Solat Berjemaah Dimasjid Apabila Terdengar Azan
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ قَالُوا وَمَا الْعُذْرُ قَالَ خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ لَمْ تُقْبَلْ مِنْهُ الصَّلَاةُ الَّتِي صَلَّى
Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang mendengarkan azan dan tidak punya alasan untuk tidak menjawabnya (tidak mendatangi ke tempat dilaungkan azan iaitu masjid). Para sahabat bertanya; Apakah alasan (uzur yang dibenarkan) itu? Baginda menjawab: "Takut atau sakit, maka tidak diterima solat yang dia kerjakan. (Sunan Abu Daud No: 464) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Lelaki Muslim yang mendengar laungan azan di masjid atau surau, menjadi tanggungjawab untuk menyahut dengan segera ke tempat azan dilaungkan untuk sama-sama solat waktu berjemaah
2. Dua orang yang mendapat pengecualian solat berjemaah di masjid ialah orang yang sakit (sakit yang menyukarkan untuk ke masjid) serta orang yang takut (contohnya ada sesuatu yang boleh mendatangkan mudarat dipertengahan jalan)
3. Menurut Ibnu Qudamah didalam kitab Al-Mughniyy: "Takut" (khauf) terbahagi tiga; takut sesuatu yang mudarat ke atas diri atau harta atau ahli keluarga.
4. Lelaki Muslim yang tidak menunaikan solat di masjid tanpa alasan syarie, solatnya tidak diterima (tidak sempurna).
5. Menurut Imam an-Nawawi, solat berjemaah adalah tuntutan Fardu Kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie ketika azan dilaungkan (contohnya seperti hujan lebat, sedang mengurus jenazah, doktor yang sedang melakukan pembedahan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan