Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Khamis, 1 November 2018

ORANG KAYA PAHALANYA LEBIH BANYAK ?

1:11:00 PTG 0
ORANG KAYA PAHALANYA LEBIH BANYAK ?

Menyaingi Ganjaran Orang Kaya


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ الْفُقَرَاءُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ مِنَ الْأَمْوَالِ بِالدَّرَجَاتِ الْعُلَا وَالنَّعِيمِ الْمُقِيمِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَلَهُمْ فَضْلٌ مِنْ أَمْوَالٍ يَحُجُّونَ بِهَا وَيَعْتَمِرُونَ وَيُجَاهِدُونَ وَيَتَصَدَّقُونَ قَالَ أَلَا أُحَدِّثُكُمْ إِنْ أَخَذْتُمْ أَدْرَكْتُمْ مَنْ سَبَقَكُمْ وَلَمْ يُدْرِكْكُمْ أَحَدٌ بَعْدَكُمْ وَكُنْتُمْ خَيْرَ مَنْ أَنْتُمْ بَيْنَ ظَهْرَانَيْهِ إِلَّا مَنْ عَمِلَ مِثْلَهُ تُسَبِّحُونَ وَتَحْمَدُونَ وَتُكَبِّرُونَ خَلْفَ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ 


Dari Abu Hurairah RA berkata, "Pernah datang sahabat yang miskin kepada Nabi SAW seraya berkata, "Orang-orang kaya, dengan harta benda mereka itu, mereka mendapatkan kedudukan yang tinggi, juga kenikmatan yang abadi. Kerana mereka melaksanakan solat seperti juga kami melaksanakan solat. Mereka puasa sebagaimana kami juga puasa. Namun mereka memiliki kelebihan disebabkan harta mereka, sehingga mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan harta tersebut, dapat melaksanakan umrah bahkan dapat berjihad dan bersedekah." Maka Rasulullah SAW  pun bersabda: "Mahukah aku sampaikan kepada kalian sesuatu yang apabila kalian ambil (sebagai amal ibadah) kalian akan dapat mengatasi (darjat) orang-orang yang sudah mengalahkan kalian tersebut, dan tidak akan ada yang dapat mengalahkan kalian dengan amal ini sehingga kalian menjadi yang terbaik di antara kalian dan di tengah-tengah mereka kecuali bila ada orang yang mengerjakan seperti yang kalian amalkan ini. Iaitu kalian membaca tasbih (Subhaanallah), membaca tahmid (Alhamdulillah) dan membaca takbir (Allahu Akbar) setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali."  (HR Bukhari No: 798) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Setiap orang sama ada miskin mahupun kaya berpeluang melakukan amal solleh


2.  Muslim yang berharta, di samping melaksanakan ibadat solat dan puasa, dia berkemampuan menunaikan ibadat haji dan umrah, serta berjihad dan bersedekah


3.  Muslim yang tidak berharta juga berpeluang memperolehi ganjaran seperti orang kaya malah mungkin lebih baik


4.  Antara amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW  yang boleh menjana ganjaran pahala melebihi sumbangan sedekah orang kaya ialah tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali setiap satu selepas solat fardhu.


5.  Kita boleh mencemburui amal orang yang berharta yang menggunakan hartanya utk infak dan sedekah.  Moga kita boleh menjadi seperti mereka.


Ayuh perolehi ganjaran mudah dengan tasbih, tahmid dan takbir selepas solat fardhu yang sentiasa dilakukan.


#Semarak Ukhuwah Memacu Perubahan#

#Malaysia Menuju Negara Rahmah#

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

Selasa, 30 Oktober 2018

DOA MENANGANI SUAMI PANAS BARAN

5:34:00 PTG 0
DOA MENANGANI SUAMI PANAS BARAN

CARA MENANGANI SUAMI PANAS BARAN

Tidak semestinya. Itu dah mungkin perangai semula jadinya, sebagai isteri, kenalah banyak bersabar dengan kerenah suami. Allah akan memberikan pahala kepada isteri yg sabar dengan kekurangan yang ada pada suaminya. Insyaallah.

Cuba cari punca kenapa dia sering bersikap demikian, elakkan dari suami melenting dan marah-marah. 

Di sini, saya ingin berkongsi doa dan zikir yang telah dan masih saya amalkan dalam menangani kerenah suami dan anak-anak. Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia dan baiti jannati. Sebagai isteri dan ibu, kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga. 

Untuk melembutkan hati suami yg garang dan menurunkan kadar suhu 'panas baranannya' amalkan seperti: 

1) Banyakan berdoa selepas solat, hadiahkan Al-Fatihah khusus untuk suami supaya dilembutkan hatinya dan diberi taufik serta hidayah. 

2) Baca surah Taha ayat 1-8..dan kemudian baca doa Nabi Daud sebanyak 3x - "Ya ALLAH lembut kan hati suamiku (sebut nama)... sebagaimana Engkau lembutkan besi ditangan Nabi Daud" 

3) Ketika memasak basahkan lidah dengan zikir Ya-Latif sebanyak 129x di ikuti Surah As-Syura ayat 19 bermaksud: “Allah Maha Lembut kepada hambaNya. Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” 

4) Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang. Semua ini insya-Allah adalah doa pelembut hati. 


Bila suami sedang naik angin dan marahnya meluap-luap, diamkan diri jangan dijawab. Dalam mendiamkan diri bacalah doa didalam hati dgn ayat: 

1) Dari Surah Al-Baqarah ayat 250 yg bermaksud – “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah iman kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir. 

2) Dan bacakan ayat 200, surah Ali Imran yg bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.” 

3) Begitu juga, amalakan Surah Toha ayat 1-8, surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah. 

Syaitan memang suka mengapi-apikan suami yang sedang marah.. Silap sedikit, isteri jadi sasaran suami yg naik berang. Bila suami naik berang, bacalah ayat ini: 

1) Surah Al-Nahl ayat 99 yang bermaksud “ Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang bertawakkal kepada Tuhan mereka. 

Ajaklah suami menghadiri majlis ilmu dan keugamaan supaya diberi jalan keluar untuk muhasabah diri, dengarkan ceramah-ceramah motivasi dan ugama supaya timbul kesedaran untuk memperbaiki peribadi. Bila Allah ingin memberi kebaikan pada hambaNya, Dia akan nampakkan kekurangan-kekurangan pada hambaNya. Jika kita sedar akan kekurangan kita dan ingin berubah, Insyaallah ada jalan keluar. Sebagaimana yang pernah saya dengar dari guru-guru ugama, jika kita tidak menghadhirkan diri untuk majlais ilmu selama 40 hari, hati akan menjadi keras dan susah nak terima hidayah. 

Janganlah berputus asa, jadikan doa cara berkesan membentuk peibadi suami dan anak-anak. Doa itu senjata mukmin. Wallahu’alam.

Semoga apa yg saya kongsi kan bersama dapat di mamfaat kan untk semua... Ins sya allah

HUKUM MEMPERJUANGKAN KEPENTINGAN BANGSA

5:32:00 PTG 0
HUKUM MEMPERJUANGKAN KEPENTINGAN BANGSA

HUKUM MEMPERJUANGKAN KEPENTINGAN BANGSA

Dr Asri, apakah pandangan Islam mengenai perjuangan memartabatkan bangsa? Ada yang kata tak Islamik, ada yang kata asabiyyah. Ada pula yang berkata Islam sama sekali tidak peduli masalah kaum. Kita di Malaysia orang Melayu beragama Islam, salahkah jika kita berjuang mengangkat hak bangsa melayu? Harap Dr Asri dapat jelaskan kekeliruan ini.
Saifuddin, Johor.

Jawaban Dr. MAZA: Saudara Saifuddin, Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi. Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak. Di sini saya sebut beberapa perkara untuk memahami isu ini;

1. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: 
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا
(maksudnya) “dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15). 

2. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:

يا أيّها الناس ، إنَّ ربَّكم واحِدٌ ، وإنَّ أباكُم واحِد ، ألاّ لا فَضْلَ لِعربِيٍّ على عَجَمِيّ ، ولا لِعَجَمِيّ على عَرَبي ، ولا لِأحْمَر على أسْوَدٍ ، ولا أسود على أحْمَرٍ ، إلاّ بالتَّقوَى
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani). 
Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

3. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَككْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

 (maksudnya) (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13). 

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini: “Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).

4. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: 
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آَيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
(maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

5.  Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: 
فَآَتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ ذَلِكَ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
(maksudnya) “Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)

6. Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi s.a.w: 
إِنَّ الأَشْعَرِيِّينَ إِذَا أَرْمَلُوا فِي الْغَزْوِ أَوْ قَلَّ طَعَامُ عِيَالِهِمْ بِالْمَدِينَةِ جَمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَهُمْ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ اقْتَسَمُوهُ بَيْنَهُمْ فِي إِنَاءٍ وَاحِدٍ بِالسَّوِيَّةِ فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُمْ

“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari  dan Muslim). 
Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

7. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanati puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi s.a.w: 
وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ
“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim). 
Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. 
Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.

8. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan memerlukan seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

9. Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

FB Dr Maza