Islam Is Great : agama

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan

Ahad, 21 Mei 2023

Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban

1:51:00 PTG 0
Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban

 Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban


عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban)." (Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh) menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

2. Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain." (Syarah Muslim Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139)

3. Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)
 
4. Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.

Sabtu, 20 Mei 2023

Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

1:50:00 PTG 0
 Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

 Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah


عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Musnad Ahmad No: 5879) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hb Zulhijjah hingga 10hb Zulhijjah). Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.

Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” ( malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)

Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).

2. Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)

3. Allah suka kepada hambaNya yang memperbanyak amalan pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1hb hingga 10hb Zulhijjah).

4. Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat paling tidak Isnin atau Khamis di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir

5. Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari, puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir, tilawah, doa, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban.

Jumaat, 19 Mei 2023

Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

1:50:00 PTG 0
 Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

 Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Cintailah orang yang kamu cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang sekarang kamu cintai suatu hari nanti menjadi orang yang kamu benci. Dan bencilah orang yang kamu benci sekadarnya, boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi orang yang kamu cintai.” (Sunan Tirmidzi No: 1997) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sifat cinta dan kasih adalah fitrah manusia namun biarlah berpada. Contohnya mencintai pasangan juga ahli keluarga yang berlebihan sehingga jika berlaku kematian, atau orang yang disayangi meninggalkannya, impak kesedihan amat mendalam yang boleh membawa kecelakaan padanya.

2. Maka cintailah saudaramu sewajarnya dengan memberikan hak-haknya tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan haknya.

3. Hasan Bashri RA berkata, “Hendaknya kalian mencintai jangan berlebihan dan membenci tidak berlebihan. Telah ada orang-orang yang berlebihan dalam mencintai satu kaum akhirnya binasa. Ada pula yang berlebihan dalam membenci satu kaum dan mereka pun binasa.”

4. Jika seseorang berlebihan dalam membenci lawannya, mungkin suatu masa nanti hubungan mereka menjadi baik maka mereka akan malu untuk menjadi sahabat dan kawan kerana merasa malu disebabkan berlebihan dalam membencinya sebelum ini. Kebencian berlebihan juga boleh membinasakan.

5. Awasilah sifat benci yang boleh mendorong kita berlaku zalim kepada orang lain juga menjadi penyebab kita tidak berlaku adil terhadap mereka.

Berpadalah dalam mengasihi dan membenci seseorang dengan menjaga dan memberi hak mereka sepatutnya.

Rabu, 10 Mei 2023

Amal Yang Disukai Allah Pada Aidil Adha

2:04:00 PG 0
Amal Yang Disukai Allah Pada Aidil Adha

 Amal Yang Disukai Allah Pada Aidil Adha


عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada Hari Edul Adha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku, dan bulunya. Dan sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan melakukannya” (Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Amal yang paling Allah sukai pada Hari Raya Aidil Adha daripada setiap Muslim ialah melaksanakan ibadah korban

2. Mereka yang melaksanakan ibadah korban ini di hari akhirat nanti akan datang binatang yang dikorbankan berserta tanduk, kuku dan bulunya sebagai saksi ibadat yang telah mereka laksanakan semasa di dunia

3. Ibadah Korban yang ikhlas dilaksanakan oleh Muslim, akan diterima Allah dan diredaiNya sebelum darahnya menitik ke bumi.

4. Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan, cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna.

Ayuh yang masih belum menempah bahagian untuk korban. Masih ada kesempatan untuk turut menyertainya. Jika kita terlepas peluang untuk berkorban pada tahun ini, tak pasti tahun depan kita ada lagi atau tidak.

Selasa, 9 Mei 2023

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

2:02:00 PG 0
 Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

 


Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang ada kelapangan belanja tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri masjid kami. (Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi.

2. Orang yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan ibadah korban seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat.

3. Dalam Mazhab Syafie, kelapangan belanja bermaksud seseorang yang mempunyai wang untuk membeli binatang korban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah).

4. Dalam Mazhab Hanbali pula, kelapangan belanja ialah mereka yang dapat membeli harga korban walaupun secara meminjam atau berhutang, dan hutang itu mampu dijelaskan.

5. Imam Malik berkata: “Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

Berusaha melaksanakan ibadat korban agar ia menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin dan kegembiraan jiran tetangga.

Isnin, 8 Mei 2023

Satu Rumah Satu Ibadah Korban

2:01:00 PG 0
Satu Rumah Satu Ibadah Korban

 Satu Rumah Satu Ibadah Korban


عَنْ مِخْنَفِ بْنِ سُلَيْمٍ كُنَّا وَقُوفًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّة

Daripada Mikhnaf bin Sulaim, kami berwukuf di Arafah bersama Rasulullah SAW dan aku mendengar baginda bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya keatas setiap ahli sebuah rumah, satu ibadah korban pada setiap setahun" (HR Ibnu Majah No: 3116) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak beranggapan, Ibadah korban adalah sunat kifayah bagi setiap rumah (suatu sunat yang amat dituntut). Dalam mazhab Syafie ibadat korban ini sunat Muakkad.

2. Bagi Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan daripada penduduk tempatan

3. Ibadat korban ini adalah sebahagian dari syiar agama sebagai memperingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail. Melaksanakan ibadat ini akan membangkitkan kesedaran untuk sentiasa membelanjakan harta dan berkorban semata-mata meninggikan syiar agama Allah

5. Jika kita mampu membayar bil handset RM 40.00 hingga RM 100.00 sebulan, sanggup membayar bil astro RM 60.00 bulanan, membeli surat khabar dan majalah tidak kurang RM 50.00 sebulan – sewajarnya kita juga mampu menyimpan RM 50.00 hingga 60.00 sebulan untuk membeli satu bahagian daripada korban pada setiap Hari Raya Korban.

Keluarkan sebahagian daripada rezeki kita untuk melaksanakan ibadah korban. Musim PKPP ini, kebanyakan masjid dan surau menghadkan penyertaan korban malah pelaksanaannya dengan SOP yang ketat. Namun
penyertaan korban masih dibuka antaranya melalui MyCARE.

Ahad, 7 Mei 2023

Jalan Taqarub Dan Mendapat Kecintaan Allah

2:01:00 PG 0
 Jalan Taqarub Dan Mendapat Kecintaan Allah

 Jalan Taqarub Dan Mendapat Kecintaan Allah


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Allah berfirman; Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang kepadanya. Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada yang telah Aku wajibkan kepadanya. Tidaklah seseorang itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang ia jadikan untuk mendengar, dan pengelihatannya yang ia jadikan untuk melihat dengannya, dan tangannya yang ia jadikan untuk melakukan sesuatu, dan kakinya yang dijadikannya untuk berjalan, jikalau dia memohon kepada Ku, pasti akan Aku akan memberinya, dan jika meminta perlindungan daripada Ku, pasti Aku melindunginya. (HR Bukhari No: 6021) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Wali Allah adalah orang yang taat dan ikhlas dalam beramal, beriman dan bertaqwa, beramal dengan al-Quran dan Sunnah.

2. Orang yang menyakiti mukmin yang bertakwa maka Allah akan membinasakannya.

3. Melaksanakan amal fardhu adalah yang paling afdal dan disukai Allah.

4. Meninggalkan maksiat adalah sebahagian daripada melaksanakan kefardhuan.

5. Mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan fardhu juga melalui amalan sunat akan melayakkan seseorang hamba mendapat kecintaan Allah.

6. Ibnu Rajab menyatakan: sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan fardu dan sunat, darjatnya akan diangkat di sisi Allah. Jika dia bertutur, dia bertutur kerana Allah. Jika dia melihat, dia melihat kerana Allah.

7. Diantara penghormatan yang Allah kurniakan kepada orang yang dicintai Allah ialah Allah akan memperkenankan doanya jika dia meminta.

Sabtu, 6 Mei 2023

Mukmin Yang Terpelihara

2:00:00 PG 0
Mukmin Yang Terpelihara

 Mukmin Yang Terpelihara


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: 'Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama muslim. Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. Barang siapa yang ketinggalan amalnya (kurang), maka keturunannya tidak akan dapat meninggikannya (menambah amalnya).' (HR Muslim No: 4867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Mukmin yang membebaskan mukmin lain dari suatu kesulitan di dunia, nescaya Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat.

2. Mukmin yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan semasa di dunia, nescaya Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat.

3. Mukmin yang menutupi aib seorang muslim semasa di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.

4. Allah akan menolong sesiapa yang menolong saudara muslim yang lain.

5. Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya.

6. Orang yang berkumpul di masjid untuk membaca Al-Quran, Allah akan mengurniakan ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.

7. Barang siapa yang kurang amalnya semasa di dunia, maka keturunannya tidak akan dapat menambah amalnya. (Amal kita seperti solat, puasa adalah tanggungjawab kita).

Jumaat, 5 Mei 2023

Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

1:59:00 PG 0
Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

 Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

  
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلَاثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلَاثًا يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ أَمْرَكُمْ وَيَسْخَطُ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ

Dari Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah meredai kalian dalam tiga perkara dan benci kepada kalian dalam tiga perkara. Allah meredai kalian jika kalian beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, jika kalian berpegang teguh kepada agamanya dan tidak berpecah belah dan, jika kalian saling nasihat menasihati kepada orang yang diserahkan kepadanya urusanmu. Dan Allah membenci kalian dari sikap percaya kepada khabar yang tidak tentu sumbernya, banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) dan memboroskan harta". (HR Ahmad No: 8444) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Allah meredai seseorang apabila ia melakukan tiga perkara:

a. Beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu

b. Berpegang teguh kepada agama-Nya dan tidak berpecah belah

c. Saling nasihat menasihati dalam melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah.

2. Allah membenci seseorang apabila ia memiliki tiga perkara:

a. Percaya kepada khabar, maklumat atau info yang tidak tentu sumbernya sama ada dalam bentuk pertuturan mahupun tulisan.

b. Banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) sehingga menyusahkan orang lain untuk beramal

c. Membazir atau boros dalam membelanjakan harta

Berusahalah menjadi hamba yang diredai bukan dibenci.