CIRI-CIRI FIZIKAL RASULULLAH ﷺ - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Sabtu, 29 Disember 2018

CIRI-CIRI FIZIKAL RASULULLAH ﷺ

CIRI-CIRI FIZIKAL RASULULLAH ﷺ

⚫️TUBUH DAN USIA NABI

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ يَقُولُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ بِالطَّوِيلِ الْبَائِنِ وَلَا بِالْقَصِيرِ وَلَا بِالْأَبْيَضِ الْأَمْهَقِ وَلَيْسَ بِالْآدَمِ وَلَيْسَ بِالْجَعْدِ الْقَطَطِ وَلَا بِالسَّبْطِ بَعَثَهُ اللَّهُ عَلَى رَأْسِ أَرْبَعِينَ سَنَةً فَأَقَامَ بِمَكَّةَ عَشْرَ سِنِينَ وَبِالْمَدِينَةِ عَشْرَ سِنِينَ فَتَوَفَّاهُ اللَّهُ وَلَيْسَ فِي رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ عِشْرُونَ شَعْرَةً بَيْضَاءَ

Maksudnya:

Diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik رضي الله عنه , beliau bercerita (tentang Rasulullah ﷺ), Rasulullah ﷺ tidak terlalu tinggi dan tidak pula rendah, warna kulitnya tidak terlalu putih dan tidak pula terlalu merah, rambutnya tidak terlalu kerinting dan juga tidak terlalu lurus. Allah Ta’ala mengutuskan Baginda (menjadi Nabi ﷺ) ketika usianya mula mencecah 40 tahun. Baginda tinggal di Mekkah (selepas dilantik menjadi Nabi) selama 10 tahun dan di Madinah juga 10 tahun. Setelah itu, Baginda diwafatkan Allah Ta’ala ketika di awal usia 60 tahun. Kepala dan janggutnya tidak sampai 20 helai rambut berwarna putih (uban).” 

HR. Al-Bukhari (3548, 5900), Muslim (2347), Al-Tirmidzi (3623) dan lain-lain. 

Keterangan Hadis:

Dalam hadis di atas, sahabat Nabi ﷺ yang bernama Saidina Anas bin Malik رضي الله عنه menjelaskan bentuk fizikal Nabi ﷺ dengan menggambarkannya sebagai seorang yang bertubuh sedang dan pertengahan.

Ketinggian Baginda adalah sederhana iaitu tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah, namun lebih kepada orang yang tinggi. Kulit Baginda tidak terlalu putih dan tidak pula terlalu merah. Rambut Baginda pula tidaklah kerinting dan tidak pula lurus kaku, akan tetapi ikal. 

Mengenai kulit Nabi ﷺ yang disebut “tidak terlalu putih” dan “tidak terlalu merah”, maksudnya menurut ulama, kulit Baginda berada dipertengahan antara putih dan merah iaitu putih kemerahan. 

Maksud ini menepati pernyataan dalam hadis lain1️⃣ yang menyebut bahawa kulit Nabi sebagai “أَزْهَرَ اللَّوْنِ” iaitu kulit putih bercahaya atau bersinar (bersinar kerana bercampur warna kemerahan).2️⃣ Lebih jelas lagi, pernyataan dalam hadis dalam Sunan al-Baihaqi yang menyebutkan:

كَانَ أَبْيَضُ، مُشْرَبًا بَيَاضُهُ بِحُمْرَةٍ. 

Nabi ﷺ berkulit putih iaitu putih yang bercampur kemerahan.3️⃣

Menurut jumhur ulama, Nabi ﷺ dilahirkan pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal, hari Isnin pada tahun Gajah iaitu tahun yang sama tentera bergajah Abrahah dari Yaman ingin menyerang Kaabah.

Hadis di atas menjelaskan bahawa Bagind dilantik menjadi Nabi ketika berumur genap 40 tahun. Baginda berdakwah di Mekkah lebih 10 tahun (iaitu lebih kurang 13 tahun), kemudian berhijrah ke Madinah dan membentuk sebuah masyarakat dan negara. Baginda menetap di Madinah selama 10 tahun iaitu sehingga kewafatan Baginda ketika berumur melebihi 60 tahun. 

Menurut ulama, bilangan tahun yang disebut Saidina Anas رضي الله عنه dalam hadis di atas bukanlah perkiraan tepat, tetapi hampir-hampir yang digenapkan kerana mengikut perkiraan tepat, Nabi ﷺ tinggal di Mekkah selepas menjadi Nabi ialah selama 13 tahun, bukan 10 tahun. Begitu juga, baginda wafat ketika berusia 63 tahun, bukan 60 tahun. Jadi perkiraan Saidina Anas itu adalah perkiraan yang digenapkan, bukan perkiraan tepat.

Pengajaran Hadis:

Allah menciptakan fizikal Nabi Muhammad ﷺ dalam rupa bentuk yang sederhana dan pertengahan. Ini menggambarkan keseimbangan. Diriwayatkan daripada Mutharrif (seorang tabi’in):

خَيْرُ الْأُمُورِ أَوْسَطُهَا

“Urusan paling baik adalah yang pertengahan.”4️⃣

Keseimbangan tidak akan kita perolehi melainkan dengan bersikap sederhana dan mengamalkan gaya hidup sederhana, tanpa berlebihan sebagaimana gaya hidup yang diamalkan oleh Nabi ﷺ sendiri.

Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi dan Rasul pada usia 40 tahun. Usia ini ialah usia kematangan. Seharusnya kita yang telah mencecah umur 40 tahun mengubah gaya hidup kepada kehidupan yang lebih serius terutama dalam beramal dengan agama dan mencari bekalan untuk Akhirat. 

Sumber Rujukan:

1️⃣Imam al-Bukhari (3547) dalam sahihnya.
2️⃣Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, 15/107, Syeikh Ibrahim al-Bajuri, dalam al-Mawahib al-Ladunniyyah, 9,11-12 dan 22.
3️⃣Al-Baihaqi dalam al-Dala’il. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ al-Saghir, Hadis no. 6427. Menurut al-Suyuthi, hadis ini sahih.
4️⃣Imam al-Baihaqi, dalam Syu’ab al-Iman (3605 dan 6176). 

Wallahua’lam. 

Tiada ulasan: