Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Rabu, 22 Ogos 2018

AWAS! PENCURI DAGING KORBAN

6:45:00 PG 0
AWAS! PENCURI DAGING KORBAN
AWAS! PENCURI DAGING KORBAN

Antara dosa yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban. Ini berlaku apabila ada pihak yang mengambil daging korban atau bahagian dari binatang korban tanpa terlebih dahulu meminta izin dari empunya korban.
Biasanya hal ini dilakukan oleh penyembelih, pelapah dan mereka yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan. Tanpa terlebih dahulu meminta izin dari individu yang melakukan ibadah korban itu, mereka mengambil bahagian korban yang mereka sukai. Ini terutama bahagian-bahagian yang menarik untuk mereka.

 Biasanya, mereka akan meletakkan bahagian itu berasingan untuk mereka ambil selesai urusan pelapahan haiwan korban korban. Mereka menyembunyikan lebih awal ataupun tanpa malu mengambil secara terang-terangan. Jika seekor lembu yang dibahagikan tujuh, maka ketika pembahagian tersebut bahagian-bahagian tertentu telah pun dicuri terlebih dahulu. Walaupun mungkin tuan empunya tidak membuat bantahan, namun itu bukan bererti dia bersetuju memberikan. Mungkin dia malas bergaduh ataupun tidak tahu. Namun perbuatan mengambil daging korban tanpa terlebih dahulu diberikan oleh empunya, merupakan perbuatan yang haram.

Kemudian mereka wajib tahu bahawa tidak boleh untuk mereka mengambil daging korban atas dasar upah kerja mereka. Mereka hanya boleh menerima upah berbentuk wang atau apa sahaja selain bahagian korban yang mereka terlibat.

Larangan memberikan daging atau selainnya sebagai upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim. Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:

أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا، لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا، وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku membahagikan kesemuanya; daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali:
نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا
“Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.

Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dan pelapah dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan korban. Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: “Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (3/633. Damsyik: Dar al-Fikr).

Hendaklah diingatkan bahawa mereka seperti mana orang lain, hanya boleh perolehinya jika diberikan oleh tuan empunya korban dengan hati yang redha, bukan dengan mereka pandai-pandai mengambilnya.

Firman Allah:
ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
(maksudnya) “Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta kamu antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).

FB Dr Maza

Selasa, 21 Ogos 2018

EIDUL ADHA DAN PUASA SUNAT ARAFAH

12:20:00 PTG 0
EIDUL ADHA DAN PUASA SUNAT ARAFAH

Istilah “Idul Adha” amat masyhur digunakan dalam hadis-hadis dan kitab-kitab feqah. Masyarakat Islam di Malaysia kebiasaannya menggunakan istilah “Hari Raya Korban” yang sememangnya bertepatan dengan istilah Idul Adha. Tidak ada kitab hadis dan feqah yang menggunakan istilah “Idul Hajj” yang juga disebut oleh sesetengah masyarakat Islam sebagai “Hari Raya Haji”.

Hari Wukud di Arafah adalah bagi penduduk Makkah, adalah sehari sebelum Hari Nahar (Idul Adha). Tarikh Hari Wukuf bagi mengerjakan ibadah haji akan diisytihar oleh pihak pemerintah iaitu kerajaan Arab Saudi. Bagi negara atau kawasan yang berlainan terbit matahari seperti Malaysia dan lain-lain, penentuan 9 Zulhijjah adalah mengikut ketentuan imkanur-rukyah negara masing-masing. Puasa Hari Arafah (9 Zulhijjah) mempunyai kelebihan menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas sebagaimana riwayat Muslim. Justeru itu, tarikh berpuasa hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah mengikut ketentuan rukyah awal bulan Zulhijjah negara masing-masing.


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi ﷺ bersabda:

‎ﺍﻟﺼَّﻮْﻡُ ﻳَﻮْﻡَ ﺗَﺼُﻮﻣُﻮﻥَ ﻭَﺍﻟﻔِﻄْﺮُ ﻳَﻮْﻡَ ﺗُﻔْﻄِﺮُﻭﻥَ ﻭَﺍﻷَﺿْﺤَﻰ ﻳَﻮْﻡَ ﺗُﻀَﺤُّﻮﻥَ

Maksudnya: “Puasa itu (permulaannya) adalah pada hari kamu berpuasa (bulan Ramadhan) dan Hari Raya Puasa (Idul Fitri) adalah hari di mana kamu berhari raya dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”.

Riwayat Imam al-Tirmidzi (no.697)


Merujuk kepada petikan sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud “ dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)” , Rasulullah s.a.w. menetapkan agar ibadat korban itu dilaksanakan pada Hari Raya Korban (Idul Adha) dan hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah). Hadith tersebut juga menunjukkan bahawa ibadat korban tiada kaitan dengan penentuan ibadat haji yang dilaksanakan di Arab Saudi (sehari selepas wukuf di Arafah). Ia adalah sunat muakkad bagi orang yang mengerjakan haji dan umat Islam di seluruh dunia.


Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan matan Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi bahawa apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq. Rujuk

Mughni Muhtaj 1/619)


Puasa Sunat Arafah


Polemik penetapan puasa sunat Arafah seringkali menjadi isu kerana ia terjadi setiap tahun, adakah perkiraannya mengikut anak bulan di sesebuah negeri atau mengikut hari wukuf di Arafah. Setiap permasalahan yang timbul telah diterangkan oleh para ulama di dalam karya-karya kitab mereka bagi menyelesaikan isu yang berlaku. Begitulah juga permasalahan isu penetapan puasa sunat Arafah.


Firman Allah Taala:

‎ﻳَﺴْﺄَﻟُﻮﻧَﻚَ ﻋَﻦِ ﺍﻟْﺄَﻫِﻠَّﺔِ ﻗُﻞْ ﻫِﻲَ ﻣَﻮَﺍﻗِﻴﺖُ ﻟِﻠﻨَّﺎﺱِ ﻭَﺍﻟْﺤَﺞِّ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang anak-anak bulan. Katakanlah itu adalah penunjuk waktu bagi manusia (waktu-waktu berpuasa, berbuka, iddah seseorang wanita) dan waktu ibadah haji .

(Surah Al-Baqarah:189)


Berkata Imam Ibnu Kathir Rahimahullahu Taala ketika mana menafsirkan ayat tersebut: Berkata Abu Jaafar daripada Abu Rabi’ daripada Abu Al-Aliah. telah sampai kepada kita bahawa mereka telah berkata. “Ya Rasulullah! Mengapa dijadikan anak-anak bulan itu?” Maka turunlah wahyu dengan ayat ini. Rujuk Tafsir Ibn al-Kathir (1/280)

Berkata juga Imam al-Tabari Rahimahullahu Taala dalam menafsirkan ayat Al-Hajj iaitu ertinya kerana haji bermaksud Allah Taala menjadikan anak-anak bulan itu bagi masuk mengerjakan haji supaya kamu tahu waktu nusuk dan haji kamu. Rujuk Tafsir al-Tabari (3/555)

Daripada ayat tersebut dan penerangan para ulama termasuk Imam al-Nawawi Rahimahullahu Taala dalam Syarah Muslim bahawa wajib berpuasa dengan melihat anak bulan Ramadhan dan wajib berbuka puasa (hari raya) dengan melihat anak bulan syawal dan apabila terlindung anak bulan awal Ramadhan dan akhir Ramadhan maka hendaklah disempurnakan bilangan bulan Syaaban dan Ramadhan tiga puluh hari.

Maka begitulah juga sabit anak bulan Zulkaedah dan Zulhijjah dengan melihat anak bulan atau ditakmilkan tiga puluh hari sebagiamana diqiyaskan dengan anak bulan Ramadhan dan Syawal.

Telah berkata Imam Ibnu Hajar Rahimahullahu Taala dalam kitab Fathu Jawwad dan Imam Ramli Rahimahullah dalam Kitab al-Nihayah dan lain-lain ulama bahawa penepatan anak bulan Zulkaedah dan Zulhijjah disabitkan dengan melihat anak bulan pada suatu negeri.


Walaubagaimanapun Para Ulama Rahimahumullahu Taala telah berselisih pendapat berkaitan penetapan waktu puasa sunat Arafah kepada dua pendapat:


Pendapat Pertama : Antaranya pendapat Ibnu Rejab Al-Hanbali Rahimahullahu Taala dan sebahagian Ulama Malikiyyah Rahimahumullahu Taala .(Hari arafah adalah hari di mana para Jemaah Haji Wukuf di Arafah).


Pendapat Kedua: Pendapat Mazhab As-Syafie, dan juga sebahagian Ulama Malikiyyah seperti Ibnu Abdil Barr

Rahimahumullahu Taala puasa Sunat Arafah mengikut perkiraan melihat anak bulan Zulhijjah pada sesuatu negeri (iaitu tanggal 9 Zulhijjah itu sendiri. Setiap negeri mempunyai matlak masing-masing).

Rujuk Fathul Bari oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani

Rahimahullahu Taala (4/123)


Justeru, pendapat kedua merupakan pendapat yang ditarjih dalam Mazhab As-Syafi’e Rahimahullahu Taala dan terpakai di Malaysia. Namun begitu afdhalnya, seseorang itu apabila berpuasa sunat Arafah berpuasa juga pada hari Tarwiyyah (hari kelapan Zulhijjah) sebagai Ikhtiyat (berhati-hati) dalam ibadah puasa sunat Arafah.


Kesimpulan


Negara Malaysia yang terletak kira-kira 7000 kilometer dari Arab Saudi mempunyai matla’ (zon terbit matahari dan bulan) yang berbeza dan mempunyai kaedah falak yang jelas serta diperakui oleh ulama-ulama falak dalam menentukan tarikh-tarikh penting dalam Islam. Kekeliruan masyarakat dalam penentuan Hari Arafah di Malaysia dan Arab Saudi perlu difahami sebaiknya dan keputusan rasmi penetapan Hari Raya Korban di Malaysia yang akan diisytihar oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia

‎ﻭﺍﻟﻠﻪ ﺃﻋﻠﻢ ﻭﺃﺣﻜﻢ


http://muftiwp.gov.my/en/falak/bayan-al-falak/2564-bayan-al-falak-siri-2-idul-adha-dan-puasa-hari-arafah


(Dipetik daripada facebook Ustaz Iqbal Zain)

DOA YANG TERBAIK PADA HARI ARAFAH OLEH JAKIM

8:43:00 PG 0
DOA YANG TERBAIK PADA HARI  ARAFAH OLEH JAKIM

DOA YANG TERBAIK PADA HARI  ARAFAH OLEH JAKIM
✔1. Ya Allah kurniakanlah padaku Kejayaan terbesar - selamat dari api neraka dan masuk ke Syurga Firdaus

✔2. Ya Allah masukkanlah aku dan keluargaku dalam golongan yg beriman.. yang menerima kitab amal di tangan kanan kami.

✔3. Ya Allah, Kurniakanlah padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucapkan syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhir. Kurniakanlah padaku syafaat Rasulullah (saw).

✔4. Ya Allah masukkanlah aku dalam kalangan Rasulullah (saw), keluarganya dan para sahabat di Syurga Firdaus.

✔5. Ya Allah selamatkanlah rakan-rakan bukan Islam ku dari neraka. Kurniakan mereka hidayah Islam.

✔6. Ya Allah, satukan aku dalam Syurga Firdaus dengan orang-orang yang aku sayangi semata-mata kerana Mu.

✔7. Ya Rabb, sempurnakan agamaku dan ibadatku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.

✔8. Ya Allah terimalah amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkanlah aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.

✔9. Ya Allah, apabila aku mati, biarlah jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi

✔10. Ya Allah kurniakan aku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan Iman.

✔11. Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunan Mu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari Arash Mu.

✔12. Oh Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku padaMu. Janganlah ada keraguan dalam kepercayaanku dalam keesaan Mu, kehebatan Mu dan kekuasaan Mu.

✔13. Ya Allah tingkatkanlah kecintaanku untuk Mu dan Nabi Mu (saw).

✔14. Ya Allah ampunilah aku dan tingkatkanlah kurnian Rahmat dan Rezeki Mu

✔15. Ya Allah berilah aku lebih banyak peluang untuk berbuat baik dan mendapat keredhaanmu.

✔16. Ya Allah ya Rabb, sucikan niatku hanya untuk Mu semata dan lindungi aku dari menunjuk-nunjuk atau kebanggaan palsu. Selamatkan aku dari sifat angkuh, sombong, menunjuk nunjuk dan mengungkit ungkit nikmat.

✔17. Oh Penciptaku dan Tuhanku, jangan biarkan aku sendirian. Berkati aku dengan pasangan yang sesuai dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mataku.

✔18. Oh Tuhanku, jadikanlah aku dari orang-orang yang sabar dan patuh kepada Mu dan kepada ibu bapaku.

✔19. Selamatkanlah aku dari Fitnah Dajjal.

✔20. Selamatkanlah aku dari azab kubur dan azab api neraka.

✔21. Ya Allah, tingkatkanlah usahaku dalam kerja-kerja Sadakatul Jariah.

✔22. Ya Allah, berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud padamu dengan mudah sehingga akhir hayatku.

✔23. Ya Allah, lindungi aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim. Selamatkan kami dari fitnah dan permudahkanlah bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.

✔24. Tuhanku, berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti dan selamatkanlah aku dari api neraka. Sesungguhnya aku memang memerlukan kurniaan dari Mu Ya Allah.

✔25. Ya Allah tingkatkanlah kesyukuranku semata-mata kepada Mu.

✔26. Ya Rabb, selamatkan aku dari kemunafikan.

✔27. Ya Allah, izinkan aku dan isteriku menjadi antara jemaah menunaikan Haji sebelum kami dijemput olehMu..

✔28. Ya Allah lindungi kami dari syaitan, jin dan arak. Lindungi kami dari perbuatan jahat dan niat mereka.

✔29. Ya Allah ampuni dan berilah rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.

✔30. Ya Allah, aku berdoa dan memohon daripadamu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua dari kufur, putus asa, salah laku dan syirik.

✔31. Ya Allah berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, semoga aku dapat bangun untuk tahajjud dan solat subuh setiap hari.