Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Rabu, 4 Disember 2019

Manusia Tidak Pernah Puas dengan Harta

6:06:00 PG 0
Manusia Tidak Pernah Puas dengan Harta



عَنْ عَطَاءٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

Daripada 'Atha` dia berkata; saya mendengar Ibnu Abbas RA berkata; saya mendengar Nabi SAW bersabda: "Sekiranya anak Adam memiliki harta sebanyak dua bukit, nescaya ia akan mengharapkan untuk mendapatkan bukit yang ketiga, dan tidaklah perut anak Adam itu dipenuhi melainkan dengan tanah, dan Allah menerima taubat siapa saja yang bertaubat." (HR Bukhari No: 5956) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Manusia tidak pernah puas dengan harta. Itulah sifat dan watak manusia kecuali yang Allah beri taufik. 

2.  Ada orang yang menghabiskan waktunya hanya untuk urusan dunia, terus menerus mengumpulkan harta dan kemewahan, sampai lalai dari ketaatan dan hati menjadi sibuk dengan dunia daripada akhirat. 

3.  Manusia yang sibuk mencari harta, walaupun telah memiliki sejumlah harta, masih tidak merasa cukup dengan apa yang ada.

4.  Musthofa Al Bugho dalam  Syarh Riyadhis Sholihin : “tidak ada yang memenuhi perutnya kecuali tanah” bermaksud ia terus menerus memenuhi nafsu dirinya dengan harta sampai ia mati lantas di kuburnya isi perutnya dipenuhi dengan tanah kuburan.

5.  Bagi yang diberikan taufik, ia segera bertaubat dan memohon ampun, Allah menerima taubat setiap hamba. 

Selasa, 26 November 2019

SEDIH BILA MASJID BEREBUT SIMPAN DUIT BUKAN BERLUMBA BANTU ORANG MISKIN

9:03:00 PTG 0
SEDIH BILA MASJID BEREBUT SIMPAN DUIT BUKAN BERLUMBA BANTU ORANG MISKIN


Mana maruah Melayu, 80% gelandangan Islam makan di gereja.


Lebih 80 peratus daripada kira-kira 100 orang gelandangan atau warga miskin kota yang menerima bantuan makanan di sesebuah gereja pada satu-satu masa terdiri daripada Melayu beragama Islam.

Pendedahan tersebut diakui seorang ibu tunggal ketika kebetulan ditemui Malaysia Dateline di Surau Balai Islam berdekatan Bulatan Pahang, Kuala Lumpur semalam.

Hanya mahu dikenali sebagai Junaidah (bukan nama sebenar), 50, beliau yang menjaga seorang anak lelaki menghidap penyakit ulser tulang memberitahu ramai gelandangan Melayu terpaksa mengharap bantuan daripada pihak gereja dan NGO berlatar belakangkan Kristian.

Ujarnya, sebuah gereja berhampiran Dataran Merdeka menyediakan sarapan mulai jam 8 pagi setiap hari manakala satu gereja lagi di Bukit Nanas menjamu makanan tengah hari kepada warga miskin kota juga setiap hari.

“Bagusnya lagi, pihak gereja menghormati gelandangan beragama Islam. Kami akan makan terlebih dahulu selepas wakil daripada kami diminta membacakan doa makan. Kemudian, baru doa untuk penganut mereka pula dibaca.

“Selain makanan, gereja dekat Dataran Merdeka itu siap beri sabun, benarkan gelandangan cuci baju dan sediakan ampaian untuk menjemur pakaian,” ujarnya yang kali terakhir menerima bantuan makanan di gereja terbabit selepas Aidilfitri tahun lalu.

Beliau yang tiba di surau itu bertanyakan pada Malaysia Dateline tentang imam untuk memohon bantuan wang ihsan selepas kira-kira sejam berlalunya solat Asar berjemaah.

“Minta bantuan pada Baitulmal setakat RM250 hingga RM300 sebulan. Sewa bilik di KL pun sudah RM300.

“Saya dengan anak berusia 25 tahun mulai tahun 2016 tidur di sekitar Masjid Negara kerana tak mampu menyewa bilik,” ujarnya yang berasal dari Rembau.

Bercerita lanjut tentang perbandingan dengan layanan institusi ibadat Islam, Junaidah berkata, pihak masjid sekitar ibu negara tidak pula berbuat demikian.

“Masjid Negara pun tidak ada. Hanya NGO dan mahasiswa saja yang ada berikan kami sumbangan makanan.

“Kalau dekat kawasan Kolej Segi berhampiran Anjung Singgah, ada seorang Datin bagi sumbangan duit setiap bulan. Itu usaha orang perseorangan. Kalau Baitulmal lagilah, bagi (bantuan kewangan) buat syarat saja.

“Kelmarin, saya minta bantuan wang ihsan untuk ambil dua anak yang dijaga bekas suami di Jengka. Baitulmal tak bagi wang sebab katanya duit bulanan sudah bagi,” ceritanya di perkarangan surau sambil merenung jauh kenderaan yang mulai sesak di Bulatan Pahang itu.

Berkongsikan pengalamannya yang pernah memohon bantuan bulanan pada Baitulmal di Terengganu tahun lalu bagi pihak anaknya, Junaidah berkata institusi itu menolak permohonan mereka dengan alasan bukan pemastautin.

“Saya merayu mereka buat tak tahu walaupun kad pengenalan anak saya terbukti lahir di Terengganu. Katanya, datanglah esok lusa jumpa pegawai mereka padahal saya tidak boleh tunggu. Penyakit anak saya kena cepat diberi ubat.

“Kata pegawai itu ramai orang begitu. Pada kad pengenalan saja lahir di Terengganu, tinggal di negeri lain,” cerita Junaidah kembali sehingga beliau pada hari tersebut terpaksa memohon jasa baik pihak Jabatan Mufti yang pejabatnya tidak jauh dari Baitulmal itu.

Beliau berkata, pihak Baitulmal memberi bantuan hanya selepas
Jabatan Mufti itu menghubungi Baitulmal memaklumkan permohonan mereka harus diberi perhatian.

“Itupun Baitulmal beri bantuan kecemasan RM100 bukan bantuan bulanan dengan alasan sama – bukan pemastautin.

“Lepas tu pegawai itu pula persoal saya kenapa mengadu pada Jabatan Mufti sedangkan saya terdesak perlukan wang ihsan untuk belanja perubatan anak saya yang kaki kirinya sakit teruk akibat sisa karat selepas berlaku kemalangan di bengkel kereta tahun 2014 lepas,” jelasnya.

Memohon bantuan ihsan dari pihak masjid juga amat mengecewakan walaupun pada papan kenyataan masjid terpampang ribuan ringgit kutipan setiap minggu Solat Jumaat.

Beliau berkata, Ahad lalu seorang jawatankuasa Masjid Amru Ibni Al’As di Bandar Baru Sentul menolak rayuannya yang memohon sedikit wang dengan alasan bukan kariah masjid.

“Dia kata dia berpegang pada prinsip. Dia hanya bantu anak kariah masjid saja. Saya sedih sebab setahu saya orang yang bersembahyang di mana-mana masjid termasuk ketika solat Jumaat juga datangnya dari luar kariah,” keluhnya lagi.

# VIRALKAN SEMOGA ADA PERUBAHAN INSYAAALLAH

Isnin, 25 November 2019

Jaminan Syurga

6:46:00 PTG 0
Jaminan Syurga


عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ

Daripada 'Ubadah bin Ash Shamit bahawa Nabi SAW bersabda: "Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian." (HR Ahmad No: 21695) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

Rasulullah SAW memberi jaminan setiap Muslim akan masuk Syurga jika memelihara enam perkara:

1.  Jujur jika berbicara.
Kejujuran adalah jalan yang lurus dimana orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran membezakan antara munafik dan beriman.

2.  Menepati janji.
Tidak memenuhi janji adalah diantara sifat munafik.

3.  Menunaikan amanah.
Amanah berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia yang wajib ditunaikan

4.  Memelihara kemaluan (kecuali untuk pasangan yang sah dan halal).

5.  Menundukkan pandangan.
Menjaga pandangan adalah modal pokok untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak menjaga pandangannya, dia telah menempatkan dirinya ke tempat kehancuran

6.  Menahan tangan.
Seorang Muslim tidak menganggu, menyakiti saudara Muslim yang lain, teman, mahupun tetangganya baik dengan lisan mahupun tangannya. Mereka merasa aman dengan kehadiran dirinya. 

Ayuh kita berlaku jujur, tepati janji, tunaikan amanah, jaga kemaluan, tundukkan pandangan dan menahan tangan.