Tanda-Tanda Diterimanya Taubat - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Selasa, 4 April 2017

Tanda-Tanda Diterimanya Taubat


Tanda-Tanda Diterimanya Taubat
Petanda seseorang itu bertaubat dan telah diterima taubatnya telah dijelaskan oleh Ibnul Qayyim rahimahullah. Antara tanda-tanda tersebut ialah:
Setelah bertaubat, seseorang hamba itu lebih baik dari sebelumnya.
Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata.
Terlepas dari cengkaman dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takutkan dosa.
Lembut hatinya setelah bertaubat dengan kelembutan yang sempurna, sehingga tunduk kepada Allah walau dalam keadaan marah dan sentiasa dalam kekhusukan. (Lihat: Madarajus Salikin. Jld. 1)
Allah Azza wa-Jalla telah menggambarkan ciri-ciri atau keadaan orang yang telah bertaubat di dalam firmanNya, bahawa mereka sentiasa beramal soleh dengan cara mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh berbuat baik dan melarang dari mengerjakan yang mungkar:
“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat (mencari ilmu, berjihad, berpuasa), yang menyuruh berbuat makruf dan menegah berbuat mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin”. (At-Taubah, 9:112)
“Jika mereka bertaubat (mereka) mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-mara mu seagama”.
Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah menggambarkan di dalam al-Quran tentang sikap mereka yang telah bertaubat dan ikhlas dalam taubatnya, bahawa mereka bertambah kuat iman dan amalnya, memperbaiki ibadahnya dengan cara banyak beramal soleh, belajar ilmu-ilmu agama, konsisten dan sentiasa beriltizam. Firman Allah:
“Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun”. (Maryam, 19:60)
“Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar”. (An-Nisa, 4:146)
------
Taubat Nasuha
------
Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa bertaubat nasuha atau taubat yang murni adalah dituntut oleh syara berdasarkan firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu sekalian dengan taubat nasuha (taubat yang murni)” (At-Tahrim, 8)
Ibnul Qayyim al-Jauziyah rahimahullah telah menjelaskan cara-cara taubat nasuha:
Pertama: Meminta pengampunan (taubat) yang meliputi segala dosa-dosa maksiat tanpa ada kecualinya, sehingga tidak ada dosa yang tidak disertakan dalam taubatnya.
Kedua: Membulatkan tekad dan kejujuran hati dengan sepenuhnya supaya tidak menyiksa pada dirinya keragu-raguan, kekesalan atau menanti-nanti (masa bertaubat). Tetapi seorang hamba harus mengerahkan segala keinginan dan ketekadannya untuk segera bertaubat.
Ketiga: Memurnikan taubat dari berbagai noda dan penyakit yang mengganggu keikhlasan bertaubat.
Seterusnya memastikan agar taubat itu benar-benar dari rasa takut, kesedaran dan gentar terhadap siksa Allah, mengharapkan apa yang ada di sisiNya dan khawatir terhadap ancamanNya. Jauhilah diri dari cara taubatnya orang-orang yang hanya ingin mempertahankan maruah dan kehormatannya, kedudukannya, jawatannya, kepemimpinannya untuk memelihara kekuasan dan harta bendanya, atau demi mendapatkan pujian orang banyak, takut pada penghinaan manusia agar orang-orang yang bodoh tidak memperbodohkan dan menghinanya, atau sekadar memenuhi sifat rakusnya terhadap dunia, atau kerana muflis yang tidak berdaya lagi, atau taubatnya lantaran penyakit yang tersembunyi yang telah merosakkan kebenaran dan ketulusan taubatnya kepada Allah Azza wa-Jalla. (Lihat Madarijus Salikin Jld.1 Hlm. 178)
Ketiga-tiga perkara di atas yang dijelaskan oleh Ibn Qayyim sewajarnya difahami dan dipenuhi apabila bertaubat, kerana dengannyalah taubat nasuha seseorang itu akan diterima oleh Allah Azza wa-Jalla.
Taubat Nasuha Menghapuskan Semua Dosa
------
Menurut ulama tafsir, semua dosa akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala lantaran taubat nasuha. Sa
ma ada yang besar seperti kufur, syirik atau murtad dan tercangkup dosa-dosa yang lebih rendah dari itu juga akan terampun.
Adapun keraguan bahawa dosa-dosanya terlalu banyak untuk diampunkan oleh Allah sehingga berat untuk bertaubat, maka Seyikh Muhammad Soleh al-Munajjid berkata punca-puncanya ialah dikeranakan oleh:
Ketidak-yakinan seseorang terhadap luasnya rahmat Allah dan kasih sayangNya.
Lemahnya iman dan keyakinannya terhadap kuasa Allah yang mampu mengampuni keseluruhan dosa makhlukNya.
Kurang berharap, berdoa, mengingati dan tawadhu’ kepada Allah.
Tidak berkeyakinan bahawa taubat itu pasti menghapuskan semua jenis dosa disebabkan rahmat Allah. (Lihat: اريد ان اتوب ولكن Muhammad Soleh al-Munajjid)
Allah tidak pernah merasa rugi atau kekurangan jika mengampunkan segala dosa hambaNya yang meminta pengampunan. Pengampunan Allah Azza wa-Jalla sentiasa diberikan kepada hambaNya yang bertaubat kerana rahmatNya meliputi segala-galanya. Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:
“Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu”. (Al-A’raf, 156)
“Katakanlah! Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan semua dosa”. (Az-Zumar, 53)
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:
“Orang yang bertaubat dari dosanya bagaikan orang yang tidak mempunyai dosa sama sekali”. (H/R Ibn Majah. Sahih al-Jami’. 2008)
------
Pintu Taubat Sentiasa Terbuka
------
Pintu taubat sentiasa terbuka kecuali setelah roh berada di kerongkongan (sakaratul maut). Dan taubat belum tertutup sebelum mata hari terbit dari barat (Kiamat). Sebagaimana sabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum rohnya berada di kerongkongan (Sakaratul maut), maka Allah menerima taubatnya”. (H/R Ahmad dan Turmizi. Sahihul Jami’ 6132)
“Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, maka Allah menerima taubatnya”. (H/R Muslim)
Segala hujjah berupa ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis sahih dan penjelasan para ulama yang tertera di atas, semuanya menunjukkan bahawa pintu dan peluang untuk bertaubat sentiasa dibuka luas oleh Allah kepada sekalian hamba-hambaNya.
Tidak ada perbuatan durjana, keji dan mungkar yang tidak diampunkan jika pelakunya bertaubat nasuha, oleh itu rebutlah peluang dan kesempatan ini sebelum menemui kematian yang menakutkan.
Semoga semua penjelasan di atas dapat dicernakan di hati, difahami dan diamalkan. Dan akhir sekali, dengan penuh harapan kita bermohon kepada Allah Yang Maha Agung agar memberikan kepada kita kemudahan untuk memperbaiki amalan kita, menjauhkan kita dari maksiat dan menjadikan kita insan yang berkemampuan dan dimudahkan untuk beramal soleh, bertaubat nasuha dan bertakwa. Amin Ya Rabbal ‘Alamin!
Oleh: an-Nawawi. blogspot