untuk melepaskan diri  dari sifat tersebut, perlu menjaga solat berjamaah.” (Minhatul ‘Allam fii Syarh Bulughil Maram, 3: 365)


6.  Di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat,  mereka sanggup dipapah untuk dibawa kedalam saf solat yang ada bagi melaksanakan solat berjamaah.


7.  Istiqamahlah bagi lelaki untuk solat berjemaah di masjid agar kita memperoleh kemudahan dipertemukan dengan Allah di hari akhirat, ditinggikan darjat, diampunkan dosa dan jauh dari sifat orang munafik.


#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan

#MalaysiaMenujuNegaraRahmah

#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor