Berkongsi artikel tentang nasib orang islam di Myammar di anak tiri...bahasa yang mulia. Bukan..di aniaya oleh junta tentera Myammar..
Perjalanan PAS Relief ke sana baru-baru ini...mari kita membaca perjalanan mereka. Buang soal politik, islam itu satu.
Sebuah Masjid berusia 131 tahun di tengah bandar Sittwe, Ditutup! Kemudiannya apa?
Sukar sekali untuk merakam gambar masjid yang dibina pada tahun 1886 ini, kerana ia kini adalah kawasan larangan. Mengambil gambarnya seperti membaling tebuan bersarang rendah di siang hari. Kita mungkin ditangkap polis atau dikepung atau dihalau balik.
Ini gambar 'curi' dari dalam van yang sengaja diberhentikan untuk membeli buah limau. Pemandu van beragama buddha itu berulang kali berpesan... No photo please, very dangerous for us! Petua untuk kita melintasi bandar Sittwe, menginap di hotel atau membeli barang keperluan di sini ialah Jangan Menarik Perhatian Mereka dengan imej seorang Muslim.
Masjid ini ditutup regim junta tentera 25 tahun lalu. Saiz dan senibinanya seperti Masjid Zahir di Alor Setar. Usia masjid ini 131 tahun, mewakili zaman kegemilangan Islam di Arakan. Ia dibina umat Islam Arakan di zaman British. Ia dibaikpulih pada 1959, tahun terakhir masjid-masjid dibenarkan dibina.
Dua tahun lalu, larangan untuk membaik pulih, membina baru atau membesarkan masjid dikuatkuasakan ke seluruh negara Myanmar.
Terdapat tiga buah masjid besar di bandar Akyab, nama lama bagi Sittwe. Dua buah lagi dibakar sewaktu konflik 2012, tidak boleh dimasuki lagi. Salah satunya dijadikan kubu dan tandas pihak polis.
Ketiga-tiga buah masjid besar ini dikelilingi pagar tembok pagar yang kukuh, dua buah masjid yang dibakar itu berwarna hijau dengan pintu gerbang berukir ayat-ayat Al-Quran. Letaknya antara satu sama lain tidak terlalu jauh.
Saya dapat membayangkan kesuburan Islam satu masa dahulu di Akyab. Berdasarkan senibina dan saiznya, tentulah jumlah umat Islam di Akyab dahulu berpuluh ribu jumlahnya. Azan dari menara-menara masjid itu tentunya saling menerjah satu sama lain.
Hari ini, ikon Islam seperti masjid ini berdiri sepi, menjadi kawasan terlarang, dikelilingi semak samun dan usang, cuba dilenyapkan daripada sejarah. Tidak diizinkan seorangpun Muslim berada di bandar Akyab.
Apabila syariat dan syiar Islam sudah berjaya dimatikan dan dibenam, kini Arakan menjadi medan badan-badan dakyah masuk menerusi misi kemanusiaan dan agensi bantuan antarabangsa dengan dana ratusan juta dollar.
Petugas mereka dapat ditemui di hotel-hotel penginapan, berbincang strategi sesama mereka dari negara yang berbeza, Australia, UK, USA, Perancis, Denmark, Italy, Filipina di samping petugas tempatan.
Pejabat operasi, sekolah, klinik, setor makanan dan pusat bantuan bergerak terdapat di merata tempat. Disebalik misi kemanusiaan mereka yang kita kagumi, ramai di kalangan mereka itu adalah missionary kristian yang terlatih dan berbayar. Misi mereka serampang banyak mata.
Kita? Kita terpaksa merayu ke sana ke mari untuk menghantar beras dan barangan dapur sekadar seratus ringgit. Jika kerap kita pergi, kita akan ditanya dengan keras: "Yang hampa terpa jauh-jauh sampai rohiya, dok kira rohiya, adakah sudah habis orang miskin di Malaysia kamu bantu"?
Selanjutnya, hujung nama kita akan disambung dengan perkataan 'rohiya' dalam nada yang kurang sedap didengar. Demikian masyarakat kita hilang sensitiviti dan rasa tanggungjawab. Sesungguhnya, di medan Arakan ini, kewajipan agama dan kemanusiaan kita lebih besar daripada sangkaan kita.
Semoga rakaman sejarah masjid-masjid ini menjadi pengajaran untuk kita semua.
Di negara kita: Janganlah ada yang cuba-cuba memendamkan Islam yang sudah diteguhkan pasaknya oleh pejuang-pejuang Islam terdahulu, dan diterima baik oleh masyarakat dengan aman, hanya kerana menagih sokongan pihak yang berusaha memadamkan cahayanya... Kelak kita akan ditimpa malapetaka buruk yang tiada nokhtahnya.
Muhammad Sanusi Md Nor
Pengarah PASRelief
27 Ramadhan 1438
Tiada ulasan:
Catat Ulasan