Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Jumaat, 19 April 2019

7 SEBAB KENAPA TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN JIN

10:35:00 PTG 0
7 SEBAB KENAPA TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN JIN
7 SEBAB KENAPA TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN JIN
MANARAH (Pusat Rawatan Islam):
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail

Perubatan tradisional dan komplementari (PTK) di Malaysia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2004 menunjukkan 56% rakyat Malaysia pernah menggunakan PTK. Manakala kajian oleh World Health Organisation (WHO) pula menunjukkan 80% daripada populasi negara membangun dan 65% populasi negara maju bergantung kepada PTK untuk perkhidmatan kesihatan mereka. Maka tidak hairanlah banyak pusat-pusat rawatan alternatif wujud ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Malangnya, dalam keghairahan menawarkan khidmat PTK ini, terdapat segelintir pengamal perubatan Islam menggunakan kaedah yang bertentangan syara’. Antaranya ialah menggunakan khidmat makhluk halus dari kalangan jin, sama ada sebagai khadam, pendamping atau sahabat dalam proses merawat pesakit. Mereka mendakwa, jin yang digunakan adalah jin Islam dan hukumnya harus. Dakwaan sebegini bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah boleh membawa kemudaratan yang lebih besar. Jika dikaji, ada 7 sebab utama kenapa Islam tidak membenarkan penganutnya menggunakan khidmat makhluk ini, khususnya dalam merawat penyakit.

Hujah Pertama: Kemudaratan yang Timbul Akibat Meminta Tolong Jin

Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang akibat yang akan menimpa mereka sekiranya meminta pertolongan dan perlindungan dari makhluk jin. FirmanNya dalam surah Al-Jin ayat 6:”Dan bahawa sesungguhnya ada beberapa orang dari manusia meminta perlindungan kepada ketua-ketua golongan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” Menurut Ibnu Taimiyyah dalam kitab Al-bayān al-mubīn fi Akhbār al-jinni wa al-shayāṭin, halaman 58, jin dan syaitan yang dijadikan sekutu atau sahabat akan berasa bangga apabila diminta tolong dan mereka akan segera datang. Jin dan syaitan sangat mengetahui bahawa manusia itu lebih mulia dan lebih berkuasa dari mereka. Maka apabila manusia tunduk kepada jin dan meminta perlindungan dari mereka, ianya ibarat seorang raja yang melutut di kaki seorang hamba untuk meminta ditunaikan hajatnya.

Lebih menakutkan lagi ialah apabila Allah SWT memberi amaran bahawa azab neraka bakal menimpa orang-orang yang bersahabat dan meminta bantuan dari jin melalui firmanNya dalam surah Al-An’am ayat 128: ”Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat pertolongan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah".

Hujah Kedua: Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tidak pernah meminta pertolongan jin

Dalam sirah Nabi Muhammad SAW dan sirah para sahabat Baginda, tidak ada satu riwayat pun yang menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah meminta pertolongan dari kalangan jin. Apatah lagi menggunakan jin bagi tujuan rawatan mahupun dalam kehidupan harian sebagai manusia biasa. Menurut Imam Al-Alusi dalam tafsirnya, jilid ke 19, halaman 83, terdapat 6 pertemuan antara jin dan Nabi SAW atas urusan dakwah dan penyampaian ilmu. Tiada langsung unsur meminta bantuan bagi urusan duniawi atau merawat pesakit. Hatta bagi menghadapi peperangan pun, Nabi SAW sendiri tidak pernah meminta bantuan dari malaikat, apatah lagi dari jin. Bala tentera malaikat turun membantu tentera Islam atas arahan Allah SWT, bukannya atas permintaan Nabi.

Hujah Ketiga: Melihat dan Menguasai jin adalah salah satu mukjizat khusus untuk para Nabi dan Rasul

Manusia biasa tidak mungkin boleh melihat jin dalam bentuk yang asal, apatah lagi menguasainya. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al A’raf, ayat ke 27: “Sesungguhnya ia (jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari satu tempat.

Imam Syafi’i r.a., sebagaimana yang dipetik dalam Kitab Fathul Bari karangan Ibn Hajar al Asqalani, turut menegaskan bahawa sesiapa yang mendakwa dapat melihat jin nescaya terbatal penyaksiannya, kecuali dia seorang Nabi. Memang ada ulama’ yang mengatakan kemungkinan melihat jin itu ada, tetapi bukan dalam rupanya yang asal, sebaliknya dalam jelmaan seperti ular atau anjing. Keupayaan melihat dan menguasai jin merupakan satu keistimewaan dan juga mukjizat yang dikhususkan kepada para Nabi dan Rasul yang terpilih. Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan kebolehan menguasai jin dan syaitan. Kebolehan ini tidak diberikan kepada mana-mana manusia sesudah Baginda sebagaimana doa Baginda dalam surah Ar Shad ayat 35: ”Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seseorang juapun sesudahku, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pemberi”.

Namun, kebolehan Nabi Sulaiman memerintah jin telah dijadikan dalil oleh syaitan untuk mengharuskan manusia lain untuk berbuat demikian. Maka, timbullah dakwaan dari para perawat kononnya mereka boleh menangkap, memenjara serta menyembelih jin. Bagi menolak dakwaan batil seperti ini, Imam Muslim meriwayatkan satu hadis dalam kitab Shahihnya: “Satu ketika ketika Rasulullah hendak bersolat, tiba-tiba syaitan datang mengganggu Baginda. Lalu Baginda berjaya menangkapnya dan dicekik leher syaitan sehingga Baginda dapat merasa sejuk lelehan liurnya. Lalu Baginda bersabda: “Kalau bukan kerana aku teringat doa saudaraku Sulaiman (yang berdoa agar Allah tidak memberikan lagi kerajaan dan kebolehan menguasai jin atau syaitan kepada selainnya-rujuk ayat 35 surah Sad) pasti akan ku ikat syaitan itu pada tiang masjid supaya menjadi mainan kanak-kanak di Madinah.” Berdasarkan hadis ini, Nabi SAW dikurniakan kebolehan untuk melihat, menangkap dan merantai jin. Akan tetapi, Baginda SAW menghormati doa dan permintaan Nabi Allah Sulaiman a.s. Justeru, sayugia kita sebagai umatnya turut mengikuti contoh tauladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, perbuatan menangkap dan mengurung jin jelas bertentangan dengan sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Sekiranya orang yang mempunyai kebolehan tersebut bukannya seorang Nabi, berkemungkinan beliau melakukan istidraj (perkara luarbiasa yang terhasil melalui tipudaya syaitan) tanpa beliau sedari.

Hujah Keempat: Tipu daya jin sangat licik

Makhluk jin adalah makhluk yang penuh tipu daya dan helah. Jin-jin yang menjadi pengikut syaitan akan menggunakan pelbagai cara, sama ada halus atau kasar bagi tujuan menyesatkan manusia. Allah mengingatkan hal ini melalui firmanNya dalam surah Al A’raf, ayat 16-17: “Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedikit sahaja dari mereka yang bersyukur.”

Jika dilihat kepada sejarah, Nabi Sulaiman a.s., yang diberikan kebolehan untuk menguasai jin dan syaitan, juga pernah diperdaya oleh jin bernama Sokhel sehingga Baginda hilang kerajaan selama 40 hari 40 malam. Begitu juga dengan kisah Abu Hurairah r.a. yang telah ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga stor yang menempatkan kurma zakat. Stor tersebut telah diceroboh oleh makhluk jin selama 3 malam berturut-turut. Setiap kali ditangkap, jin tersebut mencipta pelbagai helah dan memberikan pelbagai janji palsu. Akhirnya apabila ditangkap kali ketiga, jin tersebut dapat juga meloloskan diri setelah mengajarkan Abu Hurairah satu ayat yang dapat menghalangnya dari memasuki stor tersebut. Kisah di atas diriwayatkan Imam Bukhari dalam Shahihnya, kitab Al-Wakalah, hadis no. 2311. Ini menunjukkan bahawa makhluk jin dan syaitan mempunyai seribu helah dan tipu daya yang licik serta seringkali menggunakannnya untuk memperbodohkan manusia. Kalau kita manusia biasa yang bukan bertaraf Nabi mahupun sahabat, sudah tentu lebih mudah untuk ditipunya.

Hujah Kelima: Hanya orang jahil bersahabat dengan jin

Para ulama-ulama turut melarang sebarang persahabatan dan perjanjian dengan makhluk jin dan menganggap itu adalah perbuatan orang jahil. Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani menegaskan di dalam kitabnya Yawaqitu wal Jawahir, bahawa bersahabat dan bersekutu dengan jin itu sangat keji. Beliau mengatakan: “Barangsiapa memilih dan melebihkan persahabatan dengan jin berbanding bersahabat dengan para ulama, maka orang itu sangat jahil. Kerana menjadi tabiat jin untuk berlebih-lebih dalam perbuatan dan perkataannya, dan selalu berdusta sebagaimana tabiat orang fasik. Maka orang yang berakal harus mengelakkan diri dari bersahabat dan bersekutu dengan jin, sepertimana dia perlu mengelak dari bersahabat dan bersekutu dengan manusia yang fasik.” Beliau menambah lagi : “Aku tidak pernah melihat seseorang yang bersahabat dengan jin itu mendapat kebaikan, kerana asal kejadian jin itu dari api dan api itu sangat banyak geraknya, maka perbuatan dan perkataan orang itu hanya berlebih-lebihan.”

Syeikh Muhyiddin Ibnu al-Arabi turut menegaskan perkara ini di dalam kitabnya al-Futuhat: “Adapun orang yang bersahabat dengan jin itu tiada beroleh ilmu Allah, kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat-Nya. Dan terkadang orang yang bersahabat dengan jin itu menyangka bahawa segala perkara (ghaib) yang dikhabarkan oleh jin itu itu adalah karamah daripada Allah Ta’ala baginya. Maka sangkaannya itu adalah batil”. Tambah beliau lagi: “Sesetengah yang telah terjawab bahawasanya banyak orang bersahabat dengan jin itu jadilah takabbur atas segala manusia itu dan barangsiapa takabbur dimurkai Allah Ta’ala akan dia dan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang tersebut dalam beberapa ayat Quran dan Hadis Nabi s.a.w.”

Hujah Keenam: Jin tidak akan rela melakukan kerja-kerja khadam

Bagi mereka yang mendakwa jin yang digunakan adalah khadam yang dikuasainya, maka sesungguhnya orang tersebut telah tertipu dengan helah jin. Seorang khadam ialah orang yang patuh kepada perintah tuannya dalam setiap keadaan tanpa sebarang bantahan. Malangnya, jin yang kononnya menjadi khadam ini hanya membantu dalam perubatan sahaja. Selalunya dengan menampilkan perkara-perkara ajaib seperti memberitahu lokasi barang hilang, scan penyakit, mengubati pesakit dari jarak jauh, membongkar isi hati pesakit. Sekiranya khadam jin ini disuruh melakukan kerja-kerja harian sebagai khadam seperti membersih rumah, membasuh pakaian, memasak, menjaga anak, membeli barangan di pasar, membasuh kereta, nescaya mereka tidak akan melakukan. Bagi mereka, pekerjaan tersebut adalah suatu yang menghinakan. Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam surah Saba ayat 14: “Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang menghinakan.” Ayat ini menunjukkan bahawa khidmat yang diberikan oleh makhluk jin dan syaitan kepada Nabi Sulaiman adalah dalam keadaan terpaksa. Apabila nabi Sulaiman wafat, mereka merasakan mereka baru terlepas dari perhambaan yang menyeksa lagi menghinakan. Jika suruhan Nabi sulaiman pun mereka buat dalam keadaan terpaksa, apa lagi suruhan manusia biasa. Tanpa disedari, manusia pula yang menjadi khadam kepada jin tersebut kerana menuruti segala kehendak dan syarat jin itu.

Hujah ketujuh: Bersahabat dengan jin adalah evolusi kepada upacara menurun

Penggunaan jin dalam rawatan adalah bentuk satu fotokopi kepada ’upacara menurun’ dalam bentuk moden. Kaedah ini sebenarnya sama sahaja dengan kaedah merawat menerusi resapan mahkluk tersebut ke dalam tubuh perawat seperti dalam upacara tok bageh, main putri, ulek mayang dan sebagainya. Apabila umat Islam telah menyedari kaedah resapan roh menyalahi ajaran Islam, maka syaitan memperkenalkan kaedah terbaru iaitu menggunakan jin sebagai sahabat. Melalui strategi baru ini, makhluk tersebut tidak lagi meresap masuk ke dalam tubuh perawat, sebaliknya mengilhamkan sesuatu melalui bisikan, memperlihatkan sesuatu yang terselindung dan yang ghaib dari pandangan, serta pelbagai lagi perkara-perkara luar biasa. Kehebatan yang ditunjukkan ini menyebabkan orang di sekeliling menganggapnya sebagai wali yang keramat. Sebenarnya, kedudukan jin yang menyampaikan maklumat kepada pengamal melalui bisikan atau ilham ini adalah sama dengan kedudukan syaitan yang berusaha untuk menyesatkan manusia. Firman Allah dalam surah Al An’am ayat 112: ”Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan yang terdiri dari kalangan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu."

Oleh itu, para pembaca harus berhati-hati dan jangan tertipu dengan helah makhluk ini. Walaupun apa yang ditampilkan kelihatan sangat baik, kita tidak seharusnya menjadikan mereka sebagai sahabat. Jika difikirkan, manusia yang mempunyai jasad fizikal yang dapat dilihat secara kasar ini pun banyak melakukan penipuan, apatah lagi jin yang langsung tidak dapat dilihat. Bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa kepada permainan licik syaitan, maka umat Islam diseru menjauhkan diri dari bersahabat dengan makhluk ini. Allah SWT berfirman dalam surah Fathir ayat 6:“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.”




Rabu, 17 April 2019

Jawapan Kepada Puan Asiah Jalil Berkaitan Hadis Nabi Di Gua Hira

3:04:00 PTG 0
Jawapan Kepada Puan Asiah Jalil Berkaitan Hadis Nabi Di Gua Hira


Jawapan Kepada Puan Asiah Jalil Berkaitan Hadis Nabi Di Gua Hira']


Saya membaca tulisan Puan Asiah Jalil berkenaan dengan Nabi sallallah alaih wasallam meninggalkan isteri baginda sewaktu berada di Gua Hira'. 


Saya kira terdapat kekeliruan yang ada pada tulisan beliau. Saya menjangkakan bahawa beliau tidak membuat rujukan silang atau mungkin juga beliau tidak mahir dengan kitab-kitab hadis.


Puan Asiah mengatakan Nabi sallallah alaih wasallam bersenang-lenang beribadat di Gua Hira' dan meninggalkan anak-anaknya di bawah jagaan isterinya seorang. Ayat ini boleh difahami bahawa penulisnya ingin mengatakan baginda melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami ketika berada di luar.


Jika benar ini maksud penulis, bagi saya ini adalah salah dan batil. Jika kita menyemak kembali hadis berkaitan isu ini kita akan dapati bahawa apa yang berlaku tidak sepertimana yang difahami daripada membaca tulisan Puan Asiah. 


Berikut jawapan saya:


1. Adakah Nabi sallallah alaih wasallam berada lama di Gua Hira’?

Ulama mempunyai 2 pandangan:

i. Sebahagian ulama mengatakan Nabi sallallah alaih wasallam berada di sana untuk tempoh masa panjang iaitu sebulan Ramadhan. 

ii. Sebahagian ulama berpandangan Nabi sallallah alaih wasallam tidak meninggalkan anak-anak baginda di bawah jagaan Khadijah untuk tempoh yang lama. Ini kerana Aisyah menyebutkan dalam hadisnya: 


الليالي ذوات العدد


Maksudnya: Malam yang berbilang-bilang. (HR Bukhari)


Al-'Aini menyebutkan orang arab menyebut berbilang-bilang ini untuk menunjukkan bahawa bilangan malam itu tidak banyak. (‘Umdat al-Qari, jil. 19, hal. 30) Ini dipersetujui oleh Abu al-Syamah. (Syarh al-Hadith al-Muqtafa, hal. 106)


Tambahan pula bekalan makanan di zaman itu adalah susu dan daging, ia tidak akan bertahan lama. (Fath al-Bari, jil. 12, hal. 356)


Inilah tafsiran yang tepat apabila melihat kepada lafaz hadis Aisyah dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim.


2. Adakah Nabi sallallah alaih wasallam sentiasa meninggalkan isteri baginda? Jawapannya tidak. Jika dilihat kepada riwayat Ibn Ishaq, baginda hanya berada di sana pada bulan Ramadhan sahaja. (Dalail al-Nubuwwah, jil. 2, hal. 147) 


Itu pun bukannya Nabi sallallah alaih wasallam pergi sebulan penuh. Baginda akan balik jika bekalan habis dan jika rindukan keluarga baginda akan pulang bertemu mereka. (Syarh al-Hadith al-Muqatafa, 105)


3. Jangan terkeliru apabila disebutkan Nabi sallallah alaih wasallam meninggalkan anak-anak di bawah jagaan Khadijah. Ia seolah-olah ramai anak kecil (bayi) yang perlu dijaga. Jika kita buat kajian mendalam, antara anak Nabi sallallah alaih wasallam sewaktu baginda diutuskan menjadi Rasul adalah Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah. Menurut ulama sirah Zainab, Ummu Kalthum dan Ruqayyah telah pun berkahwin di zaman Jahiliah. 


Ini isyarat bahawa Khadijah tidak bersendirian. Pastinya anak-anaknya yang sudah pun berkahwin membantunya. Apatah lagi apabila dalam hadis sewaktu Nabi sallallah alaih wasallam pulang ketakutan setelah menerima wahyu Nabi menyebut:


زملوني زملوني


Maksudnya: selimutkan saya, selimutkan saya.


Bagi yang memahami Bahasa Arab akan memahami bahawa arahan ini adalah arahan untuk ramai manusia. Ini bermakna di dalam rumah Nabi sallallah alaih wasallam terdapat ramai yang memahami arahan. Ini menunjukkan mereka sudah besar dan bukan lagi bayi dan memahami arahan.


Boleh jadi juga Khadijah mempunyai pembantu ketika Nabi berada di Gua Hira'. Khadijah merupakan orang kaya dan tidak pelik jika dia mempunyai pembantu.


4. Masalah kita hari ini ialah apabila kita memahami hadis berdasarkan peristiwa yang berlaku hari ini. Apabila kita melihat suami tidak bertanggungjawab pada hari ini maka kita cuba memahami tindakan Nabi sallallah alaih wasallam begitu juga. Ini jelas salah. Padahal jika kita melihat kepada keseluruhan hadis kita akan dapati setelah Nabi mengadu ketakutan kepada Khadijah, Khadijah berkata kepada Nabi perkara berikut:


كَلَّا، وَاللهِ مَا يُخْزِيكَ الله أبداً، إنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضِّيفَ، وتُعِيْنُ على نوائب الحق.


Maksudnya: Tidak, demi Allah, Allah sesekali tidak akan menghinakan kamu selamanya. Sesungguhnya engkau sentiasa menghubungkan hubungan silaturrahim, sentiasa menanggung bebanan (membantu orang susah), sentiasa memberikan harta kepada orang miskin, sentiasa memuliakan tetamu dan sentiasa menolong perkara yang benar. (HR al-Bukhari)


Adakah logik bagi suami tidak bertanggungjawab mendapat pujian sebegini dari seorang isteri? Kemungkinan jika suami tidak bertanggungjawab akan ditambah lagi dengan bebelan seumpama: 


Awak ni saja cari penyakit. Elok-elok duk di bawah, pergi pula panjat gua dan balik bawa penyakit! 


Tetapi Khadijah memuji Nabi sallallah alaih wasallam. Ini membuktikan baginda adalah suami sempurna. Aisyah juga memuji Nabi sallallah alaih wasallam dengan mengatakan akhlak Nabi adalah al-Quran. 


Nabi sallallah alaih wasallam sangat menyanyangi Khadijah dan menghargainya sehingga baginda selalu menyebut nama Khadijah walau setelah Khadijah wafat? Adakah orang begini sanggup melepaskan tanggungjawabnya terhadap isterinya?


Saya pasti isteri baginda lebih mengenali Nabi sallallah alaih wasallam berbanding Puan Asiah Jalil.  


5. Jika banyak perbuatan Nabi terhadap isterinya yang Puan Asiah Jalil tidak suka, saya pula tidak suka Puan Asiah Jalil yang menyibuk memberi komentar tentang rumahtangga Nabi saya. Isteri baginda pun tidak kisah Nabi berada di gua Hira’, jangan pula orang lain yang terlompat kepanasan? Berhati-hatilah bila berbicara tentang Nabi sallallah alaih wasallam.


Dr Rozaimi Ramle


Cedok dari FB....

Selasa, 16 April 2019

WAKTU DAN TEMPAT MUSTAJABNYA DO'A

5:18:00 PTG 0
WAKTU DAN TEMPAT MUSTAJABNYA DO'A


WAKTU DAN TEMPAT MUSTAJABNYA DO'A
1. Ketika sahur atau sepertiga malam terakhir. 

2. Ketika berbuka puasa. 

3. Ketika malam Lailatu Al Qodar. 

4. Ketika adzan berkumandang. 

5. Di antara adzan dan iqomah.

6. Ketika sedang sujud dalam solat. 

7. Ketika sebelum salam pada solat wajib. 

8. Pada hari Juma’at.

9. Ketika hujan turun. 

10. Hari Rabu antara Dzhohor dan 'Asor. 

11. Ketika hari 'Arofah. 

12. Ketika perang berkecamuk. 

13. Ketika meminum air zam-zam. 

Ruju' :

https://muslim.or.id/3853-waktu-waktu-terkabulnya-doa.html