Dunia ini berjalan dengan penuh ketidakadilan. Pihak yang kuat memangsakan yang lemah. Ada yang ditipu teraniaya. Ada yang kecewa dengan pasangannya. Ada yang jasanya dilupa walaupun demikian besar dia berbudi. Ada yang dibunuh dan diseksa. Ada yang dizalimi sekalipun dia tidak sempat mengenali siapakah penzalimnya itu. Ada yang lahir dalam suasana, atau keluarga atau negara yang sukar sehingga potensi dirinya tidak dapat dimajukan sekalipun dia seorang yang berkualiti. Sementara ada pula yang beruntung kerana keadaan keluarga dan keturunannya. Ada yang cacat, lemah dan sakit. Ada pula yang rupawan, kuat dan sihat.
Ada pula yang menggunakan kesempatan dan kebijaksanaannya untuk memerangkap ataupun menipu pihak yang tidak terduga. Ada yang dituduh dan ditohmah dusta, sedangkan dia tidak mampu membela dirinya. Ada yang disakiti tanpa alasan yang benar. Ada yang dicuri haknya. Segala macam derita ketidakadilan wujud dalam kehidupan dunia ini.
Jika kehidupan insan ini hanya terbatas kepada dunia yang penuh kejam ini, pastilah kehidupan kebanyakan insan sesuatu yang mengecewakan. Segala rasa tidak puas hati dan duka lara akan membaluti kehidupan apabila mengenang dan fikir apa yang telah, sedang dan akan berlaku dalam dunia ini.
Bagi mengubati luka itu, Allah memerintahkan kita menyedari bahawa dunia ini hanyalah sementara sahaja. Setiap perkara akan diadili dengan sehalus-halusnya. Segala kezaliman akan dibalaskan. Segala kebaikan dan kesusahan akan diberikan ganjaran pada hari yang sebenar iaitu Hari Perhitungan dan Pembalasan. Segala kesombongan, kezaliman, kekejaman dan ketidakadilan yang berlaku di dunia ini akan menerima balasannya. Maka beriman dengan kemunculan hari tersebut, iaitu hari yang penuh adil untuk perhitungan merupakan rukun kehidupan seorang insan. Ia mesti diingati dan diulangi selalu supaya tidak kecewa dengan kehidupuan, sentiasa mempunyai cita dan harapan yang utama iaitu syurga, mengelakkan diri dari menzalimi pihak lain dan berjalan dalam dunia menghitung dosa dan pahala. Untuk itu, maka kita disuruh mengulang-ulangi bacaan al-Fatihah dalam solat yang antara ayatnya;
Ù…َالِÙƒِ ÙŠَÙˆْÙ…ِ الدِّينِ
(Maksudnya) : “(Tuhan) Yang menguasai Hari al-Din”
Perkataan Hari al-Din bermaksud Hari Perhitungan (al-Hisab) atau boleh juga bermaksud Hari Pembalasan (al-Jaza`) (lihat: Ibn Jauzi, Dzad al-Masir fi ‘Ilm al-Tafsir, 1/19. Beirut: al-Maktab al-‘Arabi)
Maka, setiap waktu kita menyebut dan mengingati bahawa dunia yang sementara ini akan berakhir dan hari yang penuh adil dan saksama akan menjelang. Segala kebaikan dan keburukan akan dihitung dan dibalas.
Maka jiwa kita akan lega. Perasaan kita akan merdeka. Harapan untuk kebahagiaan sentiasa ada. Demikianlah bermakna keimanan pada Hari Pembalasan. Demikianlah bermakna solat dalam kehidupan insan
Dr MAZA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan