(Petikan daripada buku DI MANA DIA DI HATI KU)
Si cacat itu tidak punya ibu-bapa lagi. Dengan kakinya yang lumpuh dan kehidupannya yang miskin itu, dia seolah-olah tidak punya “sebab” untuk meneruskan hidup. Namun sicacat itu tersenyum.
Ketika ditanya siapa yang akan menjaganya pada hari kematian ibunya (bapanya telah lama meninggal dunia)? Sicacat itu menjawab, “Allah!”.
“Engkau begitu yakin?”
“Ya, Allah yang telah menciptakan aku begini, maka Dialah yang akan menjaga aku,” jawab sicacat dengan yakin.
“Apa impian mu?” orang bertanya lagi.
“Punya anak lelaki yang akan menjadi ulama,” jawabnya dengan yakin.
Bertahun-tahun telah berlalu sejak berlakunya dialog itu, ternyata apa yang diimpikan si cacat menjadi keyakinan. Dia telah berkahwin, punya anak lelaki dan punya perniagaan yang menyara hidup keluarganya. Siapa menjaganya? Allah!
Aku terpegun sendirian membaca lembaran catatan yang disimpan bertahun-tahun lalu. Kisah si cacat yang memiliki hati emas. Sering diungkapkan, tidak mengapa jika kaki mu yang sakit, asalkan hati mu sihat. Dengan kaki yang sakit, engkau mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi dengan hati mu yang sakit kau akan kehilangan tujuan dan harapan. Betapa ramai, orang yang punyai fizikal yang sihat... apabila hatinya sakit, hidupnya melarat. Miskin dalam kekayaan. Derita dalam keseronokan.
Tuhan Maha adil, kerana tidak meletakkan kebahagiaan kepada rupa, harta, kuasa dan nama. Jika tidak, si miskin, si hodoh, si marhaen dan “kelana tanpa nama” akan kecil hati kerana terasa dipinggirkan. Allah tidak zalim. Dia meletakkan kebahagiaan pada ketenangan hati – yang mampu dimiliki oleh si miskin atau si kaya, si buruk atau si jelita, hamba atau raja.
Di mana akan kau temui hati emas seperti itu? Melainkan perlu ditempa dan disesah dengan mujahadah. Umpama intan yang dipanaskan oleh haba dengan kepanasan ganda atau emas yang disepuh oleh api yang menyala-nyala. Bila tiba saat yang paling kritikal dalam hidup – saat perpisahan, kesedihan, kemiskinan, penghinaan, kesepian (namakan apa sahaja) – jangan lari, tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan “lari”. Tunggu dan hadapi. Terima hakikat kalau sudah terhenyak ke dasar paling bawah, jangan berpura-pura. Jangan bermuka-muka.
Bila sudah tiba di dasar paling bawah, kepala yang di julang sudah menjunam ke dalam jurang... dan sudah tidak ada lagi tempat untuk jatuh, maka pada ketika itulah peribadi mu akan naik semula ke atas. Kau sudah membayar “yuran” pada kejayaan. Kau sudah merasa kepahitan pada ubat yang ditelan.
Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah “dibakar” dalam relau mehnah Allah. Dan saat untuk kau mendapat ijazah daripada “universiti mujahadah” semakin hampir. Tidak ada gelaran, tidak ada sanjungan... Hadiah mu cuma satu: Hati emas!
Memburu selainnya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. “Berjaya” tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres, tekanan dan kebosanan.
Betapa ramai jutawan, hartawan, rupawan, bangsawan dan kenamaan dimusnahkan oleh rasa bongkak, obsesi diri, kemurungan dan zina. Naik ke puncak untuk terjun ke bawah!
Wahai diri ku, tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuh solat lima waktu dengan segala rawatibnya. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca Al Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan kurangkan perkataan. Bercakap hanya yang baik atau diam.
Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redalah dengan kesepian. Jangan takut kepada kelicikan, tipu-daya dan diskriminasi manusia. When god is your friend, who is your enemy?
Tidak mengapa jika kau dipinggirkan, malah dilupakan kerana selamanya “orang lain” tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya diri mu... apabila memiliki hati emas itu!
!
ya, jika anda ingin mengikuti kisah selanjutnya boleh dapatkan buku Dimana DIA DI HAtiku
FB Pahrol Mohamad Juoi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan