APABILA TURUNNYA SAKINAH (KETENANGAN JIWA)
Facebook Dr Maza
Apabila sakinah itu Allah berikan dalam kehidupan seseorang, segala rintangan amat kecil kerana dia sedang bersandar kepada yang Maha Agung dan Maha Besar. Kata al-Imam Ibn al-Qayyim: “Sakinah itu ketenteraman dan ketenangan hati nurani. Asalnya dalam hati nurani dan zahir kesannya pada anggota” ( Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Tibb al-Qulub 237. Damsyik: Dar al-Qalam).
Demikian sakinah itu hadir dalam jiwa Nabi Ibrahim a.s. ketika dia dilontarkan ke dalam api, hadir dalam jiwa Nabi Musa a.s. ketika dia dikepung oleh Firaun. Demikian kepada sekelian para nabi, terutama nabi kita Muhammad s.a.w.
Firman Allah: (maksudnya): “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (Abu Bakar) semasa mereka berlindung dalam sebuah gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan sakinah ke atasnya (Nabi s.a.w) dan menguatkannya dengan bantuan tentera yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (hina), dan kalimah Allah (Islam) itulah yang tertinggi kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Taubah, 40).
Demikian sakinah diturunkan ke dalam hati nurani mereka yang beriman dalam kalangan sahabah Nabi s.a.w yang berjuang pada jalan Allah dan menghadapi cabaran.
Firman Allah: (maksudnya) “Dialah Yang menurunkan sakinah ke dalam hati nurani orang-orang yang beriman (semasa mereka marah terhadap angkara musuh) supaya bertambah iman beserta iman mereka yang sedia ada; dan Allah mempunyai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (Surah al-Fath, 4).
Apabila sakinah itu turun ke dalam jiwa mukmin, tindakan dan bicara mereka melambangkan tindakan dan bicara insan yang berprinsip dan matang. Berbeza dengan musuh atau pihak yang tiada sakinah dalam bicara dan tindakan mereka.
Allah menyebut hal ini: (maksudnya) “Ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam jantung hati mereka -perasaan sombong angkuh secara jahiliyah-, lalu Allah menurunkan sakinah kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, serta meminta mereka tetap berpegang kepada "kalimah Taqwa", sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan kalimah itu serta menjadi ahlinya. dan (ingatlah), Allah itu Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Fath, 26).
Itulah sakinah yang telah Allah turunkan kepada para nabi a.s. dan kepada golongan mukminan yang berjuang mendapatkan redha Allah.
Maka, dalam menelusuri hidup yang mencabar, di zaman yang penuh fitnah ini, tiada yang dapat mententeramkan jiwa kecuali bila Allah menurunkan kebahagiaan dari sisiNya kepada kita. Kata Ibn al-Qayyim dalam Tibb al-Qulub sebab yang membawa seorang kepada sakinah ialah perasaan perdampingan (muraqabah) dengan Allah seakan dia melihat Allah. Apabila perasaan itu bertambah, maka bertambahlah rasa cinta, tunduk, kusyuk, takut dan harap kepadaNya.
Kita mungkin tidak dapat menyelak cabaran dan ujian dalam hidup. Manusia yang zalim dan jahat mungkin cuba merampas pelbagai hak kita dalam kehidupan, namun mereka tidak akan dapat merampas kebahagian dalam jiwa kita kerana sakinah adalah kurniaan Allah yang diturunkan dalam jiwa mukmin. Kita mungkin tidak dapat bersaingan dengan orang lain di sudut kekayaan dunia dan kenikmatannya, tetapi kita sentiasa berpeluang mendapat sakinah jika kita memohon dan mencarinya di sisi Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan