Islam Is Great : agama

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan

Selasa, 23 Mei 2023

Berkasih Sayang Didunia Mendapat Naungan Di Padang Mahsyar

1:53:00 PTG 0
Berkasih Sayang Didunia Mendapat Naungan Di Padang Mahsyar

 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak: "Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Ku naungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku." (Sahih Muslim No: 4655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap kita akan bertemu Allah pada hari akhirat untuk menerima balasan di atas segala amal yang dilakukan semasa di dunia.

2. Setiap manusia akan dibangkitkan dan melalui kesusahan dan kepayahan padang mahsyar kecuali orang yang mendapat perlindungan dari Allah.

3. Antara orang yang akan mendapat naungan dan perlindungan di padang mahsyar ialah mereka yang saling mencintai sesama mereka semasa di dunia kerana Allah.

Semoga kita menjadi salah seorang yang mendapat naungan di hari kiamat kerana saling cinta mencintai sesama Muslim semata-mata kerana Allah semasa kita hidup di dunia ini.

Isnin, 22 Mei 2023

Menyayangi Untuk Disayangi

1:52:00 PTG 0
 Menyayangi Untuk Disayangi

 Menyayangi Untuk Disayangi


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ارْحَمْ مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكَ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Daripada Abdullah bin Amir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang menyayangi (orang lain) pasti akan disayangi Allah. Sayangilah setiap penduduk bumi, nescaya engkau akan disayangi para penghuni langit” (HR Tabrani No: 1460) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Orang yang menyayangi makhluk tanpa mengira manusia mahupun binatang, Allah dan segala makhluk di langit akan menyayanginya.

2. Sifat saling menyayangi datang daripada mereka yang memiliki kejernihan jiwa dan kesucian rohani. Jauh dari sifat dendam, bongkak dan sombong.

3. Orang yang tidak menyayangi orang lain, akan jauh daripada kebaikan. Hadis Nabi SAW:

عَنْ جَرِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُحْرَمْ الرِّفْقَ يُحْرَمْ الْخَيْرَ

Daripada Jarir RA dari Nabi SAW bersabda: Barang siapa dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang), bererti ia dijauhkan dari kebaikan. (HR Muslim No: 4694) Status: Hadis Sahih

4. Berusahalah menyayangi orang lain dengan memberikan hak-hak mereka. Jika mereka meminta pertolongan, bantulah mereka, jika mereka meminta nasihat, nasihatilah, jika mereka sakit maka ziarahilah.

5. Jauhi perasangka buruk, membuat tuduhan, menghukum, memberi gelaran buruk dan memfitnah. Elakkan permusuhan dan persengketaan. Pereratkan yang dekat, rapatkan yang jauh.

Ahad, 21 Mei 2023

Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban

1:51:00 PTG 0
Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban

 Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban


عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban)." (Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh) menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

2. Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain." (Syarah Muslim Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139)

3. Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)
 
4. Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.

Sabtu, 20 Mei 2023

Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

1:50:00 PTG 0
 Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

 Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah


عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Musnad Ahmad No: 5879) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hb Zulhijjah hingga 10hb Zulhijjah). Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.

Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” ( malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)

Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).

2. Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)

3. Allah suka kepada hambaNya yang memperbanyak amalan pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1hb hingga 10hb Zulhijjah).

4. Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat paling tidak Isnin atau Khamis di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir

5. Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari, puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir, tilawah, doa, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban.

Jumaat, 19 Mei 2023

Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

1:50:00 PTG 0
 Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

 Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Cintailah orang yang kamu cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang sekarang kamu cintai suatu hari nanti menjadi orang yang kamu benci. Dan bencilah orang yang kamu benci sekadarnya, boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi orang yang kamu cintai.” (Sunan Tirmidzi No: 1997) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sifat cinta dan kasih adalah fitrah manusia namun biarlah berpada. Contohnya mencintai pasangan juga ahli keluarga yang berlebihan sehingga jika berlaku kematian, atau orang yang disayangi meninggalkannya, impak kesedihan amat mendalam yang boleh membawa kecelakaan padanya.

2. Maka cintailah saudaramu sewajarnya dengan memberikan hak-haknya tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan haknya.

3. Hasan Bashri RA berkata, “Hendaknya kalian mencintai jangan berlebihan dan membenci tidak berlebihan. Telah ada orang-orang yang berlebihan dalam mencintai satu kaum akhirnya binasa. Ada pula yang berlebihan dalam membenci satu kaum dan mereka pun binasa.”

4. Jika seseorang berlebihan dalam membenci lawannya, mungkin suatu masa nanti hubungan mereka menjadi baik maka mereka akan malu untuk menjadi sahabat dan kawan kerana merasa malu disebabkan berlebihan dalam membencinya sebelum ini. Kebencian berlebihan juga boleh membinasakan.

5. Awasilah sifat benci yang boleh mendorong kita berlaku zalim kepada orang lain juga menjadi penyebab kita tidak berlaku adil terhadap mereka.

Berpadalah dalam mengasihi dan membenci seseorang dengan menjaga dan memberi hak mereka sepatutnya.

Rabu, 10 Mei 2023

Amal Yang Disukai Allah Pada Aidil Adha

2:04:00 PG 0
Amal Yang Disukai Allah Pada Aidil Adha

 Amal Yang Disukai Allah Pada Aidil Adha


عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada Hari Edul Adha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku, dan bulunya. Dan sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan melakukannya” (Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Amal yang paling Allah sukai pada Hari Raya Aidil Adha daripada setiap Muslim ialah melaksanakan ibadah korban

2. Mereka yang melaksanakan ibadah korban ini di hari akhirat nanti akan datang binatang yang dikorbankan berserta tanduk, kuku dan bulunya sebagai saksi ibadat yang telah mereka laksanakan semasa di dunia

3. Ibadah Korban yang ikhlas dilaksanakan oleh Muslim, akan diterima Allah dan diredaiNya sebelum darahnya menitik ke bumi.

4. Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan, cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna.

Ayuh yang masih belum menempah bahagian untuk korban. Masih ada kesempatan untuk turut menyertainya. Jika kita terlepas peluang untuk berkorban pada tahun ini, tak pasti tahun depan kita ada lagi atau tidak.

Selasa, 9 Mei 2023

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

2:02:00 PG 0
 Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

 


Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang ada kelapangan belanja tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri masjid kami. (Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi.

2. Orang yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan ibadah korban seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat.

3. Dalam Mazhab Syafie, kelapangan belanja bermaksud seseorang yang mempunyai wang untuk membeli binatang korban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah).

4. Dalam Mazhab Hanbali pula, kelapangan belanja ialah mereka yang dapat membeli harga korban walaupun secara meminjam atau berhutang, dan hutang itu mampu dijelaskan.

5. Imam Malik berkata: “Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

Berusaha melaksanakan ibadat korban agar ia menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin dan kegembiraan jiran tetangga.